Suara garang, nada berbeza dari Umno untuk Malaysia
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang melabuhkan tirainya semalam tampil berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Berbanding dua tahu lalu, misalnya, PAU terdahulu lebih banyak meggunakan masa yang ada bagi membicarakan tentang keberadaan Umno-BN dalam kerajaan perpaduan.
Pentas PAU pada masa itu digunakan bagi meyakinkan dan menjelaskan kepada perwakilan serta penyokong Umno mengapa ia mengambil keputusan untuk berada dalam kerajaan yang dipimpin Anwar Ibrahim.
Keberadaan DAP – satu daripada komponen PH – dalam kerajaan perpaduan mengundang gelisah kalangan ahli Umno dan juga orang Melayu. Justeru kegelisahan itulah yang cuba ditenangkan para pemimpin Umno dengan menjelaskan rasional keputusan mereka membentuk kerajaan perpaduan dengan bekas seterunya.
Pada masa sama Umno cuba menepis olokan bersifat menghina "UMDAP" yang dijadikan naratif oleh pihak lawan bagi menyerang.
Sebagai pembelaan diri Umno pada masa itu menegaskan bahawa mereka tidak pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP, sebaliknya hanya bersama PH bagi memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong selepas PRU ke-15 untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun PAU 2026 menghadirkan nada dan suasana yang berbeza. Ia lebih dirasai dengan kehadiran ramai bekas pemimpin Umno yang rujuk kepada parti itu melalui inisiatif Rumah Bangsa.
Umno kali ini juga mengambil kedudukan dalam mood "menyerang". Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka memalu genderang perang ketika mana kerjasama dengan PAS dilihat semakin jelas.
Berkerat rotan, berpatah arang
Sejak awal lagi Ahmad Zahid melontarkan peluru terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk melalui olokan serta sindirian yang – seperti biasa – disambut dengan meriah oleh ribuan perwakilanan.
Umno juga secara terbuka mengulangi pendiriannya mahukan PRU ke-16 diadakan segera bagi mendapatkan mandat baru, dan Umno, kata Ahmad Zahid, telah bersedia untuk menerajui kerajaan semula.
Sudah tentu ia dapat difahami dengan mudah kerana Umno kini berada dalam keadaan jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.
Antara lain ialah kerana Umno sedang dibayangi – atau membayangi – PAS yang sudah berkali-kali menunjukkan kesediaan mereka berkorban atas nama penyayuan ummah.
PAS juga bertegas mahu memastikan negara ini ditadbir melalui formula mereka iaitu dipimpin oleh orang Melayu Islam, selain disokong oleh kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam yang “tidak ekstrem.”
Tidak berakhir di situ, semalam sewaktu penggulungan pula Ahmad Zahid sekali "menyerang" Anwar. Serangan kali ini dilihat lebih nekad apabila dia secara terbuka mencabar supaya BN ditendang keluar jika berani.
Ahmad Zahid sekali lagi menghantar isyarat jelas bahawa Umno telah "berpatah arang berkerat rotan" dalam kerjasama politik dengan PH namun, tetap mengambil pendirian untuk terus kekal dalam kerajaan yang dibentuk bersama.
/file/attachments/orphans/zahidphotowithpasrepresentativesatumnoagm20260911_867105.png)
Perkara paling menarik bagi PAU kali ini sudah pastinya tertumpu kepada kehadiran pemimpin kanan PAS ke persidang itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Meskipun tanpa presidennya, Abdul Hadi Awang, namun sosok seperti Idris Ahmad dan Takiyuddin Hassan cukup untuk memberi makna bahawa kedua-dua parti bersedia dengan agenda penyatuan ummah.
Malah, Ahmad Zahid tanpa berselindung menyatakan kesediaannya untuk menjalinkan kerjasama bagi mengelak pertembungan dalam pilihan raya sekali gus merugikan mereka.
Pertemuan pemimpin PAS dan Umno kali ini umpama mengulangi sejarah Muafakat Nasional (MN) yang pernah disaksikan di Dewan Merdeka WTC.
Di sebalik kesediaan untuk menjalinkan kerjasama, Umno sempat memberi peringatan. Dalam senda dan senyum, PAS diingatkan bahawa kesanggupan Umno itu ada harganya.
Paling utama, ia mesti dipastikan tidak membawa kepada pengkhianatan.
Kerana itulah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, menegaskan tentang perlunya bertolak ansur dan saling memberi. Sekurang-kurangnya ia untuk membuktikan kesetiaan dalam persahabatan.
Tekad 16 hadapi PRU16
Sebagai ujian awal, Mohamad menyarankan supaya PAS membubarkan mana-mana DUN di negeri yang dikuasai mereka – Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu. Dari itu, kata Mohamad, dapatlah Umno menilai keikhlasan PAS dalam berkawan.
Perlu diingat bahawa di empat negeri itu secara keseluruhan ada 128 kerusi DUN. Daripada jumlah itu, Umno hanya wujud di dua kerusi saja, iaitu di Kelantan.
Baki 126 kerusi lagi ialah milik parti lain.
Sudah tentu Umno perlukan bukti atau keyakinan yang benar-benar padu untuk meneruskan kerjasama dan persefahaman “demi ummah” itu.
Ketika kehangatan membicarakan soal kerjasama, Umno juga berterus terang menyatakan mereka lebih selesa untuk meneroka jalan yang ada bersama PAS ketimbang PN secara keseluruhan.
Malah, perkara itu disuarakan dengan jelas oleh perwakilanan ketika membahaskan ucapan dasar. Perlu diingat, dalam PN juga wujud sebuah parti relatif kecil yang pemimpinnya berasal dari Umno sendiri.
Menarik juga jika meneliti soal kerjasama Umno dan PAS. Umno yang pernah menjalinkan kerjasama dengan PAS melalui tahaluf siyasi pada tahun 2018 yang membawa kepada terbentuknya Muafakat Nasional (MN).
/file/attachments/orphans/UMNOOnlinesdsd_337116.jpg)
Namun, selepas MN gagal, Umno dan PAS sekali lagi sedang merancang kerjasama politik mereka dalam usaha kembali mentadbir negara.
Belajar daripada pengalaman lalu, Ahmad Zahid kali bukan sahaja menuntut keikhlasan, namun kerjasama yang bakal dibentuk lebih kepada persefahaman ataupun tafahum siyasi berbanding tahaluf siyasi sebelum ini.
Akhir sekali, menutup PAU2026, Ahmad Zahid mengumumkan "Tekad 16" sebagai persiapan bagi menghadapi PRU ke-16.
Ia menggariskan lima tekad untuk diterjemahkan kepada gerak kerja yang tersusun dan tindakan yang benar-benar sampai ke akar umbi.
Pun begitu, nampaknya pada penghujung hari Ahmad Zahid - melalui sidang media - menyatakan apa yang dibangkitkannya dalam ucapannya tidak menyanggah mana-mana sosok terutamanya Anwar.
Pada masa sama, kata Ahmad Zahid, Umno mengingatkan bahaw resolusi yang dibuat semasa PAU tahun ini harus dihormati iaitu Umno terus bersama kerajaan perpaduan sehingga penggalnya tamat.
Cuma, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Umno tidak tahu bila tamatnya.
"Kita (Umno) akan terus berada di dalamnya dan selama kami berada di dalamnya memang ada perbedaan pendapat tetapi kita adalah anggota jemaah menteri yang profesional dan juga kepimpinan parti yang profesional," katanya.
/file/attachments/orphans/hamidi13_462872.jpg)
