Muktamar PAS baru-baru ini menarik untuk dibaca bukan semata-mata melalui usul, ucapan atau percaturan menghadapi pilihan raya akan datang. Beberapa kenyataan daripada perwakilan dan kepimpinan kanan parti membuka persoalan yang lebih besar: sejauh manakah PAS sudah bersedia, bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi mengambil alih dan mengurus kerajaan Persekutuan?

Pertanyaan ini bukan bertujuan merendahkan PAS, jauh sekali memperkecilkan kemampuan pemimpin atau penyokongnya. PAS ialah kekuatan politik yang nyata. Jentera akar umbinya tersusun, kesetiaan penyokongnya tinggi dan penguasaannya di beberapa negeri tidak boleh dipandang ringan. Namun semakin hampir sesebuah parti kepada kemungkinan memperoleh kuasa, semakin tinggi ukuran yang harus dikenakan terhadapnya.

Apabila PAS bercakap mengenai calon perdana menteri dan kemungkinan mengambil alih Putrajaya, rakyat berhak menilai kedalaman barisan kepimpinannya, pengalaman pentadbiran, kefahaman ekonomi, kemampuan diplomatik serta kesediaannya mengurus sebuah negara majmuk yang terintegrasi dengan ekonomi dunia. Parti yang mahu menjadi kerajaan tidak lagi boleh dinilai hanya melalui kekuatan ceramah, jentera pilihan raya atau kemampuan membangkitkan emosi penyokong.

Antara yang menarik perhatian dalam muktamar ialah kenyataan yang menghubungkan perjuangan PAS dengan jalan menuju syurga. Persoalannya bukan mempertikaikan keyakinan bahawa perjuangan melakukan kebaikan mempunyai nilai agama, lebih jauh lagi bagaimana sebuah parti yang mahu memerintah masyarakat majmuk membezakan bahasa jemaah daripada bahasa negara.

PAS boleh meyakinkan ahlinya bahawa perjuangannya mempunyai nilai agama. Namun kerajaan Malaysia tidak akan memerintah ahli PAS sahaja. Kerajaan perlu memerintah mereka yang mengundi PAS dan mereka yang menolaknya, Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu, Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bahasa sebuah kerajaan perlu memberikan rasa kewarganegaraan kepada semua, bukan sekadar memperkukuh keyakinan kelompok yang sudah menyokongnya.

Malaysia bukan sebuah muktamar yang diperbesarkan.

Isu kedua ialah gagasan perdana menteri dari Terengganu. Tidak ada masalah seorang perdana menteri berasal dari Terengganu atau mana-mana negeri. Asal geografi tidak menentukan kemampuan seseorang. Persoalannya ialah pengalaman, pendedahan, kebijaksanaan dan pasukan yang akan dibawanya untuk mengendalikan kerajaan Persekutuan.

PAS pernah berada dalam kerajaan Persekutuan melalui Perikatan Nasional dan sebahagian pemimpinnya pernah menjadi anggota Kabinet. Pengalaman itu perlu diakui. Namun pengalaman berada dalam kerajaan tidak semestinya sama dengan pengalaman mengendalikan kementerian kritikal yang menjadi teras ekonomi, keselamatan, pertahanan dan hubungan antarabangsa.

Urus negeri tak sama dengan urus pusat

Mengurus negeri juga tidak sama dengan mengurus Persekutuan. Perdana menteri dan kabinet perlu berhadapan dengan fiskal, perdagangan antarabangsa, pertahanan, diplomasi, pelaburan, teknologi, tenaga, hubungan Persekutuan-negeri serta kepentingan Sabah dan Sarawak. Siapakah dalam barisan PAS yang bersedia mengendalikan kewangan, pertahanan, keselamatan, perdagangan antarabangsa dan hubungan luar? Apakah gagasannya mengenai semikonduktor, kecerdasan buatan, peralihan tenaga, Asean, Brics, Laut China Selatan dan persaingan kuasa besar?

Sebuah kerajaan memerlukan lebih daripada seorang calon perdana menteri. Ia memerlukan ekosistem pemerintahan iaitu pasukan yang mempunyai pengalaman, kepakaran, kemampuan membuat keputusan dan kefahaman tentang bagaimana negara berfungsi dalam persekitaran domestik serta antarabangsa yang semakin kompleks.

PAS juga tidak boleh sekadar berhujah bahawa birokrasi Persekutuan yang profesional sudah tersedia sekiranya ia menang. Memang benar pegawai kanan kerajaan, diplomat dan pakar mempunyai memori institusi yang akan terus berfungsi apabila kerajaan bertukar. Namun birokrat bukan pengganti kepimpinan politik. Pegawai boleh menyediakan pilihan dan nasihat, tetapi menteri perlu memahami persoalan, menilai risiko, membuat keputusan dan mempertanggungjawabkannya.

