PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen Sabah mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap pegawai Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung masalah pengurusan kewangan yang berlarutan sejak 2023, ketika kedua-dua kementerian masih bertelagah mengenai status projek pembangunan luar bandar.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mempersoalkan mengapa Perbendaharaan membiarkan masalah itu berlarutan selama tiga tahun sebelum pertikaian terbuka tercetus mengenai sama ada projek di Sabah dan Sarawak telah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan.

"Kamu bergaduh, kami yang jadi mangsa," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Warisan itu berkata dia sebelum ini menahan diri daripada mengulas kontroversi berkenaan sejak dua minggu lalu kerana mahu mendengar penjelasan daripada semua pihak.

"Yang satu bilang batal, yang satu bilang lagi tangguh.

"Mengapa sekarang baru mahu cakap? Sudah tiga tahun bah!" katanya.

Isnaraissah Munirah merujuk penjelasan Kementerian Kewangan pada Khamis lalu bahawa KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023.

Dia berkata kementerian itu turut merujuk Arahan Perbendaharaan AP10 dan AP54 serta Pekeliling Perbendaharaan PB12 yang menjelaskan tanggungjawab pegawai pengawal.

"Apa fungsi kawalan Perbendaharaan yang menurut buku anggaran ini sendiri bertanggungjawab mengawal peruntukan setiap kementerian?

"Mengapa tiada tindakan terhadap pegawai yang membiarkan isu ini berlarutan?

"Di MOF, di KKDW, mana tindakan kamu?" soalnya.

Siapa berhak tangguh projek?

Isnaraissah Munirah turut mempersoalkan pihak yang mempunyai kuasa untuk menangguhkan atau membatalkan projek pembangunan selepas peruntukan berkaitan diluluskan Parlimen.

"Saban tahun Dewan ini meluluskan belanjawan, maksud demi maksud, butiran demi butiran.

"Apabila Parlimen sudah meluluskan sesuatu projek, siapakah yang berhak menangguhkannya? Siapakah yang berhak batalkannya? Di bawah kuasa apa?" soalnya.

Katanya, penduduk luar bandar masih menunggu pelaksanaan projek infrastruktur, sedangkan proses tender sudah dijalankan dan ada kontraktor yang telah menerima surat setuju terima (SST).

Dia turut menuntut pecahan bayaran tertunggak bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12, selain jumlah sebenar peruntukan serta perbelanjaan KKDW antara 2023 hingga 2026.

Isnaraissah Munirah juga meminta senarai projek yang SST-nya telah dibatalkan atau ditangguhkan, mengikut negeri, kawasan Parlimen, nilai kontrak dan status tender.

"MOF kata tangguh. Tangguh ini sampai bila? Saya mahu tahu," katanya.

Percanggahan penjelasan dua kementerian

Pertikaian itu susulan penjelasan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan KKDW berhubung arahan menangguhkan pengeluaran SST baharu bagi projek pembangunan luar bandar.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sebelum ini menegaskan bahawa projek terbabit tidak dibatalkan, sebaliknya penangguhan itu perlu bagi mengelakkan komitmen kewangan tambahan sementara bayaran tertunggak diselesaikan.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Fadzmel Fadzil, mempersoalkan sama ada penangguhan tanpa tempoh yang jelas sebenarnya membawa maksud pembatalan.

Ahmad Zahid juga merupakan menteri kemajuan desa dan wilayah.

Kontroversi itu turut dibangkitkan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) di Dewan Rakyat semalam selepas kontraktor di kawasannya dilaporkan menerima surat pembatalan walaupun menteri memberi jaminan bahawa projek berkenaan hanya ditangguhkan.

Sementara itu, Isnaraissah Munirah menggesa ketua setiausaha perbendaharaan dan semua ketua setiausaha kementerian selaku pegawai pengawal supaya mengambil kira kesan keputusan mereka terhadap rakyat, bukan sekadar kedudukan kewangan atau petunjuk prestasi.

"Menteri datang dan pergi, kerajaan boleh bertukar tetapi tandatangan tuan-tuan kekal dalam buku rekod," katanya.

"Maka, sebelum sesuatu keputusan dibuat, sama ada memotong kah, menangguh kah ataupun meminda peruntukan, nilailah kesan dia secara keseluruhan.

"Bukan sekadar kesan kepada imbangan akaun ataupun KPI, tetapi kesan juga kepada rakyat."

Dia menegaskan bahawa Sabah yang masih jauh ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur asas tidak seharusnya terus berdepan ketidaktentuan berhubung pelaksanaan projek Persekutuan.