Kadir mangsa politik wang?
Rumah siap pahat berbunyi. Begitulah senarionya dalam Umno sekarang. Perhimpunan agung dan pemilihan pucuk pimpinan telah selesai tetapi rasa tidak puas hati ahli-ahli dan pemimpin masih kedengaran di sana sini.
Paling kuat ialah rasa kecewa sesetengah pemimpin yang tewas. Paling ketara ialah kemarahan para penyokong mereka yang telah bertungkus lumus cuba memenangkan calon masing-masing.
Di kalangan calon-calon Naib-Presiden yang tewas, mereka cuba menyembunyikan kekecewaan dan rasa tidak puas hati secara "gentleman". Masing-masing kononnya menerima keputusan dengan hati terbuka. Kononnya akur dengan keputusan para perwakilan!
Namun di sebalik tabir, para penyokong masing-masing mendakwa politik wang berleluasa sehingga menyebabkan "bos" mereka tewas.
Dan yang paling menarik apabila calon Majlis Tertinggi (MT) yang tewas, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir secara terbuka mendakwa politik wang berlaku pada pemilihan tersebut.
Rumah siap pahat berbunyi. Begitulah senarionya dalam Umno sekarang. Perhimpunan agung dan pemilihan pucuk pimpinan telah selesai tetapi rasa tidak puas hati ahli-ahli dan pemimpin masih kedengaran di sana sini.
Paling kuat ialah rasa kecewa sesetengah pemimpin yang tewas. Paling ketara ialah kemarahan para penyokong mereka yang telah bertungkus lumus cuba memenangkan calon masing-masing.
Di kalangan calon-calon Naib-Presiden yang tewas, mereka cuba menyembunyikan kekecewaan dan rasa tidak puas hati secara "gentleman". Masing-masing kononnya menerima keputusan dengan hati terbuka. Kononnya akur dengan keputusan para perwakilan!
Namun di sebalik tabir, para penyokong masing-masing mendakwa politik wang berleluasa sehingga menyebabkan "bos" mereka tewas.
Dan yang paling menarik apabila calon Majlis Tertinggi (MT) yang tewas, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir secara terbuka mendakwa politik wang berlaku pada pemilihan tersebut.
Beliau "hairan" bagaimana dirinya yang mendapat pencalonan keempat tertinggi untuk kerusi MT telah hilang popularitinya pada hari Khamis lalu. Kedudukannya jatuh merudum, ke-tangga 28. Menteri Penerangan itu pelik bagaimana keadaan boleh berubah begitu mendadak sedangkan jarak tarikh akhir pencalonan dengan pemilihan hanya satu setengah bulan sahaja.
Kekecewaan dan kemarahan Kadir itu tidak mengejutkan langsung. Sebagai pemimpin veteran yang sudah lebih 30 tahun menjadi ahli MT, mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan terkenal dengan rekod kerja yang berkesan, memang tiada siapa menyangka beliau akan tewas kali ini.
Adakah Kadir tewas sebab tidak berkempen kerana "over confident"? Atau para perwakilan Umno merasakan sudah sampai masanya untuk mengenepikan beliau setelah terlalu lama berada dalam MT. Kadir menduduki MT sejak tahun 1986 dan kini usia beliau sudah menjangkau 65 tahun.
Mana buktinya?
Difahamkan kira-kira 65 peratus perwakilan Umno kali ini adalah muka-muka baru. Mungkin juga orang-orang baru yang sebahagian besarnya bekas pemimpin Pemuda Umno mahukan orang-orang muda menerajui MT Umno kali ini.
Memang ramai perwakilan dan pemerhati serta ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi terkejut dengan kekalahan Kadir itu. Namun begitulah keputusan para perwakilan Umno kali ini. Bukan sahaja Kadir malah dua lagi menteri penuh diketepikan. Di samping itu enam orang timbalan menteri turut kecundang.