Menteri yang tidak mempunyai penguasaan terhadap portfolionya boleh menerima taklimat beratus halaman, namun akhirnya keputusan politik tetap perlu dibuat olehnya. Birokrat tidak menentukan visi sebuah kerajaan dan mereka juga bukan pihak yang akan berdiri di Parlimen untuk mempertanggungjawabkan keputusan kepada rakyat.

Peti undi boleh memberikan mandat, tetapi tidak boleh mencipta pengalaman kenegaraan dalam satu malam.

Begitu juga kemenangan dalam dua pilihan raya negeri belum cukup untuk membuktikan kesiapsiagaan mengurus Persekutuan. Pilihan raya mengukur kemampuan mendapatkan undi; pemerintahan menguji kemampuan menggubal dasar, mengurus kewangan, menangani krisis, menarik pelaburan, mempertahankan keselamatan dan mengendalikan diplomasi.

Kemenangan besar boleh memberikan keyakinan politik, namun ia juga boleh menghasilkan ilusi bahawa penerimaan di beberapa negeri sudah menggambarkan penerimaan seluruh Malaysia. Realiti politik negara jauh lebih rencam daripada lingkungan kekuatan PAS di empat negeri mereka (SG4). Kekuatan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak semestinya mencerminkan penerimaan di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak, yang mempunyai demografi, struktur ekonomi dan budaya politik yang berlainan.

PAS sudah membuktikan kapasiti elektoralnya. Persoalan berikutnya ialah sama ada kekuatan memenangi pilihan raya itu sudah berkembang menjadi kapasiti kenegaraan.

Kenyataan Hadi berkaitan Amerika

Isu ketiga ialah kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengenai Amerika Syarikat. Dakwaan campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia merupakan perkara serius. Penafian Amerika tidak dengan sendirinya membuktikan dakwaan tersebut palsu, namun semakin besar sesuatu tuduhan, semakin besar tanggungjawab memberikan penjelasan dan mengemukakan bukti.

Ini bukan bermaksud mempertahankan Amerika seolah-olah kuasa itu tidak mempunyai sejarah campur tangan dalam urusan negara lain. Sejarah dasar luar AS sendiri sarat dengan kontroversi campur tangan, tekanan politik dan penggunaan kekuatan ketenteraan. Namun sejarah tersebut tidak membuktikan secara automatik setiap dakwaan khusus mengenai campur tangan AS di Malaysia.

Oleh itu, dakwaan khusus memerlukan bukti khusus.

Lebih-lebih lagi apabila kenyataan datang daripada pemimpin sebuah parti yang bercita-cita mengetuai kerajaan. Diplomasi memerlukan keberanian tetapi juga disiplin. Malaysia berhak mengkritik Washington dan berbeza dengannya mengenai Palestin, Iran, China atau isu antarabangsa lain, namun terdapat perbezaan antara berani berbeza dengan kuasa besar dan membuat tuduhan serius tanpa menunjukkan asas pembuktiannya.

Pemimpin kerajaan juga perlu memahami bahawa ucapan mengenai negara asing tidak hanya didengar oleh penyokong di dalam dewan atau pengguna media sosial. Ia turut diperhatikan diplomat, kerajaan asing, pelabur dan komuniti antarabangsa. Apabila sebuah parti bercita-cita memerintah, bahasa politik domestiknya semakin sukar dipisahkan daripada gambaran bagaimana ia mungkin mengendalikan hubungan luar negara.

Politik luar negara tidak boleh dijalankan seperti ceramah politik.

Pada titik inilah perbandingan dengan Umno menjadi relevan. Umno mempunyai kelebihan dari segi pengalaman pemerintahan, namun kelebihan itu tidak boleh dibaca tanpa mengakui beban yang turut dibawanya. Sejarah panjang Umno dalam kekuasaan turut dibayangi kes rasuah, kontroversi tadbir urus dan persoalan integriti yang melibatkan kalangan tertentu pemimpinnya. Pengalaman dengan demikian tidak secara automatik memberikan kelebihan moral; Umno masih perlu membuktikan bahawa pengalaman tersebut boleh digandingkan dengan integriti, pertanggungjawaban dan pembaharuan.

Namun pengalaman tetap pengalaman. Puluhan tahun dalam kerajaan Persekutuan menghasilkan beberapa generasi pemimpin Umno yang pernah menjadi menteri dan timbalan menteri, mengendalikan kementerian penting, berurusan dengan birokrasi Persekutuan serta terdedah kepada rundingan dan hubungan antarabangsa. Pengalaman kenegaraan itu merupakan modal politik yang tidak wajar diketepikan. Cabaran Umno ialah memastikan modal pengalaman tersebut tidak lagi dibayangi budaya kuasa dan persoalan integriti yang pernah menghakis kepercayaan sebahagian rakyat terhadapnya.

Umno perlu fikir panjang

Maka sebab itu Umno perlu berfikir panjang sebelum meninggalkan Kerajaan Perpaduan semata-mata kerana tidak mahu bersama DAP atau mahu kembali kepada formula penyatuan Melayu-Islam bersama PAS.

