Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bernilai RM1.26 bilion kepada 8.7 juta golongan B40 mulai April 5
Diterbitkan:  Apr 10, 2023 1:50 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 sudah mula dikreditkan ke dalam akaun penerima berdaftar secara berperingkat mulai 5 April 2023. Seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40 layak mendapat bantuan tunai ini.

Ini termasuk penerima STR di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, sama ada yang mempunyai akaun bank atau tiada, masing-masing telah menerima pembayaran mulai Rabu lepas.

Bagi penerima berdaftar dalam pangkalan data STR, pembayaran akan dikreditkan ke akaun bank mereka secara berperingkat manakala bagi mereka yang tiada akaun bank, penunaian boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang terdekat.

Sementara itu, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang tiada akses perbankan boleh melakukan penunaian melalui Cawangan Bank Bergerak BSN.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan, seramai 4 juta penerima kategori isi rumah akan menerima RM200 setiap satu, diikuti oleh 3.5 juta penerima kategori bujang (RM100 setiap satu) serta 1.2 juta penerima kategori warga emas tiada pasangan (RM100 setiap satu) di bawah bantuan STR.

Antara penerima STR Fasa 2 yang hadir ke cawangan BSN Bukit Mertajam untuk pengambilan tunai - (dari kiri) Ibrahim Abdullah, Mat Saad, Rajasegaran dan Teoh Chia Leong .

Manfaat kepada segenap lapisan masyarakat

Tinjauan Malaysiakini di cawangan BSN Bukit Mertajam (Jalan Aston) mendapati penerima daripada semua golongan masyarakat pelbagai kaum, usia dan latar belakang, hadir ke bank tersebut untuk membuat penunaian STR.

Rajasegaran akan memanfaatkan sumbangan tersebut bagi keperluan anaknya.

Rajasegaran, penerima pertama STR melalui kaunter di bank tersebut menyifatkan proses penunaian berjalan lancar dan akan memanfaatkan wang tunai yang diterimanya sebaik mungkin bagi keperluan keluarganya.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saya dari segi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” kata beliau yang menerima RM200 bagi kategori isi rumah.

“Saya ada seorang anak yang berusia 11 bulan dan wang ini akan saya gunakannya untuk membeli susu bagi anak saya,” sambung penjaja roti canai di Bukit Mertajam ini dengan harapan inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan peruntukan yang bersesuaian dengan situasi semasa, khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Bantuan bagi semua yang memerlukan termasuk golongan bujang

Seorang lagi penerima STR, Ibrahim Abdullah dari Kubang Semang yang menerima RM100 di bawah kategori bujang, menyambut baik inisiatif kerajaan yang prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah yang semakin terhimpit.

Walau bagaimanapun, beliau mencadang agar sumbangan ini dapat diperhalus dan diperluaskan demi kesejahteraan golongan bujang yang menanggung kehidupan keluarga pada masa yang sama.

“Sumbangan ini dapat ringankan beban hidup saya kerana wang ini akan saya gunakan untuk membeli barangan keperluan keluarga seperti beras dan susu, terutamanya untuk anak-anak saya,” kata beliau.  

Ibrahim yang kini kembali bujang sebenarnya menanggung beban yang amat berat dalam usaha membesarkan lima orang anaknya yang berusia antara 5 dan 11 tahun. Lebih mencabar lagi, beliau juga terpaksa menjalani rawatan dialisis buah pinggang sebanyak tiga kali seminggu.

Warga emas turut mendapat sumbangan

Turut menerima STR adalah Chong Yok Jin dari Machang Bubok yang berusia 80 tahun. Beliau membuat penunaian sejumlah RM500 yang merangkumi RM300 dan RM200 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 masing-masing pada hari yang sama.

Warga emas Chong Yok Jin yang membuat penunaian di BSN.

“Saya akan gunakannya untuk beli barangan keperluan seperti beras dan makanan lain,” kata beliau yang kini tinggal berseorangan dan bergantung kepada sumbangan anak-anaknya untuk kelangsungan hidup.

Penerima yang tidak mempunyai akaun bank berdaftar dalam sistem pangkalan data Kementerian Kewangan diseru membuat penunaian di mana-mana cawangan BSN yang terdekat.

Proses penunaian di BSN berjalan lancar

Menurut Abdul Sham bin Abdul Wahab yang menerima RM100 bagi kategori bujang, proses penunaian di bank tersebut adalah mudah dan pantas.

Abdul Sham sedang menjalankan proses pengambilan tunai di kaunter BSN.

“Pengurusan untuk dapat wang bantuan hari ini berjalan lancar. Sebaik saya sampai, saya diberi nombor giliran dan pengambilan tunai saya diproses dan selesai dalam sekejap sahaja,” beliau berkongsi pengalamannya membuat penunaian kali kedua di bank yang sama.

Sumbangan STR ini cukup bermakna bagi Abdul Sham kerana ia boleh digunakan untuk menampung belanja menyambut hari raya Aidilfitri.

“Bolehlah saya gunakannya untuk belanja bulan puasa ini bagi persiapan hari raya nanti. Ini sedikit sebanyak dapat membantu saya dari segi kewangan,” kata beliau yang menghargai keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan berharap inisiatif ini akan sentiasa diteruskan.

Semakan status dan maklumat lanjut

STR akan disalurkan sebanyak empat kali kepada penerima yang layak di seluruh negara tahun ini. Selain Fasa 1 (mulai Januari) dan Fasa 2 (mulai April), Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan pada bulan Julai dan November masing-masing.

Pengagihan akan datang mengambil kira permohonan baharu mengikut kemaskini terbaru STR. Menurut Kementerian Kewangan, sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan kemaskini telah diterima dan akan melalui proses pengesahan sebelum kelulusan mengikut kategori.

Untuk makluman umum, semakan status pembayaran dan maklumat lanjut mengenai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh dibuat dengan melayari https://bantuantunai.hasil.gov.my/.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS