Nama Donald Trump tidak ada pada kertas pencalonan pilihan raya pertengahan penggal, namun perkara itu tidak menghalang pengundi Amerika Syarikat (AS) daripada memberi keputusan terhadap pentadbiran kepimpinannya.

Ketika kekalahan parti Republikan semakin nyata, presiden yang tidak pernah menerima hakikat itu menggunakan media sosial untuk memberikan analisis sendiri.

"Saya tidak bertanding dan jika saya bertanding, kita akan menang besar!" katanya, sebelum mengakhiri kenyataan dengan gaya tersendiri: "Terima kasih atas perhatian anda mengenai perkara ini."

Dia kemudian memuat naik foto topi besbol di Truth Social yang tertera perkataan 'VETO' di bahagian hadapan.

Bagaimanapun, ketika bercakap kepada The New York Times, Trump dengan nada suaranya lebih lunak menyatakan dia menerima keputusan pilihan raya dan bersedia bekerjasama dengan Demokrat, sekali gus membayangkan kedua-dua pihak masih boleh mencapai kata sepakat.

Dalam tamparan hebat terhadap presiden itu, Demokrat menguasai Senat dan Dewan Perwakilan pada Selasa, menembusi kubu kuat Republikan melalui siri kemenangan yang hampir tidak terbayang dua tahun lalu.

Daripada kawasan teras konservatif yang membantu membawa Trump kembali ke Rumah Putih hinggalah ke negeri-negeri yang sekian lama dianggap sebagai kubu kuat Republikan, pengundi memberikan penolakan jelas terhadap pentadbirannya, sekali gus mengubah imbangan kuasa di Washington secara mendadak.

Kalah teruk

Pemberontakan pengundi mencerminkan ketidakpuasan hati yang semakin meningkat terhadap perang dengan Iran yang amat tidak popular, kos sara hidup yang membebankan dan keresahan terhadap kepimpinan Trump.

Perubahan politik paling ketara dilihat di negeri yang selama ini dikuasai Republikan tanpa tandingan.

Menurut Reuters, Kansas memilih anggota Senat pertama daripada Demokrat sejak kemelesetan ekonomi Great Depression hampir sedekad lalu. Di South Carolina, tempat Trump menang dengan margin hampir 18 mata peratusan pada 2024, pengundi menolak calon Senat pilihan peribadinya.

Namun gelombang politik terbesar berpunca dari Texas. Demokrat menamatkan penguasaan puluhan tahun Republikan di negeri merah terbesar itu apabila merampas kerusi Senat dan menewaskan Gabenor Greg Abbott yang berkhidmat selama tiga penggal.

Perubahan besar ini bakal memulakan era baharu pentadbiran berpisah di Washington, menamatkan dua tahun penguasaan Republikan di Kongres yang menyaksikan ahli parlimen jarang menggunakan kuasa institusi untuk mengawal presiden.

Menjelang Januari, Demokrat mempunyai lebih daripada sekadar kemenangan simbolik untuk dirayakan. Mereka dijangka mengalihkan penelitian Kongres terhadap pentadbiran Trump, keluarga serta sekutu politiknya, sambil menggunakan kelebihan baharu untuk menuntut konsesi bagi inisiatif perundangan utama.

Penguasaan Demokrat di Senat juga boleh menyukarkan pelantikan jawatan oleh presiden, termasuk pencalonan ke Mahkamah Agung AS sekiranya berlaku kekosongan.

"Kini wujud pembentukan semula peta Senat merentas generasi yang bakal mengubah Amerika," kata Pemimpin Minoriti Senat, Chuck Schumer.

"Rakyat Amerika memilih perubahan, dan kini Demokrat mesti menunaikannya," katanya kepada Reuters.

Bagi Trump, kesannya melangkaui kehilangan kawalan di Kongres.

Trump bakal jadi presiden 'itik tempang'

Selepas hampir sedekad menguasai parti Republikan dengan cengkaman besi, kewibawaan politik presiden itu mula terhakis secara beransur-ansur apabila tumpuan Washington beralih ke arah persaingan pilihan raya presiden 2028.

Dihalang oleh perlembagaan daripada bertanding bagi penggal ketiga, Trump berdepan prospek dengan apa yang disebut kepresidenan 'lame-duck' atau 'itik tempamng'. Malah bakal penggantinya sudah mula meninjau lanskap politik pasca-Trump dan meletakkan diri masing-masing untuk mewarisi gerakannya.

Berbeza dengan situasi selepas pilihan raya 2020, tiada percubaan untuk mempertikaikan keabsahan keputusan kali ini. Trump menerima kemenangan Demokrat, mengucapkan tahniah kepada pembangkang dalam wawancara bersama Fox News dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam isu tertentu, termasuk imigresen.

"Baiklah, saya katakan ini: tahniah kepada Demokrat. Mereka melakukan kerja yang baik," katanya sambil menambah bahawa Demokrat telah berusaha ke arah detik ini sejak sekian lama.

Trump, bagaimanapun, menafikan bahawa keputusan itu mewakili kekalahan peribadi.

"Saya tidak menyertai undian," katanya menerusi hantaran pada platform media sosial beliau Truth Social.

