Lima tahun dahulu, iaitu pada 25 Ogos 1999, Lim Guan Eng dibebaskan daripada Penjara Kajang selepas dipenjarakan selama 18 bulan di bawah Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan sekaligus dirampas hak politik dan sivik ( tidak dibenarkan berjawatan dalam parti, persatuan dan bertanding dalam pilihanraya) selama lima tahun lagi, sehingga 25 Ogos lalu.

Jika perlantikan beliau sebagai Naib Pengerusi DAP dalam Kongres Ke-13 pada 2001 tidak direstui Pendaftar Persatuan, kali ini tiada mana-mana pihak berhak menghalang beliau dilantik ke sebarang jawatan tinggi parti, termasuk Setiausaha Agung, dalam Kongres ke-14 parti itu hujung minggu ini, kecuali beliau sendiri menolaknya.

Sungguhpun berulangkali ditanya pihak media, sehingga ini, Guan Eng masih enggan menjelaskan pendiriannya sama ada akan menerima atau tidak, jawatan Setiausaha Agung DAP. Namun begitu, nampaknya semua rintangan luaran sudah diatasi, termasuk:

Pertama, Kerk Kim Hock, bekas Setiausaha Agung DAP, telah terus bersara selepas kecundang di Parlimen Kota Melaka. Ini bermakna Guan Eng tidak perlu lagi bersaing dengan Kerk untuk jawatan tertinggi parti itu, jika Kerk dan penyokongnya tidak bersetuju jawatan itu diambilalih oleh Guan Eng.

Kedua, ketiga-tiga calon yang dianggap layak menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP M Kulasegaran, Chong Eng dan Tan Kok Wai telah memberi laluan kepada Guan Eng. Mereka memang pandai membaca kemahuan kepimpinan parti.

Ketiga dan yang terpenting sekali, ialah Karpal Singh, orang kanan Lim Kit Siang, telah menamakan Guan Eng sebagai pemimpin DAP yang layak dilantik sebagai Setiausaha Agung, dan Kit Siang sendiri telah menyatakan kesanggupan beliau melepaskan jawatan Pengerusi DAP.

Tiada pilihan

Langkah Kit Siang ini agak bijak. Ia sekurang-kurangnya memberi gambaran bahawa bukan niatnya untuk membentuk apa yang dinamakan "Dinasti Lim". Jika perwakilan tidak bersetuju beliau melepaskan jawatan Pengerusi DAP, maka itu bukan salah beliau.

Sekiranya Kit Siang tidak terus bersara sepertimana dijanjikannya (sepertimana Kerk), tetapi masih di garisan depan, maka tidak kira apa jawatan yang disandangnya sama ada Pengerusi, Penasihat DAP atau sebarang nama lain hakikatnya ialah beliau tetap pemimpin de facto DAP, tidak kira siapakah Setiausaha Agung DAP nanti.

Bukan tujuan saya untuk mempertikaikan kelayakan Guan Eng untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP, kerana jika berdasarkan kepada barisan pimpinan DAP sekarang, maka ianya tiada banyak pilihan.

Namun ini juga tidak bermakna Guan Eng tidak mempunyai dilemanya, sungguhpun beliau seolah-olah dialu-alukan oleh semua pihak untuk menyandang jawatan tertinggi parti itu.

Sasaran

Dilema Guan Eng mungkin boleh dikaji dari beberapa aspek seperti berikut:

1. Kekalahan Kerk, bekas Setiausaha Agung DAP di Parlimen Kota Melaka dan persaraannya dari politik, malangnya telah dikaitkan dengan teori konspirasi yang melibatkan penyokong Guan Eng. Kerk secara terus terang menyatakan dirinya telah menjadi sasaran, malah korban konflik puak yang makin hari semakin menjadi-jadi dalam DAP. Guan Eng menafikan desas-desus itu. Kerk mengingatkan Guan Eng mengenai kemungkinan pengikutnya berbuat demikian tanpa pengetahuannya. Jawapan Guan Eng masa itu ialah beliau tidak akan menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP!

2. Kerk menolak tawaran "setiausaha agung bergaji" untuk mempertahankan kewibawaannya. Guan Eng yang mengaku keadaan kewangannya masih "kelam kabut" tentunya menghadapi dilema yang sama. Menjadi YB semula juga bukan sesuatu yang senang bagi Guan Eng, Kota Melaka umpamanya. Beliau juga tidak begitu yakin akan dirampasnya semula daripada BN. Malah dianggap sebagai sesuatu yang seakan-akan mustahil.

3. Secara kasarnya, jika dibandingkan Kerk dengan Guan Eng, "kemesraan" dan "kematangan" Kerk jelas melebihi Guan Eng. Jika beliau gagal memainkan peranan Setiausaha Agung DAP dalam membawa reformasi kepada parti, maka sukar hendak digambarkan bagaimana Guan Eng akan berjaya di mana Kerk telah gagal.

4. Dalam wawancara, Guan Eng sering berhadapan dengan soalan mengenai gaya perjuangannya. Tidak dapat dinafikan, beliau telah banyak berkorban akibat "Pembela dipenjarakan, Penjenayah dibebaskan". Bila dibebaskan lima tahun dahulu, beliau dianggap sebagai wira kebangsaan di samping Anwar Ibrahim.

5. Akan tetapi perkembangan seterusnya tidak begitu menguntungkan beliau kegagalannya dalam meminta pengampunan (suatu cara mengaku salah) daripada Yang di-Pertuan Agong supaya dibenarkan bertanding dalam pilihanraya umum lalu, dan DAP mengaku tuduhan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik adalah "tidak berasas sama sekali" untuk mengelakkan hukuman dan denda. Taktik-taktik ini dianggap tidak secucuk dengan gaya kepimpinan beliau yang "kombatif" sebelum ini, tetapi ditolak kepada keputusan parti sebulat-bulatnya.

6. Beliau berjanji akan lebih berhati-hati dalam ucapannya demi anak-anaknya, tetapi beliau juga mengaku sukar hendak menghadapi, misalnya bila beliau didakwa oleh Eric Chia kerana pendedahannya mengenai kes bekas bos Perwaja itu. Ini bukan dilema Guan Eng sahaja, tetapi dilema semua pembangkang yang bertekad hendak memerangi salahlaku dan rasuah pihak-pihak yang terbabit. Guan Eng berjanji bahawa penjara tidak akan menghalang beliau, namun nampak juga kebimbangan beliau.

7. Guan Eng secara terus terang mengaku, jika beliau ditolak oleh pengundi, beliau sukar mempunyai kekuatan dan ketabahan seperti ayahnya Kit Siang dan Karpal Singh untuk kembali ke Parlimen. Adakah ini bermakna jika ditolak oleh pengundi pada pilihanraya umum akan datang, beliau juga tiada pilihan lain, melainkan terus bersara sepertimana Kerk?

Kerana dilema-dilema yang tersebut di atas, rasanya Guan Eng masih tidak begitu bersedia untuk menyandang jawatan Setiausaha Agung DAP. Jika beliau tetap dilantik ke jawatan tertinggi DAP itu sekarang juga, yang membebankan mungkin Kit Siang yang terpaksa membantu Guan Eng, dan ternampak juga bayang-bayang Dinasti Lim yang cuba dielakkan!