Debaran menunggu keputusan Yang Arif
Bajet 2005 telahpun dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Pelbagai insentif dan habuan diberikan kepada rakyat dan sektor korporat, namun topik belanjawan itu tetap tidak dapat menenggelamkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bajet 2005 telahpun dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Pelbagai insentif dan habuan diberikan kepada rakyat dan sektor korporat, namun topik belanjawan itu tetap tidak dapat menenggelamkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nasib bekas Timbalan Perdana Menteri yang baru dibebaskan dari penjara terus itu diperkatakan.
Walaupun beliau kini berada nun jauh di Munich, sedang menjalani pemulihan daripada pembedahan tulang belakangnya, namun Anwar dirasakan terlalu hampir dengan rakyat Malaysia.
Bukan sahaja kalangan orang Umno dan penyokong reformasi bercakap mengenai nasib Anwar selepas Rabu ini ( 15 September), malah Presiden Gerakan, Datuk Dr Lim Keng Yeik juga tidak ketinggalan menyebut nama bekas Timbalan Presiden Umno itu di dalam mesyuarat agung parti Gerakan Sabtu lalu.
Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan kebanyakan para pemimpin Umno, Dr Lim nampaknya masih dihantui oleh bayang-bayang Anwar. Dalam ucapan dasarnya yang disiarkan secara langsung oleh RTM ke seluruh negara itu, beliau sempat menempelak pemimpin reformasi itu .
Presiden Gerakan itu mahu Anwar bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memproses pasport antarabangsanya dalam masa sehari sahaja bagi membolehkannya pergi segera ke Jerman.
Dr Lim berharap Anwar tidak lagi membuat "kacau" apabila pulang nanti. Tempelak Dr Lim itu disambut dengan ketawa dan senyuman oleh Pak Lah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional lain yang hadir di majlis tersebut.
Begitulah, nampaknya episod Anwar masih belum berakhir. Pembebasannya daripada tuduhan meliwat tempoh hari nampaknya akan membuka cerita baru. Drama Anwar ini memasuki satu lagi babak mendebarkan esok. Adakah beliau akan berjaya membatalkan penghakiman kes rasuahnya yang telah menyebabkannya merengkok di penjara selama 6 tahun?
Iklim politik
Mahkamah Persekutuan akan menentukan nasib Anwar. Semua penyokong reformasi kini sedang berdoa keputusan panel hakim akan menyebelahi Anwar. Kalau pada 2 September lalu mereka tidak menjangka langsung Anwar akan menang, namun kali ini, harapan mereka setinggi gunung.
Mereka mahu Anwar dibersihkan daripada kesalahan rasuah. Memadamkan rekod rasuah itu amat penting bagi karier politik beliau kerana ia akan membolehkannya terus bergiat aktif dalam politik. Dengan tiadanya jenayah korupsi itu, Anwar tidak perlu lagi menunggu 5 tahun lagi untuk berpolitik dan menerajui mana-mana parti politik.
Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku esok. Namun dalam iklim politik dan ekonomi negara yang tenteram dan stabil serta sistem kehakiman yang bebas sekarang, apa-apa sahaja boleh berlaku. Keputusan yang luar biasa atau di luar jangkaan boleh dibuat. Ini telah terbukti pada 2 September lalu.
Namun, dalam debaran menunggu keputusan Yang Arif di Putrajaya itu, siapalah agaknya yang paling berdebar jantung hatinya? Datin Seri Wan Azizah? Anwar? Para penyokong reformasi? Pemimpin dan ahli-ahli Umno? Umi Hafilda Ali?
Memang logik semua mereka berasa "suspense" namun manusia yang paling tidak sanggup mendengar keputusan itu esok tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir. Seluruh negara tahu keputusan 2 September lalu sedikitpun tidak mengganggu tidur Dr Mahathir.
Namun kalau sekali lagi Mahkamah Persekutuan menyebelahi Anwar, wira dunia ketiga itu terpaksa akur bahawa beliau tersilap perhitungan. Dan kalau Anwar bebas dari segala jenayah rasuah, bukan sahaja Dr Mahathir akan menerima tamparan kuat, malah ramai lagi tokoh-tokoh politik negara akan berasa bimbang.
Jika bersih dari segala tuduhan jenayah dan bebas daripada sebarang masalah kesihatan yang kronik, Anwar akan mempunyai beberapa pilihan. Beliau boleh memohon menyertai semula Umno atau mengetuai Parti Keadilan Rakyat dan membentuk satu pakatan pembangkang yang baru. Jika ini senarionya, kita akan menyaksikan satu lagi suasana yang menarik di negara ini.
Larangan berpolitik
Apa pula pilihan Anwar kalau keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menyebelahinya? Beliau hanya mempunyai dua pilihan, pertama mengetuai mana-mana NGO untuk dijadikan pentas gerakan reformasinya.
Ini penting bagi memastikan beliau mempunyai saluran untuk terus bersuara dan bagi memastikan kehadirannya dalam negara ini terus dirasai. Larangan berpolitik secara aktif ke atasnya hanya akan berakhir selepas April 2008.
Pilihan kedua, yang mungkin amat berat untuk dibuat oleh Anwar dan amat sukar untuk diterima oleh para penyokongnya ialah bersara terus dari politik. Mungkinkah ini akan berlaku? Ramai pemerhati politik berpendapat kemungkinannya amat kecil kecuali jika kesihatan beliau benar-benar terganggu.
Seorang penganalisis politik veteran berpendapat, Anwar pernah merasai tampuk kuasa, beliau sudah terlalu hampir dengan mahkota yang diidam-idamkan. Oleh itu, beliau tidak begitu mudah akan melupakannya.Penganalisis itu berpendapat bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan kembali aktif berpolitik dengan apa cara sekalipun.
Katanya, Anwar seorang revolusioner dan bercita-cita tinggi. Dia pernah berjuang ketika zaman pelajar dan ketika memimpin ABIM dulu. Oleh itu, pasti beliau akan terus berjuang.
Namun walau apapun jangkaan dan analisis mengenai Anwar, esok kita akan mendapat jawapannya. Mungkinkah beliau akan kembali dari Munich sebagai lelaki Melayu yang bebas dari sebarang pertuduhan rasuah?
Terlalu sukar untuk menjawabnya. Lemparkan sahaja soalan itu pada burung hud-hud

