Seorang ahli parlimen PAS tidak melihat label “dajal” yang digunakan presiden parti tersebut semasa mengulas termeterainya perjanjian di antara kerajaan dengan 13 ahli parlimen bukan kerajaan sebagai sesuatu yang keterlaluan.

Malah untuk menjelaskan pendirian tersebut, Ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad, berpendapat istilah yang digunakan Abdul Hadi Awang semalam sekadar “simbolik.”

Ditemui Malaysiakini di parlimen hari ini, Abdul Ghani berkata, perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) ditandatangani untuk meletakkan kerajaan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berada dalam keadaan stabil.

Dajal itu pula, tambah Abdul Ghani, menunjukkan keberadaan dan sifat CSA itu yang ‘mengikat’ supaya kerajaan diberikan sokongan dan mendapat balasan.

“(Kemudian) dikaitkan dengan dajal. Dajal ini satu simbolik (untuk menggambarkan) betapa rakusnya sifat dajal yang cuba mencengkam, menguasai manusia.

“Hanya orang yang ada kekuatan, keimanan, ketakwaan sahaja yang mampu melawan dajal ini,” katanya.

Abdul Hadi semasa menghadiri majlis makan malam sempena PRN Melaka pada Ogos lalu.

Abdul Ghani juga menegaskan seseorang Muslim sebagai makhluk hanya boleh bergantung kepada Allah SWT.

“Kalau kita bergantung kepada Allah, kita tidak akan rugi, tetapi kalau kita bergantung kepada makhluk, tidak ada jaminan, dan kita akan rugi. Simple,” katanya.

Ditanya jika label digunakan Abdul Hadi sebagai melampau, Abdul Ghani berpendapat sebaliknya.

Alasan ahli parlimen PAS itu – sifat dajal yang memang tujuannya hanya untuk merosakkan manusia sehinggalah kiamat tiba.

Dajal juga, tambah Abdul Ghani, dicipta Allah untuk menguji keimanan dan ketakwaan makluk kepada Allah.

'Adakah Hadi tahu bila kiamat?'

Dia juga berpendapat tidak ada jalan untuk menukar ungkapan itu dengan istilah lain kerana ia memang termaktub dalam al-Quran, sama seperti ungkapan lain termasuk “munafik”.

Perkataan itu, katanya, tidak boleh digantikan misalnya dengan “hipokrit” atau “berpura-pura.”

“Begitu juga (istilah) dajal, Firaun, Qarun – itu semua termaktub dalam al-Quran.

“Maka kalau kita mempertikaikan istilah (dajal) itu, seolah-olah kita mempertikai ayat dalam Al-Quran. Al-Quran ciptaan Allah SWT, kita nak kata (gantikan dengan) apa? Makhluk yang ganas? Lain,” katanya.

Azalina, Fadillah Yusoi dan Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa majlis menandatangani CSA pada 29 Okt lalu.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berpendapat jika Abdul Hadi menggelarkan CSA tersebut sebagai dajal, ia perlu disertakan dengan alasan yang kukuh.

Mengakui dia sendiri bukan mahir dalam hal ehwal agama, Azalina menambah, banyak lagi perkataan lain yang boleh digunakan jika Abdul Hadi tidak suka kepada CSA tersebut.

“Janganlah sampai ekstrem... Saya tengok definisi dajal tu, ia (dajal) akan turun semasa hari kiamat. Adakah dia tau bila kiamat berlaku? Wallahualam.

“Maksud saya, ada ayat lain yang boleh digunakan. Dajal tu bagi saya intepretasi dalam al-Quran […]banyak perkataan lain boleh guna,” katanya yang turut hadir semasa CSA berkenaan ditandatangani pada 29 Okt lalu.