Agenda Melayu lawan agenda rakyat
Perhimpunan Agung Umno ke-55 telahpun dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) dari 21 hinga 25 September 2004. Walaupun perhimpunan kali ini tidak sunyi dengan kejutan, ia juga menandakan bermulanya suatu era baru, iaitu era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mempunyai ciri dan cabaran tersendiri.
Tidak syak lagi, Presiden baru Umno, merangkap Perdana Menteri Malaysia itu memang bercita-cita setinggi gunung. Beliau bersedia menghadapi cabaran di mana Dr Mahathir Mohamad, telah gagal. Dr Mahathir mengaku beliau gagal mengubah sikap orang Melayu meskipun sudah digesa, dimarah, dirayu, didoa dan ditangisi.
"Kalau Hang Tuah kata, Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia! Pak Lah nak kata, Melayu hidup biar bermartabat! ". Bermartabat, mengikut takrif Abdullah sendiri, ialah "menjadi bangsa yang tidak mengharapkan apa-apa bantuan, sebaliknya boleh berusaha dengan kekuatan kita sendiri."
Tentang bantuan berbentuk "tongkat", Abdullah telah memberi hujah yang tegas dan kritis: "Bumiputera sedar bahawa dirinya bertongkat dan berhasrat mahu berjalan tanpa tongkat, tetapi masih berasa takut untuk membuang tongkat.
"Kerana kebimbangan ini, kembali berputik kecenderungan terhadap pendekatan lama, mencari jalan pintas dengan menyalahkan orang. Jika kecenderungan ini terus dibiarkan hidup subur, Bumiputera berkemungkinan bertambah lemah, dari jalan bertongkat yang dibimbangkan, menjadi semakin tidak upaya bersaing hingga satu hari nanti lumpuh dan perlu ditolak di kerusi roda."

Rasanya "agenda Melayu"yang dilaung-laungkan sebelum dan semasa perhimpunan agung Umno kali ini, mungkin merupakan "putikan kecenderungan pendekatan lama"yang disebutkan Abdullah jika tidak ditangani dengan rasional.
Saranan konkrit
Suatu fenomena yang perlu dipandang berat ialah tiga sayap Umno Pemuda, Wanita dan Puteri Umno yang serentak dan senada menyeru supaya "agenda Melayu" diutamakan parti dan kerajaan.
Malah, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein telah mengisytiharkan bahawa masanya sudah tiba bagi orang Melayu melihat pendekatan dan pelaksanaan DEB dalam dimensi baru.
Pemuda, tambahnya, ingin menegaskan bahawa matlamat asalnya tidak boleh dikompromi selagi ia belum tercapai. Beliau sekaligus mengemukakan lapan saranan konkrit untuk menggerakkan semula agenda ekonomi Melayu.
Untuk menjadi bangsa yang bermartabat, strategi manakah yang patut digunapakai diberi tongkat baru seperti disarankan oleh Hishammuddin atau mencetuskan revolusi mental melalui penerapan 10 prinsip utama nilai murni Islam Hadhari seperti yang dihayati Abdullah? 10 prinsip terbabit ialah:
1. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
2. Kerajaan adil dan beramanah
3. Rakyat berjiwa merdeka
4. Penguasaan ilmu pengetahuan
5. Pembangunan ekonomi seimbang dan konprehensif
6. Kehidupan berkualiti
7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
8. Keutuhan budaya dan moral
9. Pemuliharaan alam semula jadi
10. Kekuatan pertahanan
Jika digunapakai strategi lebih tongkat diberi, bagaimanakah hendak mengelakkan akibat buruk seperti digambarkan oleh Abdullah sendiri, iaitu nanti menjadi " lumpuh dan perlu ditolak di kerusi roda"?
Fenomena kaum
Jika menurut nilai-nilai murni (terutamanya prinsip ke-2 mengenai kerajaan adil dan beramanah dan prinsip ke-5 mengenai pembangunan ekonomi seimbang dan konprehensif) seperti yang dihayati Abdullah, maka kenapa bukan "agenda rakyat" yang lebih inklusif dan merentasi kaum (berbanding dengan "agenda Melayu"yang ditumpukan kepada satu kaum saja) dan bersesuaian dengan masyarakat majmuk negara kita, yang perlu diutamakan?
