Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terlepas sama ada pencerobohan di Lahad Datu dirancang atau sebaliknya, semangat patriotisme dalam krisis sebegini sering akan menguntungkan parti kerajaan.

Patriotisme ini dipacu oleh rasa ingin bersatu bersama pasukan keselamatan dalam memenangi krisis ini, sekali gus bersama kuasa politik yang menggerakkan jentera pasukan itu.

Pasukan keselamatan dan kuasa politik (baca: pemerintah) dianggap setaraf dengan "negara" dan "tanah air" yang wajar dicurahkan sepenuh kesetiaan (tanpa kritik) dan pengorbanan (tanpa batas).

Berbeza dengan pergolakan politik dalaman yang meretakkan, sewaktu kesetiaan dan pengorbanan tidak menjadi isu, nilai utama atau kebaikan teratas; pencerobohan seperti di Lahad Datu mengimbau rasa kesatuan dengan apa saja langkah penentangan terhadap anasir asing.

Penentangan terhadap orang asing ini dianggap nilai utama atau kebaikan teratas kita bersama.

Kesatuan nasib dengan sesama warga, walau berbeza sisi pandang politik, dianggap "wajar" kerana kekhuatiran kita pada orang asing dan keasingan peristiwa itu sendiri.

Lahad Datu bukan Sauk atau Memali. Sauk dan Memali mewakili politik dalaman yang meretakkan. Memali tambah meretakkan PAS dan Umno yang berdiri atas dua garis politik berbeza.

Sauk pula, atas sifatnya yang melibatkan warga tempatan, tidak membangkitkan patriotisme; ia hanya meningkatkan rasa resah warga dalam gambaran militan kumpulan al-Maunah.

Patriotisme spontan

Tetapi Lahad Datu ada dimensi lain -- "orang asing" seperti kecurigaan kita pada kaum pendatang di tengah-tengah kita selama ini. "Orang asing" kerana keasingan nilai, bahasa, orientasi hidup, gaya, egoisme dan corak baju.

Atas sifatnya yang bersenjata (baca: ganas) dan enggan tunduk pada rundingan, maka "tentera diraja" Sulu meningkatkan lagi rasa cuak serta marah kita. Dalam imaginasi kita, mereka semua ini pengacau.

Pengacau ini tidak boleh ditangani dengan cara biasa -- cara politik dalaman seperti demonstrasi, saman, kenyataan akhbar atau laporan polis. Mereka hanya boleh dibereskan melalui pasukan keselamatan.

Politik dalaman boleh dicampuri pembangkang tetapi politik tentera hanya boleh digerakkan oleh kerajaan.

Justeru, kritik kita pada pasukan keselamatan tiba-tiba mengendur kerana muncul harapan menggunung agar ia dengan segera menghalau pengacau yang menimbulkan rasa cuak dan marah kita.

Di sinilah bermula patriotisme -- bersatu dengan pasukan keselamatan dalam memenangi krisis ini, sekali gus bersama kuasa politik yang menggerakkan jentera pasukan itu.

Kebersamaan ini bertukar menjadi nilai utama atau kebaikan teratas.

Kebersamaan ini, atau sebut saja patriotisme, tiba-tiba muncul menjadi kuat apabila krisis luar jangka itu tidak semena-mena mencuri perhatian awam sewaktu orang ramai sedang kebingungan memahaminya.

Patriotisme jelmaan Lahad Datu itu hampir-hampir spontan sifatnya. Kebingungan disusuli pula rasa resah atau tidak selamat warga.

Mendaftar penyokong pembangkang

Maka, peleraian rasa itu hanya boleh dicapai di muncung senjata dalam susun atur orang yang berkuasa. Mereka sahajalah sang pelindung dan sang penyelamat. Kerajaan atau pihak berkuasa sebagai sumber kebaikan.

Di sisi ini kerajaan, atau BN, meraih keuntungan politik yang besar berbanding pembangkang.

Jika angin patriotisme ini bertiup kencang ke seluruh negara tanpa dapat dihadang-hadang lagi, pembangkang akan tersudut dalam fantasi Putrajayanya sendiri.

Apatah lagi patriotisme Lahad Datu ini disusuli pula dengan kempen anti-Anwar Ibrahim yang digambarkan sebagai dalang pencerobohan atau anti-Tian Chua sebagai simbol penghinaan pasukan keselamatan.

Terlepas sama ada kenyataan Tian itu dilaporkan dengan tepat di akhbar PKR atau sebaliknya, kempen anti-Tian (dan lain-lain) menjurus pada gambaran bahawa pembangkang memperkecil-kecilkan pasukan keselamatan, pasukan yang dijulang sebagai sang penyelamat dan sang pelindung.

Jika kebersamaan dengan pasukan ini dirasakan nilai utama atau kebaikan teratas, maka kesenjangannya pula bermakna kejahatan yang paling buruk!

Sekali lagi, di sisi ini, BN boleh mengatasi pembangkang dengan mudah menjelang minggu-minggu genting sebelum pilihan raya umum.

Sedar tidak sedar, patriotisme Lahad Datulah sebetulnya "pengundi hantu" yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); yang tidak terjejak di pangkalan data Pakatan Rakyat.

Ia lebih besar daripada projek IC kerana ia turut mendaftar penyokong-penyokong pembangkang yang "patriotik"!


FATHI ARIS OMAR ketua pengarang Malaysiakini.

ADS