Terpaku di bumi lembap sebuah rimba di senjakala, saya ternampak bayangan seorang lelaki menghampiriku. Tubuhnya tinggi dan tegap, tetapi jejak langkahnya lembut seperti seekor kijang. Rambutnya emas abu; matanya biru lutsinar bagaikan kaca. Dia tidak berkata.

Dia lama memandang wajahku, lalu pegang tanganku dan bawa saya berjalan di bawah teduh pohon cemara dan oak. Di celah-celah dedaun menitis cahaya dan bisikan bayu. Dan kami berdua dilamun dendang “seruling suram musim luruh”.

Lelaki yang menjelma di mimpi saya itu, tiga tahun yang lalu, tidak lain daripada Georg Trakl – penyair agung Austria zaman fin de siècle (peralihan abad) yang membunuh diri pada umur 27. Pada masa itu saya sedang menyelami karya dan kisah hidup Trakl bagi menulis tesis sarjanaku di Oxford.

Saya pernah juga melawat rumah berkamar dua di Waagplatz, Salzburg di mana Trakl dilahirkan dan membesar. Dan saya mengaku: saya terpesona oleh Trakl – nada sajak-sajaknya, raut wajahnya, matanya yang tidak berkesudahan seperti tasik tanpa dasar.

Trakl adalah seorang penyair yang sukar dikotakkan. Beliau terpengaruh oleh penyair-penyair Simbolis Perancis seperti Baudelaire dan mempelopori gerakan Ekspresionisme Jerman yang merupakan salah satu aliran modenis yang terpenting dalam sastera Eropah. Kosa kata pengkaryaannya amat tersendiri. Dalam hayatnya yang singkat (1887-1914), Trakl meninggalkan hasil karya yang telah mengubah gaya pemuisian dan membuka kemungkinan yang tidak terduga bagi sastera Bahasa Jerman.

Sajak-sajak Trakl sarat dengan imajan alam semulajadi yang kelam dan sayu bahkan juga kejam. Seringkali ia dikaitkan dengan imajan musim luruh dan senja, dengan tema kematian, pereputan, dan ketidakmurnian dunia. Cinta (dalam fahaman lazimnya) hampir tidak terkesan.

Sememangnya tema dan yang menghuni karya-karya Trakl membawa lapisan makna yang halus, namun pengkaryaan Trakl bukannya berteras pada makna. Sebetulnya, Trakl menimbulkan suasana hati melalui imajan, nada, dan rentak bahasa yang luarbiasa. Sajaknya ‘Winterdämmerung’ (Senja Musim Dingin) bermula:

Schwarze Himmel von Metall.

Kreuz in roten Stürmen wehen

Abends hungertolle Krӓhen

Über Parken gram und fahl.

(Langit hitam besi.

Dalam badai merah petang

Gagak terbang, ghairah kelaparan,

Melintasi taman pucat pasi.)

Hubungan dosa & terlarang

Trakl seolah-olah melukis landskap di alam peribadinya di mana musim, warna, haiwan, tempat dan keadaan jiwa yang tertentu menjelma dan berulang dalam variasi yang tidak reda. Imajan yang dipaparkan dalam sajak-sajak Trakl jarang merupakan simbol yang melambangkan sesuatu yang lain; ia menyampaikan perasaan yang dirangsangkan oleh ketidakpastian dan kekaburan makna. Cebisan makna digenggam dalam apa yang tidak dinyatakan.

Di suatu zaman di Eropah yang dicirikan oleh keruntuhan Empayar, gerakan seni sastera avant-garde, serta arus sosial-politik yang membawa kepada Perang Dunia Pertama, Trakl muncul sebagai suara sepi seorang saksi yang tidak tergolong dalam mana-mana gerakan, yang akhirnya tidak tergolong dalam masyarakat sendiri.

Dari satu segi, Trakl memang merupakan “ die Seele ein Fremdes auf Erden ” (jiwa yang terasing di bumi) – sebuah frasa kegemaran Heidegger yang amat tertarik pada tulisan Trakl. Bagaimanapun, Trakl menjalinkan persahabatan yang kukuh dengan beberapa intelektual Vienna yang terpenting, termasuk pengkritik agung Karl Kraus.