Bukankah Umno yang menjadi teras menunjangi kerajaan Barisan Nasional yang mendakwa berkongsi kuasa dengan pelbagai kaum di negara kita? Kenapa dalam benak Umno, hanya wujud kaum Melayu sahaja, dan tiada kaum-kaum yang lain?
Jika kaum Melayu memerlukan "agenda Melayu", bagaimana pula dengan kaum bumiputera yang lain dan golongan miskin kaum-kaum yang dianggap berjaya? Perlu ditekankan bahawa kemiskinan dan kemunduran lebih merupakan fenomena sosio-ekonomi, daripada fenomena kaum.
Tidak dapat dinafikan bahawa di negara kita, kekayaan negara sebenarnya berada dalam tangan segelintir pemodal besar/kroni pemerintah yang pelbagai kaum, dan peratusan pemilikan ekuiti mengikut kaum hanya dapat membayangkan keadaan kekayaan golongan atasan yang jumlahnya amat kecil, sedangkan majoriti rakyat bawahan, tidak dapat menikmati kekayaan yang dibayangkan oleh peratusan pemilikan ekuiti terbabit.
Peratusan pemilikan ekuiti oleh golongan atasan sesuatu kaum, tidak begitu bermakna kepada golongan bawahan kaum terbabit. Baik orang Cina maupun Melayu atau India, golongan bawahan memang tidak dapat mengharapkan orang atasan yang sudah membolot kebanyakan hartabenda dan ingin membolot lebih banyak lagi, untuk membantu mereka.
Jurang yang luas
Sekalipun peratusan pemilikan ekuiti orang Melayu telah mencapai 30 peratus atau lebih, ia tidak bermakna kemiskinan dan kemunduran orang Melayu pada keseluruhannya akan lenyap dengan sendirinya. Ini kerana jika kekayaan dalam sesuatu kaum tidak dapat diagihkan dengan lebih adil dan saksama, tetapi terus dibolot oleh segelintir pemodal besar/kroni pemerintah, maka jurang orang berada dengan orang tidak berada di dalam kaum terbabit, mungkin makin meluas dan bukan sebaliknya dirapatkan.
Adalah salah tanggapan bahawa orang Cina kaya dan orang Melayu miskin. Sejumlah besar kekayaan orang Cina dan kekayaan orang Melayu, berada dalam tangan segelintir pemodal besar/kroni pemerintah, sedangkan majoriti rakyat pelbagai kaum, terutama pekerja, petani, kaum nelayan, penjaja, kecil, pengusaha kecil dan kakitangan kerajaan adalah golongan yang paling memerlukan bantuan kerajaan.
Sudah barang tentu "bantuan" bukan dalam pendekatan "memberi ikan", tetapi dalam pendekatan "membekalkan mata kail dan perahu, membekalkan pukat dan kapal, membekalkan kompas dan peta, supaya mereka sendiri berupaya mengharugni gelombang dan bersedia mencari ikan di laut dalam", seperti yang dipesan oleh Perdana Menteri!
Bukankah suatu agenda ekonomi rakyat yang merangkumi kesemua golongan itu, tanpa mengira kaum, lebih bermakna daripada agenda ekonomi Melayu ala DEB yang hanya menumpu kepada penambahan peratusan pemilikan ekuiti kaum Melayu, yang sebahagian besarnya mungkin dibolot segelintir pemodal besar orang Melayu/kroni pemerintah saja, seperti juga halnya dengan sebahagian besar pemilikan ekuiti orang Cina yang berada dalam segelintir pemodal besar kaum Cina/kroni pemerintah?
Agenda rakyat atau agenda Melayu yang akan diutamakan adalah batu uji sama ada Perdana Menteri kita seorang pemimpin negara atau cuma seorang nasionalis Melayu yang berfikiran sempit . Alangkah baiknya jika laungan "hidup Melayu" pada akhir ucapan dasar Abdullah dapat digantikan, atau sekurang-kurangnya disusuli, dengan laungan "hidup rakyat" dan "hidup Malaysia"!