Sejak awal penubuhannya, banyak pihak telah membuat ramalan bahawa Parti Keadilan Nasional tidak akan bertahan lama. Sehari dua ini, selepas berlangsungnya pilihanraya umum, sekali lagi isu yang sama dicanangkan. Keadilan dikatakan sama sahaja dengan Parti Melayu Semangat 46 dari segi sifatnya yang dianggap parti serpihan Umno, dan nasibnya yang dikatakan, akan dibubarkan dan kembali semula kepada Umno tidak lama kemudian.

Namun Keadilan bukan Semangat 46. Keadilan bukan parti serpihan Umno kerana ia telah menghimpunkan bukan sekadar bekas ahli Umno, tetapi disertai oleh masyarakat berbilang keturunan dan latarbelakang.

Sepanjang hampir lima tahun dan dua kali pilihanraya umum, Keadilan terus mengharungi dan mengatasi pelbagai bentuk cabaran dan tekanan, khususnya daripada parti pemerintah.

Antara yang paling getir dan memberi kesan terhadap kerancakan aktiviti Keadilan ialah penahanan tanpa bicara pemimpin-pemimpinnya, tindakan undang-undang atas pelbagai tuduhan terhadap para pendokong dan tohmahan yang bermacam-macam, khususnya dakwaan bahawa Keadilan dan pemimpinnya bersikap militan.

Lima tahun ini sebenarnya membuktikan dakwaan dan tohmahan pemerintah tidak berasas sama sekali kerana tidak ada satu bukti pun yang dapat dikemukakan. Tekanan dan dugaan terhadap parti ini memang luar biasa. Dalam sejarah politik negara, tidak ada mana-mana parti atau organisasi yang menerima tekanan sebegini hebat dalam usia semuda ini.

Menjelang pilihanraya baru-baru ini, perancangan untuk menghancurkan Keadilan diteruskan oleh parti pemerintah dengan mengatur usaha terancang untuk merasuah ahli dan pemimpinnya agar meninggalkan perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran.

Politik baru

Apabila seorang dua bekas pemimpin melompat, parti pemerintah bersorak gembira dan sekali lagi ramalan-ramalan dibuat bahawa Keadilan akan segera berkubur. Ramalan itu lebih untuk menyedapkan hati mereka dan sebagai propaganda jahat untuk menggoncang keyakinan pendokong Keadilan menjelang pilihanraya.

Namun parti ini tetap bertahan dan mengharungi Pilihanraya Umum Kesebelas yang ternyata dipenuhi penyelewengan dan kepincangan. Keputusannya, hanya satu kerusi iaitu Permatang Pauh dapat dipertahankan. Kali ini para peramal merasakan mereka sudah sampai kepada saatnya di mana Keadilan akan benar-benar 'gulung tikar' dan segala ramalan mereka akan menjadi kenyataan.

Malang bagi mereka, kerana Pilihanraya Umum Kesebelas yang baru lalu ini bukan garis penamat, sebaliknya permulaan untuk melonjakkan lagi agenda Reformasi dan perjuangan membela rakyat, menegakkan keadilan, menentang rasuah dan kezaliman. Kepincangan paling ketara dan buruk SPR dalam pilihanraya kali ini, memperkukuhkan keyakinan bahawa masih banyak yang harus diperbetulkan dan reformasi perlu diteruskan.

Keadilan menanggung akibat kerana memasuki gelanggang politik Malaysia tetapi bertegas tidak mahu bermain dengan peraturan lama iaitu politik perkauman. Ketika Semangat 46 ditubuhkan, pemimpin parti tersebut menyatakan dengan tegas bahawa mereka adalah saling tak tumpah dengan Umno (malah mereka mendakwa lebih Umno daripada Umno Baru), mereka adalah sebuah parti perkauman yang mempunyai istilah Melayu di dalam nama parti.

Justeru permainan mereka, pencak silat mereka juga adalah politik perkauman. Semangat 46 mendakwa mereka adalah Umno, lalu tidak peliklah mereka akhirnya kembali semula ke pangkuan Umno.

Sebaliknya, sejak awal ditubuhkan, parti Keadilan telah menegaskan berulangkali bahawa parti ini bukan sebuah parti perkauman, bukan juga sekadar sebuah parti pelbagai kaum, sebaliknya sebuah parti bukan perkauman.

Keuntungan politik

Prinsip bukan perkauman menjadi salah satu tunggak dan pegangan utama parti ini. Sedari awal, kita sedia maklum bahawa adalah sukar untuk bergerak di luar amalan politik perkauman. Mendidik rakyat mengenai politik bukan perkauman jauh lebih getir.

Sebelum ini, sudah beberapa kali percubaan dilakukan untuk bergerak atas landasan bukan perkauman. Parti Gerakan Rakyat Malaysia, bermula sebagai parti berbilang kaum, tetapi akhirnya menjadi sebuah parti Cina.

Begitu juga DAP yang berulang kali menegaskan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum sedangkan cara beroperasi, DAP selayaknya sebagai sebuah parti Cina. Justeru, tidak menjadi sesuatu yang aneh apabila DAP sendiri cuba meraih keuntungan politik maksima dengan memainkan isu-isu perkauman.

Keputusan pilihanraya yang baru lalu memperlihatkan betapa usaha mesti dipertingkat untuk mendidik rakyat mengenai politik berasaskan kebenaran dan keadilan untuk semua, bukan berasaskan sentimen perkauman. Parti-parti yang berasaskan dan berkempen atas sentimen perkauman atau kelompok tertentu, semuanya mencapai keputusan yang lebih baik.

Namun, apakah Keadilan akan berpusing balik, membelok ke tepi menyertai politik perkauman atau meneruskan ke hadapan dengan segala prinsip yang dipegang kukuh selama ini? Jawapannya nyata. Keadilan akan terus berpegang kepada prinsip dan identiti bukan perkauman dan melangkah dengan yakin ke hadapan bagi memupuk 'Politik Baru' di kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun kita mungkin menghadapi jalan sukar, namun saya yakin ini adalah jalan terbaik untuk membina sebuah negara Malaysia yang sistemnya akan benar-benar dapat menjamin keadilan untuk semua.

Parti sementara

Oleh itu saya menyeru generasi muda Malaysia untuk sama-sama dalam perjuangan ini. Kita sedar masa depan negara ini terletak di tangan golongan muda yang bakal mewarisinya.

Jika pada hari ini, anak-anak muda gagal melihat kepincangan, penyelewengan dan rasuah sebagai perkara pokok dan terjerumus dalam politik sempit perkauman, proses reformasi sebenar akan melalui jalan panjang dan sukar.

Pada masa yang sama, khazanah negara milik kita khususnya generasi mendatang akan terus dirompak oleh pemimpin-pemimpin BN yang terus dilindungi oleh institusi pelaksana hukum seperti BPR dan Jabatan Peguam Negara yang diletakkan di bahawa Jabatan Perdana Menteri.

Keadilan akan terus berjuang atas prinsip keadilan dan menghapuskan politik perkauman sempit yang membelenggu negara ini sejak puluhan tahun.

Inilah saat terbaik untuk Keadilan membuktikan identitinya sebagai parti perjuangan dan sekaligus membuang bebanan paling besar selama ini kerana dikenali sebagai parti sementara.

Kita akan terus bekerja kuat memahamkan rakyat khususnya generasi muda mengenai keperluan melakukan reformasi sebenar untuk menyelamatkan negara ini.


Ezam Mohd Nor adalah Ketua Pemuda parti Keadilan.