Mahkamah Rayuan benarkan prosiding hina mahkamah terhadap Undang yang dipertikai
Prosiding komital terhadap enam individu, termasuk tiga Undang luak di Negeri Sembilan akan diteruskan selepas Mahkamah Rayuan pagi ini menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding berkenaan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Alwi Abdul Wahab, bersama-sama Hakim Shahnaz Sulaiman dan Amarjeet Singh, sebulat suara memutuskan bahawa permohonan komital itu perlu diselesaikan segera.
“Sudah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa prosiding komital perlu diberi keutamaan berbanding permohonan interlokutori yang lain.
“Prosiding menghina mahkamah secara langsung melibatkan bidang kuasa mahkamah untuk menghalang sebarang campur tangan yang tidak wajar terhadap pentadbiran keadilan serta mempertahankan kewibawaan mahkamah di mata umum,” kata Amarjeet ketika membacakan keputusan panel hakim itu.
Mereka ialah Undang Luak Sungai Ujong yang dipertikaikan kedudukannya, Mubarak Thahak; Maarof Rashad (Jelebu); Abdul Rahim Yasin (Rembau); Undang Luak Johol, Muhammad Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abdul Khalid.
Panel hakim turut memutuskan bahawa enam individu itu gagal memenuhi syarat untuk mendapatkan penangguhan prosiding. Hakim berpendapat Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul apabila memutuskan bahawa terdapat kes prima facie dalam permohonan komital itu.
“Pada peringkat ini, Mahkamah Tinggi dibenarkan untuk memutuskan sebarang pertikaian fakta atau menilai merit penjelasan yang dikemukakan bagi menyangkal kes prima facie.
“Perkara itu hanya boleh diputuskan pada peringkat pendengaran substantif. Pada peringkat itulah Mahkamah Tinggi perlu meneliti isu-isu yang dibangkitkan perayu (enam individu berkenaan), termasuk isu kekebalan daripada tindakan undang-undang.
“Berdasarkan isu fakta dan undang-undang berkaitan kekebalan tersebut, perkara itu sememangnya tidak boleh diputuskan pada peringkat ini.
“Oleh itu, hujah perayu bahawa rayuan mereka akan menjadi akademik sekiranya prosiding tidak ditangguhkan adalah tidak berasas sama sekali,” kata Amarjeet.
/file/attachments/orphans/undang423_276515.png)
Panel hakim turut menolak hujah perayu bahawa permohonan injunksi interim inter partes mereka perlu didengar terlebih dahulu kerana keputusan mengenai permohonan itu akan turut menentukan isu kekebalan Undang yang memerintah.
Kes utama
Rayuan berhubung permohonan komital yang diputuskan Mahkamah Rayuan hari ini bermula pada 5 Mei lalu apabila kumpulan Undang terbabit memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi.
Mereka memohon supaya kerajaan negeri dan Dewan Keadilan dan Undang atau DKU mendedahkan minit mesyuarat pada 17 April lalu.
Permohonan itu berkaitan mesyuarat khas DKU yang didakwa mencapai keputusan sebulat suara untuk melucutkan jawatan Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong.
Antara perkara yang terkandung dalam minit mesyuarat itu ialah keputusan untuk menyingkirkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Kumpulan Undang itu menamakan kerajaan Negeri Sembilan, DKU dan setiausaha majlis berkenaan, Raja Norazli Raja Nordin, sebagai defendan.
Hakim Roz Mawar Rozain yang mendengar kes itu memberikan injunksi interim pada 5 Jun bagi mengekalkan status quo, termasuk komposisi DKU ketika itu dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya.
Pada hari yang sama, Raja Norazli mendakwa laporan media menyebut bahawa plaintif, khususnya Maarof, terbabit dalam pemasyuran Yang di-Pertuan Besar yang baru mengikut Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, meskipun injunksi interim telah dikeluarkan oleh mahkamah pada hari berkenaan.
Dia mendakwa pemasyuran itu dibuat tanpa mematuhi perintah mahkamah.
Dakwaan pelanggaran perintah itu mendorong Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap enam individu berkenaan atas kesalahan menghina mahkamah.
Roz Mawar kemudian memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap plaintif dan mengarahkan mereka menjawab permohonan komital itu.
Dia turut menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu keputusan rayuan, sekali gus membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
Panel hakim Mahkamah Rayuan turut mendapati perayu tidak datang ke mahkamah dengan tangan yang bersih (clean hands) ketika memohon pertimbangan mahkamah.
“Perayu memohon budi bicara saksama daripada mahkamah ini, tetapi pada masa sama mengambil langkah memfailkan prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui permohonan semakan kehakiman yang berkait secara langsung dengan perkara yang sedang dipertikaikan.
“Ini dilakukan walaupun perintah injunksi interim masih berkuat kuasa. Perayu pertama hingga keempat secara aktif memulakan tindakan berhubung bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Lebih penting, ketika memulakan prosiding berasingan itu, perayu gagal memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kewujudan perintah injunksi interim serta hakikat bahawa Mahkamah Tinggi (Seremban) telah pun memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka dalam kes ini.
“Kegagalan mendedahkan maklumat penting serta tindakan litigasi sedemikian sama sekali tidak selaras dengan prinsip undang-undang yang mensyaratkan pihak yang memohon remedi saksama supaya datang dengan tangan yang bersih,” kata Amarjeet.
Panel hakim turut memerintahkan perayu membayar kos sebanyak RM60,000 kepada responden.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/9c33e792c1e96d0f70a1b45cb575dd90.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.