Bekas presiden AS Barack Obama ketika himpunan menyokong calon Democrati di Michigan

Demokrat membina kempen mereka berasaskan dua isu yang dilihat lebih menyentuh hati pengundi berbanding perang budaya yang menjadi pilihan penentang mereka: rasuah dan kemampuan hidup.

Mereka menyalahkan dasar tarif Trump dan perang dengan Iran kerana memburukkan tekanan kos sara hidup, sambil mengetengahkan berbilion dolar yang diperoleh keluarganya sejak dia kembali ke Rumah Putih.

Republikan salah strategi

Sementara itu, Republikan cuba mengalihkan persaingan ke medan tempur ideologi biasa, menyerang Demokrat mengenai hak transgender dan menggambarkan mereka sebagai radikal serta tegar.

Pertaruhan itu nyata terpesong jauh daripada keutamaan pengundi.

Gelombang Demokrat tidak terhad di kubu kuat liberal tradisional atau kawasan persaingan sengit sahaja, sebaliknya merentasi pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Analisis terhadap kira-kira 1,700 daerah oleh Reuters dan USA Today mendapati Republikan kehilangan sokongan di hampir semua kawasan.

Demokrat mencatatkan peningkatan sokongan di kawasan kaya dan miskin, di daerah dengan kepadatan tinggi graduan universiti mahupun yang mempunyai kelayakan pendidikan lebih rendah. Kemajuan mereka sangat ketara di kawasan majoriti Latino, termasuk daerah sempadan Texas yang pernah beralih kepada Trump pada 2024 dan komuniti pertanian di seluruh padang rumput Kansas.

Gambar Hiasan - Bantahan terhadap perang AS terhadap Iran di Capitol Hill tahun lalu

Di Daerah Seward, Kansas, yang menempatkan antara kilang memproses daging lembu terbesar di Amerika dan penduduk Hispanic merangkumi separuh daripada pengundi berdaftar, calon Demokrat Adam Hamilton mendahului penyandang daripada Republikan, Roger Marshall, dengan 13 mata peratusan.

Perubahan itu sangat luar biasa kerana hanya dua tahun lalu, Trump menguasai daerah yang sama dengan kelebihan 39 mata.

Keputusan Kongres memberikan bukti lanjut bahawa ini bukanlah protes terpencil yang terhad di beberapa negeri sahaja.

Demokrat memenangi kesemua 20 kerusi Dewan Perwakilan yang ditandingi secara sengit menjelang Selasa malam, manakala usaha luar biasa Republikan untuk merangka semula sempadan kawasan pilihan raya bagi meningkatkan peluang mereka sebahagian besarnya gagal, dengan Demokrat mengekalkan sebahagian besar kerusi yang disasarkan.

Trump sendiri tidak berbuat banyak untuk menghalang pengundi daripada menjadikan pilihan raya pertengahan penggal ini sebagai referendum terhadap kepimpinannya.

Campur tangan Trump bawa padah

Pada minggu-minggu terakhir kempen, dia menjelajah ke seluruh negara, mengadakan puluhan perhimpunan dan berulang kali merayu kepada penyokongnya supaya "pura-pura saya ada dalam kertas undi".

Dia juga campur tangan dalam beberapa persaingan pilihan raya bagi memastikan calon pilihannya menang, mengenepikan kebimbangan dalam kalangan Republikan bahawa sebahagian calon pilihannya membawa beban politik yang berat.

Gambar Hiasan

Di Texas, dia menyokong Peguam Negara Ken Paxton yang dibelenggu skandal untuk menentang penyandang kerusi Senat, John Cornyn.

Di South Carolina, dia memberikan sokongan kepada muka baharu dalam politik, Darline Graham, susulan kematian mengejut abangnya, Roger Graham, awal tahun ini.

Kedua-dua sokongan itu terbukti menjadi liabiliti pilihan raya dan bukannya tiket kemenangan.

Malah ahli Republikan yang cuba jarakkan diri daripada presiden turut tidak terlepas daripada kesannya.

Di Maine, penyandang Susan Collins menyaksikan kerjaya Senat selama tiga dekad berakhir, biarpun berulang kali menegaskan kesediaannya untuk tidak sehaluan dengan Trump sepanjang kempen.

Sementara itu, Michigan mencatatkan pencapaian bersejarah.

Tokoh progresif Demokrat, Abdul El-Sayed merampas kerusi Senat yang kosong di negeri itu, sekali gus menjadi individu Muslim pertama dipilih ke dewan tinggi berkenaan. Dia menewaskan bekas ahli kongres dan ejen FBI, Mike Rogers yang mendapat sokongan Trump dan cuba menggambarkan warga AS keturunan Mesir kelahiran Michigan itu sebagaipelampau agama.

"Kamu pilih kebencian, dan Michigan pilih harapan," kata El-Sayed kepada penyokong yang bersorak gembira, menyindir penentangnya yang tewas.

Bagaimanapun, persaingan kerusi Senat di Mississippi dan Alaska masih terlalu sengit untuk menentukan pemenangnya pada awal pagi Rabu.