Umno sendiri pernah melalui politik slogan “No Anwar, No DAP”. Slogan tersebut lahir dalam konteks persaingan politik ketika itu, namun perkembangan selepas PRU15 menunjukkan bahawa politik pemerintahan kadangkala memerlukan kompromi apabila tidak ada satu gabungan memperoleh kekuatan mencupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Politik selepas pilihan raya tidak selalunya bergerak mengikut garis slogan sebelum pilihan raya.

Ini tidak bermaksud Umno perlu meninggalkan prinsipnya atau menerima semua pendirian DAP. Persoalannya ialah sama ada “tidak mahu bersama DAP” masih mencukupi sebagai strategi politik nasional. Sebuah parti yang mahu kembali menjadi kekuatan utama tidak boleh menentukan masa depannya hanya berdasarkan siapa yang tidak mahu diajak bekerjasama; ia juga perlu menjelaskan negara seperti apa yang mahu dibinanya.

Jika Umno kembali berlumba dengan PAS menentukan siapa lebih Melayu, lebih Islam dan lebih keras terhadap DAP, parti itu memasuki gelanggang yang telah lama dikuasai PAS. Jika akhirnya Umno menawarkan formula politik yang hampir sama, pengundi Melayu boleh bertanya: mengapa tidak memilih PAS sahaja?

Umno tidak perlu mengikut rentak PAS untuk mendapatkan kembali sokongan Melayu. Cabarannya ialah menawarkan gagasan Melayu-Islam yang sesuai dengan Malaysia masa kini. Orang Melayu bukan hanya memikirkan kuasa politik, tetapi gaji, kos kehidupan, pendidikan, pemilikan aset, pekerjaan berkualiti, teknologi, kecerdasan buatan, perusahaan Bumiputera dan mobiliti sosial.

Maka di sinilah Umno boleh membezakan dirinya melalui Melayu-Islam sebagai projek pembinaan negara. Melayu tidak hanya dipertahankan melalui retorik kuasa, malah diperkasakan melalui ekonomi, ilmu, teknologi dan institusi. Islam pula tidak sekadar ditampilkan melalui simbol, tetapi diterjemahkan kepada amanah, keadilan, integriti, kebajikan dan kualiti pemerintahan.

Kuasa Melayu-Islam dalam pengertian ini bukan dominasi terhadap kaum lain, sebaliknya kemampuan masyarakat Melayu-Islam menjadi tenaga utama kemajuan Malaysia tanpa menjadikan masyarakat lain sebagai ancaman. Politik Melayu yang yakin terhadap dirinya tidak perlu sentiasa hidup dengan menghasilkan musuh untuk ditakuti.

Berada dalam Kerajaan Perpaduan justeru tidak semestinya melemahkan identiti Umno. Ia boleh menjadi medan untuk parti itu membina semula kredibiliti, memperlihatkan kemampuan menteri-menterinya dan membuktikan bahawa sebuah parti Melayu boleh bekerjasama dalam kerajaan majmuk tanpa kehilangan prinsip. Politik mempunyai kitarannya sendiri; tidak mustahil Umno kembali menjadi kekuatan utama jika ia berjaya memperbaharui dirinya, tetapi jalan kembali itu tidak semestinya melalui pertandingan siapa lebih Melayu-Islam daripada PAS.

Sesuatu yang lebih sederhana

PAS pula sudah membuktikan bahawa ia mampu memenangi banyak kerusi dan menguasai beberapa negeri. Ujian berikutnya ialah membuktikan bahawa kekuatan tersebut boleh diterjemahkan kepada kapasiti kenegaraan.

Tulisan ini bukan mengatakan PAS tidak layak memerintah Malaysia. Ia mengatakan sesuatu yang lebih sederhana: keinginan untuk memerintah belum menjadi bukti kemampuan untuk memerintah.

Malaysia memerlukan pemimpin yang mempunyai pengalaman dan kompetensi, namun pada masa yang sama menjunjung integriti, pertanggungjawaban dan batas moral penggunaan kuasa. Politik populisme dan ekonomi perhatian mungkin membantu sesebuah parti menguasai perbualan awam, tetapi negara tidak boleh ditadbir berdasarkan jumlah sorakan, tontonan atau kemarahan yang berjaya digerakkan.

Untuk sampai ke Putrajaya, sebuah parti perlu memenangi pilihan raya. Namun untuk kekal di Putrajaya dan menjaga Malaysia, sesebuah parti perlu tahu bagaimana menjadi kerajaan — iaitu bukan sekadar memenangi pilihan raya, menguasai pentas ceramah, mencipta naratif media sosial atau menggerakkan sentimen penyokong, tetapi mempunyai kepimpinan yang berpengalaman, kompeten dan matang untuk mengurus sebuah negara yang kompleks.

Ini kerana memenangi pilihan raya ialah seni mendapatkan kuasa. Memerintah sebuah negara ialah seni menggunakan kuasa dengan ilmu, kebijaksanaan dan tanggungjawab.

ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa serta mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan hubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.