SIBU, 26 Julai: Kerajaan komited meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari RM118 juta kepada RM244 juta pada tahun ini bagi memastikan kemaslahatan kehidupan mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pada tahun ini juga, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Bayaran Sara Hidup sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM54 juta kepada RM174 juta.

"Sehingga 10 Julai 2024, seramai 29,331 veteran ATM telah menerima faedah ini melibatkan pembayaran berjumlah RM56 juta," katanya pada sidang media program Peduli Veteren MADANI (PVM) Peringkat Daerah Sibu di Falihah Cafe, Sibu pada Jumaat

Tambahnya, kementerian akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan melalui skim bantuan yang disediakan oleh JHEV ATM dan dimanfaatkan keseluruhannya oleh veteran ATM yang berdaftar melalui sistem VIBES.

"Sehingga kini, statistik keahlian mencatatkan seramai 16,939 orang veteran ATM tinggal di sekitar Sarawak, dengan 4,964 orang daripada jumlah itu adalah veteran yang tidak berpencen.

"Keahlian di Daerah Sibu sahaja mempunyai 1,340 orang veteran, dengan 313 orang daripadanya adalah veteran tidak berpencen," katanya.

Justeru, katanya, semua veteran ATM disarankan supaya mendaftar dan mengemaskini maklumat peribadi melalui JHEV ATM atau persatuan-persatuan di lokaliti masing-masing.

"Pelbagai bantuan telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk memastikan kebajikan veteran ATM sentiasa dipelihara seperti Skim Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.

"Keseluruhan bantuan ini dapat disalurkan kepada veteran ATM yang berkelayakan secara teratur dan efektif sekiranya berdaftar dengan JHEV ATM," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Adly berkata seramai 20 orang veteran ATM disantuni melalui PVM peringkat Daerah Sibu yang bermula hari ini (Jumaat).

Katanya, mereka adalah terdiri daripada mereka yang sedang uzur, sakit kronik dan memerlukan perhatian khususnya dalam aspek kesihatan dan penjagaan.

"Ini merupakan siri kedua siri jelajah PVM ke wilayah Sarawak bermula hari ini sehingga Ahad dan lawatan kali ini turut merangkumi Daerah Song, Kapit, Kanowit dan Bintangor," ujar beliau.

Selain bertanya khabar, pihaknya turut menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi dan mengagihkan sebanyak 550 Bakul Rahmah kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diberikan kepada veteran asnaf.

"Kita juga bertemu dengan lima orang usahawan veteran ATM yang masing-masing sedang menceburi bidang perusahaan madu kelulut, makanan sejuk beku dan restoran," katanya.

Pertemuan itu bagi menzahirkan sokongan dan komitmen Kementerian Pertahanan kepada veteran ATM agar terus berusaha mempertingkatkan sosioekonomi mereka dengan pelbagai skim bantuan yang disediakan sebagai veteran ATM dan agensi-agensi kerajaan.

Lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Zambery Jefry Darus; Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sarawak, Mejar Steven Kadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara) dan wakil persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Sibu.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.