Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Minggu yang menyedihkan bagi negara, sebuah permata hilang sebelum sempat digilap sehingga terpancar sinarnya.

Dzulkifli Ismail yang mesra dengan panggilan Cikgu Zul, bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Pahang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tangku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

NONE Cikgu Zul adalah anggota aktif Parti Rakyat Malaysia (PRM) - kemudian bersama PKR - selepas penggabungan antara PRM dan Parti Keadilan Nasional (PKN).

Tidak ramai yang tahu, Cikgu Zul juga adalah seorang seniman, menurut adiknya, Shamsiah Ismail, sebelum aktif berpolitik, arwah abangnya hanya memberi tumpuan dalam bidang seni untuk menghormati arwah ayahnya yang merupakan anggota aktif Umno.

"Dia pernah berada di pentas bersama Saloma dan P Ramlee untuk persembahan pentas. Zaman itu banyak pertunjukan pentas di padang-padang, dia selalu jadi pelakon utama.

"Kegiatan seni ini, memang dia meminati seni, bagi saya sebagai tudung melindungi penglibatan politik sayap kirinya, mungkin juga untuk tidak mengguris hati bapa yang begitu menyanjungi perjuangan Umno.

"Bakat seninya pelbagai, boleh berlakon, menyanyi, menari, bermain alat musik dan menulis skrip", kata Shamsiah ketika ditemui di upacara pengkebumian Cikgu Zul.

Ditahan ISA

Sebaik sahaja menang kerusi dewan undangan negeri Sungai Lembing dalam pilihan raya tahun 1969, Cikgu Zul ditahan dibawah ISA. Menurut mantan presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, ketua PRM Pahang itu ditahan selama 5 tahun.

NONE "Cikgu Zul ditangkap lepas pilihan raya 1969 dan dibebas selepas pilihan raya 1974. Jadi, tidak sehari pun Cikgu Zul dapat duduk dalam DUN," katanya.

Pada ketika itu (zaman perang dingin), Malaysia masih lagi dihantui oleh "momok" komunisme.

Barang siapa yang kritikal kepada kerajaan akan dituduh komunis.

Di antara sebab mengapa PRM popular dalam politik tanah air pada pilihan raya 1974 adalah kerana PAS berada dalam BN - penjenamaan semula yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak daripada Perikatan.

Dengan semangat perjuangan PRM yang diwarisi daripada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Cikgu Zul antara tokoh yang lantang mengkritik pemerintah yang dianggap sebagai warisan penjajah British.

Jaguh pidato

Dikhabarkan pidato Cikgu Zul umpama Bung Karno (presiden pertama Indonesia).

Mungkin juga kerana di zaman itu, pengaruh besar Sukarno di alam Nusantara ini tak mampu dikekang.

NONE "Satu kehebatan Cikgu Zul ialah keupayaan berpidato. Orang akan terpukau mendengar pidatonya. Dia memang hebat. Pidatonya sentiasa diselangselikan dengan lawak jenaka, sindiran sinis terhadap pemimpin Umno, MCA dan MIC.

"Secara bersahaja dan spontan menyebabkan ramai orang yang addicted (ketagih) kepada pidatonya. Dia juga akan menggunakan pelbagai dialek untuk membuai hati hadirin yang datang mendengar pidatonya supaya mendengar sampai habis.

"Dia sentiasa menjadi anchor speaker sebab sebaik habis dia berpidato, orang ramai akan angkat punggung dan balik.

"Sewaktu abang-abang saya masih bersekolah, saya ada 4 abang, 2 tinggal bersama ibu saya, dan dua lagi bersama ibu masing-masing, setiap kali balik sekolah, arwah ayah saya akan minta mereka berpidato dan siapa yang berjaya berpidato dengan baik akan diberi hadiah 20 sen.

"Dan sudah tentu, setiap kali Cikgu Zul yang akan menang sebab yang lain tak berbunyi pun. Berpidato dan menjadi juara pidato dalam keluarga itu ibarat rutin hidup Cikgu Zul dan setiap hari sudah pasti dapat hadiah 20 sen," kata Shamsiah dengan sebak.

Dihormati kawan dan lawan

Dzulkifli telah rujuk kembali dengan penciptanya. Akan tetapi, nama beliau akan terus menjadi ingatan kawan dan lawan sepanjang berkecimpung dalam politik tanah air.

Cikgu Zul akan diingati sebagai seorang yang konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat marhaen.

NONE Tidak hairanlah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ( kanan sekali, berbaju biru jernih ) turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jaguh pidato dari negeri Pahang itu.

Malaysia hilang sebuah permata yang belum sempat digilap. Jika digilap, sudah pasti terpancar kecantikan permata itu.

Jika sejarah negara ditulis dengan memberikan keadilan kepada semua pihak, nama seperti Cikgu Zul tentu akan diangkat sebagai tokoh hebat yang mengabdikan dirinya untuk sebuah perjuangan panjang membela rakyat tertindas.

Sebagai seorang anak muda yang masih mentah dalam kehidupan ini, salut dan hormat dari penulis kepada Cikgu Zul dan ahli keluarganya.

Percayalah, akan lahir seorang lagi "Cikgu Zul" dari kalangan keturunan arwah sendiri. Hanya masa yang menentukan.

ADS