Hyrox Malaysia membatalkan kerjasama dengan sebuah syarikat bir bagi penganjuran acara perlumbaan di Malaysia selepaws menerima bantahan orang ramai.

Penganjur acara sukan antarabangsa itu turut mengakui kesilapan kerana tidak mengambil kira sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Dalam kenyataan di Instagram hari ini, Hyrox Malaysia berkata pihaknya sepatutnya lebih peka terhadap kepercayaan agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia.

“Kami mengakui kesilapan ini dan bertanggungjawab sepenuhnya.

“Selepas berbincang dengan Carlsberg, kami memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama itu bagi acara di Malaysia.

“Kami menghargai masa dan usaha semua peserta yang sedang membuat persiapan untuk menyertai pertandingan ini.

“Kami berharap dapat bertemu anda di garisan permulaan,” menurut kenyataan itu.

Hyrox ialah pertandingan kecergasan dalam dewan bertaraf antarabangsa yang menggabungkan larian jarak jauh dengan latihan kekuatan fizikal.

Acara seterusnya di Kuala Lumpur mencetuskan kritikan selepas Carlsberg diumumkan sebagai “rakan rasmi bir” bagi pertandingan itu.

Kelulusan kementerian

Mengulas perkara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata kelulusan penganjuran acara berkenaan hanya akan diberikan sekiranya tajaan syarikat bir itu ditarik balik.

Dalam satu kenyataan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata permohonan penganjuran acara yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Dis di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, masih dalam pertimbangan kementerian.

Taufiq turut menjelaskan bahawa kementerian tidak membiayai penganjuran acara itu.


Mengikut garis panduan kementerian, syarikat tembakau, vape dan alkohol dilarang menganjurkan, menaja atau mempromosikan acara sukan yang dikawal selia kementerian, termasuk menawarkan hadiah dalam acara berkenaan.

Sehubungan itu, Taufiq berkata penganjur perlu menarik balik sepenuhnya tajaan berkenaan, termasuk membuang semua logo, tanda dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan.

Dia turut mengingatkan syarikat supaya mendapatkan kelulusan kementerian sebelum terbabit dalam penganjuran acara sukan.

Pelanggaran peraturan itu boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ramai pengguna media sosial turut mempersoalkan kewajaran kerjasama itu, khususnya bagi acara kecergasan, serta alasan mengaitkan pertandingan berkenaan dengan jenama minuman beralkohol.

Malaysiakini telah menghubungi Carlsberg untuk mendapatkan komen.