Politik tidak jujur. Persembahan wacana kepada masyarakat sering berlapik, selapis dan berpihak. Ia ingin memuaskan sentimen paling asas, paling ramai mungkin, selamat, kurang kontroversi dan sentiasa ada perhitungan untung-rugi pengaruh.

Ia mengelak daripada isu-isu yang boleh membuka pekungnya di depan orang ramai (kecuali tidak dapat terelak, maka isu itu dipendam, dialih atau diberikan tafsiran baru).

Kerajaan dan pembangkang, semua orang politik sedar, mereka tidak bercakap sepenuhnya jujur. Mereka tidak seharusnya berbohong (untuk itu) tetapi kebenaran yang lebih tinggi dan luas bukan dari mulut orang politik. Agendanya kuasa, bukan kejujuran ilmu.

Orang ramai, termasuk mereka yang terpelajar tetapi tidak cermat mengekori politik, sering terperangkap dalam propaganda manis orang politik. Mereka suka dan menaruh harapan.

Mereka tidak mengkaji dinamika yang lebih besar.

Kepercayaan kepada orang politik masih kuat kerana kelantangannya mengeluar kenyataan dan kejayaannya mengitar semula retorik.

Apakah anjakan utama atau "kebaruan" daripada apa yang didakwa baru itu? Apakah ia boleh dipertahankan? Bagaimana sesuatu kesimpulan dicapai, apakah asas-asas sandarannya?

Kelemahan diri

Ruang kejujuran, kontroversi, membedah diri harus berada atas pentas keilmuan atau "keberanian intelektual". Sebab itu parti-parti pembangkang, sama juga parti kerajaan, sangat bimbang isu kelemahan rumah tangganya dibuka kepada khalayak.

Tetapi kita tidak berlaku jujur dengan menyimpan kelemahan diri sendiri, pembangkang atau kerajaan. Kita sebagai bangsa harus berdepan dengan kenyataan buruk negara ini, mengiktiraf kelemahan sendiri, dengan yakin dan berani.

Bukan dengan menyekat pendedahan atau menolak propaganda selapis kononnya semua baik; dengan memberi alasan untuk menyapu isu-isu bangkai di bawah permaidani; dengan menyalahkan kongkongan kerajaan.

Tetapi dalam masyarakat yang terbelah dua seperti tercetus sejak krisis 1998, keberanian intelektual untuk menafsir realiti sejujurnya sukar kita perolehi sama ada melalui pentas kerajaan atau pembangkang, walau mereka sangat berpengaruh untuk berbuat demikian.

Tidak ada yang berani tampil ke depan bercakap terus-terang. Oleh itu, masyarakat masih dibuai-buai agenda serta wacana "perang" yang kita warisi selewat-lewatnya sejak lima tahun silam.

Kemungkinan besar juga, bersikap jujur boleh menyinggung kedua-dua pihak, dicurigai dan kemudiannya dibatasi dan dimusuhi. Dalam tradisi suka membodek atau "mengambil hati", tidak kira sama ada tindakan atau hujah itu telah pun diawamkan, kita sering memilih jalan tidak menyinggung orang lain, khususnya kelompok atau pihak yang kita kenali.

Mengurang musuh

Orang yang dikritik, selalunya orang politik dan tua pula, selalunya cepat terasa dan memendam berang di dalam dada. Lalu kita sering memikirkan keselesaan hubungan peribadi atau jika minat berpolitik, kita mungkin sedang merencana langkah-langkah selamat untuk mengurangkan "musuh."

Pendek kata kita jarang membuat keputusan menggugat "air muka" orang lain yang dikenali atau "berada di pihak kita", apatah lagi melalui media; semuanya wajar ditangani secara berbisik, kononnya.

Tidak kita fikirkan pula sama ada seseorang itu teman peribadi kita semata-mata atau seseorang yang mempunyai peranan awam. Kita tidak sanggup membezakan maklumat peribadi dengan tugasan serta penampilan awam.

Media hanya untuk mengangkat citra diri atau menggodam pihak musuh. Lalu mereka ini dilindungi daripada muhasabah awam. Kebodohan, kesilapan serta kelemahan mereka tidak terserlah, lalu mereka mudah rasa selamat.

Kebijaksanaan tidak terungkap melalui proses ini, ia sejenis pembohongan atau kebebalan tersembunyi. Kita tidak dapat membezakan apakah tindakan, strategi, keputusan, dasar serta sudut pandang yang lebih baik; tidak dapat membezakan antara kebernasan dengan ketololan.

Strategi diikuti tanpa mengambil kira lingkungan dan asas mencapai rumusan merangka strategi.

Proses mengolah sudut pandang, membaca lingkungan dan sandaran-sandaran hujah tidak terungkap, tidak lengkap; apa yang kita dengar hanya wacana permukaan hasil akhir proses ini. Kita gagal menyelami selok-belok penampilan wacana.

Muhasabah awam, melalui media antaranya, akan membolehkan langkah-langkah ini diteliti dan disemak. Ia akan memaksa banyak pihak, pengemuka saranan dan pengkritiknya, bersiap sedia dengan landasan berhujah secara rasional, logikal, berfakta dan waras. Kita akan sentiasa boleh mempertikaikan kebijakan sesuatu proses politik.


Nota: Penulis mengalu-alukan maklum balas daripada pembaca berhubung tulisan ini, kemungkinannya untuk diterbitkan menjelang September tahun ini, sempena ulang tahun kelima 'Gerakan Reformasi'. Penulis boleh dihubungi di alamat e-mel faomar3@yahoo.co.uk