Keterasingan Trakl bukannya lahir dari keinginan untuk memencilkan diri dari pergolakan dan kekejaman sejarah; ia lahir dari kepekaan tajam terhadap kemerosotan keadaan jiwa manusia dan, barangkali, dari desakan pembinasaan dirinya yang tidak dapat dielakkan. Desakan ini juga menjadi salah satu punca ketagihan Trakl yang pelbagai – alkohol, candu, morfin, dan kokain – dan barangkali juga menyumbang kepada ketidaktenteraman yang mengiringinya sampai hembusan nafas terakhir.

Trakl pernah mengungkapkan semangat pemuisiannya dalam sebuah aforisme yang dikirim kepada penerbitnya, Ludwig von Ficker:

“Terjaga kamu terasa kepahitan dunia, ia mengandungi rasa berdosamu yang tidak terselesai; puisimu suatu pendamaian yang tidak sempurna.”

Trakl seolah-olah merasa beban dosa yang pahit dan pedih, bukan sahaja dosa sendiri tetapi seluruh umat manusia. Maka, pemuisiannya merupakan usaha untuk mendamaikan ‘rasa berdosa yang tidak terselesai’ bagi dirinya dan manusia. Ketidakmurnian manusia dan rasa berdosa yang terkesan dalam puisi Trakl juga berakar dalam hubungan rapat Trakl dengan adiknya Grete – hubungan yang ada dimensi erotis dan, oleh itu, terlarang dan berdosa.

Bukan melalui doa

Penebusan jiwa bagi Trakl tidak mungkin berlaku melalui doa dan upacara agama; hanya puisi yang dapat mendendangkan atau menjawab keterkutukan manusia, walaupun akhirnya gagal meringankan beban jiwa yang paling dalam. Bagi Trakl, manusia adalah bangsa yang terkutuk, baik dalam pengertian Kristian (kejatuhan manusia dari kasih dan rahmat Tuhan akibat dosa asal) mahupun dalam pengertian modernis (pemusnahan diri dan dunia di zaman moden).

Sememangnya Trakl terpengaruh oleh teologi, upacara dan imajan Katolik dari zaman kanak-kanaknya di Salzburg, tetapi tarikan Trakl terhadap keadaan jiwa manusia juga mempunyai unsur-unsur eksistensial, yang barangkali diresapi dari tokoh-tokoh sastera pra-Eksistensialisme seperti Arthur Rimbaud.

Sajak-sajak terakhir Trakl semakin menggambarkan takdir manusia yang tragis dan tidak mempunyai harapan pendamaian diri. Dalam sajaknya ‘Klage’ (Keluhan), Trakl menulis:

Schlaf und Tod, die düstern Adler

Umrauschen nachtlang dieses Haupt:

Des Menschen goldnes Bildnis

Verschlӓnge die eisige Woge

Der Ewigkeit...

(Tidur dan maut, helang kelam

Berdengung di kepalaku sepanjang malam:

Rupa emas manusia

Tertelan gelombang dingin

Keabadian…)

Unsur ketuhanan langsung tidak terkesan dalam sajak ini. Manusia hampir ditelan dan dihancurkan oleh kuasa alam yang kejam. Bahkan malam juga berdiam dan tidak terangsang untuk menawarkan hati manusia. Bukan sejarah atau teologi yang menyebabkan pembinasaan manusia dalam sajak ini; ia muncul dari ke keadaan manusia sendiri.

Pada tahun 1914, Perang Dunia Pertama tercetus di Eropah. Keterkutukan manusia yang sedia ada bertambah teruk dengan kedahsyatan perang. Trakl menjadi saksi kepada kesan-kesan menggerunkan ‘The Battle of Grodek’ (Pertempuran Grodek), di mana beliau bertugas sebagai pembantu perubatan di hospital askar.

Untuk beberapa hari, Trakl merupakan satu-satu pegawai yang merawat 90 askar yang cedera parah di sebuah bangsal. Selepas membersihkan darah dan sisa otak seorang askar yang telah menembak diri, Trakl keluar dari bangsal untuk sedut udara segar, dan ternampak pula mayat-mayat askar tergantung dari pohon-pohon.

Keterlampauan pengalaman ini mendesak Trakl membunuh diri dengan mengambil kokain berlebihan pada November 1914. Sebaris dari sajak terakhir Trakl, ‘Grodek’ bergema bagaikan cermin semangat dan hayat Trakl serta usaha pendamaiannya:

Alle Straßen münden in schwarze Verwesung ” (Semua jalan menuju pereputan hitam).


PAULINE FAN penulis dan penterjemah. Terjemahan serpihan sajak dari Bahasa Jerman oleh penulis sendiri.