Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman pemula difailkan Na’imah Abdul Khalid dan dua anak lelaki serta dua peguam mereka terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung siasatan polis mengenai dakwaan penglibatan mereka dalam cubaan menjatuhkan kerajaan.

Hakim Indra Nehru Savandiah membuat keputusan itu setelah mendapati tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan wujudnya niat jahat (mala fide) dalam siasatan polis terhadap kelima-lima plaintif.

"Dakwaan bahawa siasatan polis mungkin dipengaruhi oleh kenyataan awam yang didakwa dibuat oleh defendan pertama (Anwar) hanyalah satu andaian atau tanggapan semata-mata yang tidak disokong oleh sebarang fakta yang boleh membuktikan wujudnya niat jahat dalam siasatan itu.

"Tiada sebarang kaitan antara kenyataan awam defendan pertama dengan siasatan itu, yang dibuat berdasarkan laporan polis yang diterima," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos selaras dengan permohonan kedua-dua pihak.

Pada 6 Mac lepas, Nai’mah, yang juga balu Daim Zainuddin, bersama-sama Muhammed Amir Zainuddin Daim, Muhammed Amin Zainuddin Daim, Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, memfailkan saman itu terhadap Anwar, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail serta kerajaan.

Plaintif memohon deklarasi bahawa tindakan defendan kedua dan defendan ketiga memulakan siasatan terhadap mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berdasarkan laporan polis bertarikh 26 Feb 2026 adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan, atau dicemari dengan niat jahat, atau dijalankan bagi tujuan tersembunyi serta satu penyalahgunaan kuasa statutori.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 124B, yang melarang “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah kerana tidak jelas, terlalu luas, kabur serta tidak seimbang dari segi pelaksanaan.

Kesemua plaintif mendakwa ia adalah bercanggah dengan Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (kesamarataan) dan Perkara 10 (kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa tindakan dan perlakuan defendan kedua dan ketiga dalam memulakan atau meneruskan siasatan terhadap plaintif keempat dan kelima, dalam kapasiti mereka sebagai peguam bela dan peguam cara, melanggar prinsip kerahsiaan komunikasi antara peguam-anak guam yang dilindungi di bawah Akta Keterangan 1950, Akta Profesion Undang-Undang 1976 atau Kanun Tatacara Jenayah.

Nai’mah diwakili peguam Abraham Au dan Gurdial Singh Nijar manakala Anwar, Ketua Polis Negara dan kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali serta Peguam Persekutuan Mohd Solihin Md Zaki.

- Bernama