Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada bulan Oktober 1970 satu pesta menyambut 2,500 tahun empayar raja Parsi telah berlangsung di Parsepolis, Iran. Sambutan kelahiran empayar raja Parsi ini dimulai oleh Raja Cyrus Yang Agung – 576-530sm. Raja Cyrus menobatkan diri sebagai Raja Empat Penjuru Alam.

Ibu kota empayar ini adalah Parsepolis. Kota ini mula dibina oleh Raja Darius pada tahun 518sm. Parsepolis memberi makna kota orang Parsi. Sayangnya kota sejarah ini telah dibakar musnah oleh Iskandar Zulkarnain apabila dia melanggar Iran pada tahun 330sm.

Di atas runtuhan kota Parsepolis yang telah dibakar dan ditapak, di tiang dan di tembok runtuhan kota inilah berlangsung selama enam hari enam malam bapa segala kenduri.

Pengarah filem terkenal Orson Welles berkata: “Ini bukan pesta tahunan. Ini pesta 25 kurun.”

Ahmad Reza Pahlevi dan Permaisuri Farah Deba ditabalkan. Ahmad Reza telah menobatkan dirinya sebagai “shahan shah” raja kepada segala raja. Pertabalan ini juga berlangsung di Parsepolis.

Jika mengkaji sosio politik Iran maka kita akan bertemu dengan fakta dan data tentang kenduri yang membunuh semua kenduri ini. Dari fail resmi kerajaan Iran kita ketahui bahawa bajet perbelanjaan kenduri ini ialah 140 juta pound sterling bersamaan 766 juta ringgit Malaysia. Ini nilai wang pada tahun 1970. Hari ini nilainya mungkin telah melintasi 1 bilion ringgit.

Dari rekod resmi kerajaan United Kingdom, Ahmad Reza juga menjemput Baginda Queen Elizebeth. Tetapi Baginda Queen enggan mencemar duli kerana merasakan pesta ini agak lucah dan tidak ada kelas.

Akhbar Daily Telegraph yang memetik rekod resmi kerajaan UK telah melaporkan bagaimana seramai 160 orang tukang masak atau c hef dari Paris diterbangkan ke Parsepolis. Laporan akhbar ini diterbitkan pada 12 Ogos 2001. Laporan berita merujuk data arkib negara UK yang menyebut tentang 1 tan ' golden imperial caviar ' - telur ikan termahal dalam dunia ini didatangkan ke Parsepolis.

Malah dikatakan pada minggu itu hampir semua restoran 'top kelas' di Paris dan Perancis telah ditutup selama 15 hari kerana semua chef , tukang masak, tukang buat roti, tukang buat kuih, pembantu dapur dan pelayan dibawa ke Parsepolis. Juga diberitakan Perancis telah kehabisan air anggur Champagne yang terbaik kerana semuanya diterbangkan ke Parsepolis.

Khemah diraja direka khusus oleh arkitek terkenal dari Perancis. Khemah-khemah yang menjadi singgahsana tetamu ini telah didirikan dalam runtuhan kota kuno ini. Khemah yang direka seperti bilik hotel ini telah disaluti dengan bunga-bunga yang diterbangkan khas dari Paris.

Sebanyak 250 buah kereta Mercedes merah tersedia di lapangan terbang Shiraz untuk menunggu jemputan yang datang dengan pesawat khas dari luar Iran.

Siapa yang dijemput? Setiap raja, setiap presiden, setiap perdana menteri yang wujud dalam dunia ini telah dijemput. Dikatakan lebih daripada 60 maharaja, al-malik, sultan, dan raja dijemput datang. Dikatakan lebih dari 40 presiden termasuk George Pompidou dari Perancis datang. Presiden Nixon dari Amerika bercadang untuk datang tapi membatalkannya. Nixon telah digantikan oleh naib presiden Spiro Agnew.

Bintang filem, penyanyi, pereka fesyen, wartawan, minah dan mamat yang ada nama dan glamour semuanya dijemput datang. Hakikatnya pada minggu itu siapa dan siapa dalam dunia ini akan berada di Parsepolis. Kamu bukan sosok ternama dalam dunia ini jika kamu tidak berada di Parsepolis pada 12 hingga 16 Oktober 1970.

Pasti ada yang bertanya kenapa saya bersurah panjang lebar tentang kenduri Parsepolis ini?

Saya menggarap tulisan ini untuk memberitahu bahawa: Kamu juga bukan sosok yang ada nama dalam dunia ini jika pada Sabtu 28 haribulan Mac 2015 kamu tidak berada di KLCC Kuala Lumpur.

Kamu – yang membaca tulisan ini - bukan sosok ternama jika kamu tidak mendapat jemputan kenduri kahwin anak Rosmah Mansor. Jika kamu tidak dijemput untuk hadir di jamuan kenduri ini maka nama kamu ialah Encik Tak Da Sapa.