Dakwaan Kadir mengenai politik wang mungkin ada benarnya namun beliau perlulah tampil dengan bukti-bukti kukuh. Jika tidak segala dakwaan itu akan pergi bagai angin lalu sahaja dan akan berulang lagi pada pemilihan 2007.
Pucuk pimpinan Umno malah Presidennya sendiri telah menberi jaminan akan bertindak tegas jika benar gejala itu berlaku. Jadi tugas Kadir sekarang ialah mencari dan mengumpul bukti untuk diketengahkan. Jika tidak dakwaannya itu tidak akan membawa makna apa-apa sebaliknya akan dianggap sebagai luahan rasa kecewa sahaja atau " sour grape ".
Gejala politik wang ini memang sukar untuk dibendung.
Sebelas tahun lalu Tun Dr Mahathir Mohamd pernah menangis kerananya. Beliau merayu dan berdoa agar ahli-ahli Umno membuang politik wang.
Namun tangisan, rayuan dan doa beliau tidak diendahkan. Malah tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa orang pemimpin Umno kerana mengamalkan politik wang tidak mendatangkan rasa gerun. Wang nampaknya lebih berkuasa.
Kita memang tidak boleh menolak begitu sahaja berlakunya politik wang dalam pemilihan kali ini.
Kalau dihimpun cerita-cerita para penyokong dan pemerhati pada hari pengundian, kononnya gejala ini semakin galak pada tengah malam sebelum hari pengundian. Seorang orang kuat kepada salah seorang calon Naib Presiden memberitahu, kumpulan tertentu pergi menemui perwakilan di bilik-bilik hotel pada saat-saat akhir itu sambil menghulurkan habuan.
Seorang tukang kempen bagi seorang lagi calon Naib Presiden pula mendakwa, pengurus kempen bagi bosnya telah didatangi oleh satu kumpulan yang menawarkan "satu blok undi" kepada bosnya jika diberikan balasan yang setimpal.
Siapa yang rugi?
Sementara itu seorang veteran Umno pula berkata, politik wang tidak boleh dielakkan apabila calon-calon dibebaskan berkempen dari rumah ke rumah.
"Siapa tahu apa yang berlaku dalam pertemuan-pertemuan itu? Kalau perwakilan berkenaan tidak meminta, mungkin tukang kempen sendiri yang menawarkan habuan. Siapa yang nak menolak?
"Saya rasa larangan berkempen yang dikenakan oleh Dr Mahathir dulu wajar dikuatkuasakan semula kalau kita mahu membendung gejala ini. Macam mana nak elak politik wang kalau semua maklumat perwakilan ada dalam poket calon-calon yang bertanding. Malah mereka yang mendakwa berlakunya politik wang turut menghantar SMS kepada saya," cerita beliau yang merupakan perwakilan dari Wilayah Persekutuan Kuala lumpur.
Jika benarlah segala dakwaan itu, nampaknya undi perwakilan Umno telah ditukar menjadi komoditi yang boleh dijualbeli atau dilelong. Berapalah agaknya harga satu undi itu?
Yang pastinya semakin sengit pertandingan, semakin besar kepentingan sesuatu jawatan itu bagi seseorang calon maka semakin tinggilah nilai undi itu.
Siapa yang untung bila undi dijualbeli? Calon belum tentu menang walaupun telah menabur wang kerana undi ada sulit. Perwakilanlah yang untung besar kerana boleh "makan kiri dan kanan". Dan yang akan menanggung rugi selama-lamanya adalah ahli-ahli Umno dan orang Melayu.
Siapa hendak dipersalahklan? Halakan jari anda kepada calon-calon yang gila kuasa dan ahli-ahli Umno di cawangan dan bahagian yang telah memilih perwakilan yang tidak bermaruah ke perhimpunan agung.
Nampaknya politik wang dan gejala rasuah terus berakar umbi dalam Umno dan kerajaan. Pak Lah tidak boleh menghapuskannya kalau sekadar berretorik.