Dari Haji Desas bin Lebai Desus telah berkata bahawa kenduri perkahwinan anak Rosmah ini akan dilihat lebih hebat dari kenduri empayar raja Parsi di Parsepolis. Farah Deba hanya sempat berkenduri selama lima hari lima malam. Manakala Rosmah dikatakan akan berkenduri selama enam hari enam malam.

Surat jemputan... ops maaf. Bukan surat jemputan tetapi watikah jemputan dari Rosmah Mansor yang bersadur air emas dikatakan telah diedar untuk jemputan yang terpilih. Malaysia k ini telah menayangkan rupa bentuk watikah jemputan ini. Harga sekeping watikah jemputan ini sahaja pasti melintasi sebulan gaji seorang Pak Gad. Jika berdandan rambut bayaran 1,200 ringgit. justeru masuk akal jika watikah jemputan yang bersejarah ini berganda-ganda harganya dari bil berdandan rambut.

Dikatakan kenduri ini bermula pada minggu akhir bulan Mac ini. Dilaporkan juga bahawa kenduri kahwin ini juga akan diadakan di Pekan, Pahang – di wilayah kawasan yang memilih Najib Razak sebagai wakil Parlimen. Kenduri ini juga dikatakan akan diadakan di PWTC Kuala Lumpur – mungkin untuk penyokong Najib dan ahli parti United Malays National Organisation.

Grande f inale atau kemuncak kenduri ini akan diadakan di Pusat Konvensyen- KLCC Kuala Lumpur pada malam Sabtu 28 Mac ini. Inilah kenduri kahwin yang membunuh semua kenduri kahwin di Malaysia. Kenduri kahwin anak Rosmah ini akan tercatit dalam sejarah dunia sama seperti pesta di Parsepolis 1970. KLCC 2015 akan mencipta sejarah.

Awal Januari dahulu Rosmah dan Najib telah bercuti. Ini ketika banjir besar melanggar Kelantan. Najib telah dikritik hebat kerana tidak ambil pot terhadap rakyat yang menderita. Akhirnya Najib tergesa-gesa pulang. Tetapi Rosmah Mansor didakwa terus bercanda-canda menggunakan pesawat udara rasmi negara. Malah Najib pulang dengan kapal terbang awam.

Pesawat resmi kerajaan Malaysia yang telah diekori oleh teknologi terkini didakwa memperlihatkan ia berpindah dari Indianapolis di Amerika menuju dari kota ke kota.

Pertanyaan rakyat Malaysia akhirnya terjawab bulan ini apabila desas desus anak Rosmah nak kahwin mula muncul dalam media sosial. Rupa-rupanya Rosmah Mansor sedang sibuk 'bershopping' untuk kenduri anak nak kahwin.

Pasti ada orang yang akan bertanya kenapa 'sibuk-sibuk' pasal anak Rosmah nak kahwin.

Biar saya jawab di sini. Saya menimbulkan agenda anak Rosmah nak kahwin dalam tulisan ini kerana ada sebab musabab yang amat kukuh. Saya tidak menentang anak Rosmah kahwin. Tak ada siapa yang ambil pot tentang anak Rosmah ini. Rakyat Malaysia bukan menentang perkahwinan. Perkahwinan adalah hak asasi Najwa dan Daniyar untuk merasmikan hubungan mereka. Tetapi apabila anak Rosmah kahwin ia lebih daripada kahwin.

Ketika anak Rosmah bertunang lima tahun dahulu, seorang pegawai dari Jabatan Perdana Menteri yang tidak puas hati telah membocorkan bil jamuan makan malam kenduri bertunang ini. Maklumat ini telah disampaikan kepada YB Rafizi Ramli. Saudara Rafizi membocorkan kepada media tentang bagaimana 409,767 ribu ringgit dibayar ke Hotel Shangri-La yang menyediakan jamuan ini di Seri Perdana.

Soalan timbul – berapa juta agaknya duit yang akan diguna oleh Rosmah untuk perkahwinan anaknya pada Sabtu 28 Mac ini?

Desas desus telah mula tersebar bagaimana bunga telor akan diganti dengan Beg Birkin. Desas desus juga telah kedengaran bahawa kesemua 'bilik suite' hotel lima bintang di Kuala Lumpur telah penuh ditempah. Desas desus juga mula kedengaran bagaimana lapangan terbang Subang akan diampoh oleh jet peribadi tetamu Rosmah Mansor.

Minggu lepas Mahathir Muhamad, bekas PM Malaysia bertanya dari mana datangnya harta kekayaan Rosmah binti Mansor dan Najib bin Razak?

Minggu hadapan saya akan merungkai kenapa Ahmad Reza buat kenduri besar. Minggu depan juga saya akan menerangkan kenapa dan siapa sebenarnya Rosmah Mansor ini.

Lihat Komen
ADS