Politik wang sudah bertukar menjadi politik pingat. Begitulah adanya, walaupun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menegaskan penganugerahan itu tiada kena mengena dengan pemilihan Umno yang lalu.

Masyarakat umum merumuskan pemberian gelaran "datuk" yang besar kepada 84 orang dengan satu pertiga daripadanya kepada pemimpin Umno dari pelbagai peringkat itu adalah balasan kerana menyokong Naib-Presiden Umno yang baru itu.

Mungkin Ali Rustam berkata benar apabila menjelaskan pemberian itu semata-mata menghargai sumbangan para "datuk" itu kepada negara dan tiada kena mengena dengan pemilihan pucuk pimpinan agung Umno tempoh hari.

Namun disebabkan penganugerahan dibuat selang dua minggu selepas pemilihan, maka ia dengan mudah dikaitkan dengan kemenangan Ali Rustam sebagai Naib-Presiden Umno. Oleh itu penulis tetap bersangka baik dan menyimpulkan apa yang berlaku ialah "silap timing".

Mungkin senarai penerima anugerah sudah ada dalam simpanan kerajaan negeri dan Yang Dipertua Negeri beberapa bulan lalu. Jadi apa yang berlaku hanya satu "kebetulan". Oleh itu, kerajaan negeri Melaka, Ketua Menteri dan Gabenornya tidak boleh dipersalahkan.

Namun, persoalan yang timbul dari isu politk pingat itu tidak boleh dipendamkan begitu sahaja. Pandangan beberapa pemimpin politik dan sosial seperti Datuk Dr Rais Yatim dan Tan Sri Lee Lam Thye perlu diambilkira.

Martabat gelaran

Dr Rais yang sebelum ini pernah dengan lantang menegur amalan memberi anugerah "datuk" secara borong oleh beberapa kerajaan negeri, sekali lagi bangkit menegur apa yang berlaku di Melaka itu. Menurutnya, jumlah yang diberikan pingat "datuk" itu terlalu besar.

Katanya, pemberian secara sewenang-wenangnya itu menjatuhkan nilai dan martabat gelaran berkenaan. Secara berseloroh, Dr. Rais mencadangkan supaya angka penerima di Melaka itu dinaikkan kepada 100 orang!

Aktivis sosial, Lee Lam Thye pula mahu sebarang gelaran hanya diberikan kepada mereka yang layak menerimanya sahaja. Ada benarnya teguran mereka itu kerana di Malaysia sekarang bersepah-sepah "datuk" di sana sini. Pernah seorang veteran Umno berjenaka, jika dibaling 10 biji batu dalam satu majlis pemimpin bersama rakyat di Putrajaya, sekurang-kurangnya 3 biji akan mengenai kepada "datuk atau datin".

Begitulah bertaburannya "datuk" di negara ini sekarang. Dan kebelakangan ini golongan muda dalam usia lingkungan 30-an semakin ramai mendapat anugerh itu. "Kejayaan" mereka meraih gelaran dalam usia muda memang wajar dipersoalkan. Apa sumbangan dan bakti mereka? Malah, ramai antara mereka ini tidak dikenali oleh masyarakat.

Ahli perniagaan yang selama ini hanya tahu mengaut keuntungan untuk dirinya sendiri tiba-tiba diberikan pingat. Ahli politik yang baru bergiat dalam parti dan baru beberapa bulan dipilih sebagai ahli Parlimen dan Adun dikatakan telah banyak berjasa. Lebih mengejutkan apabila ahli politik dari Kelantan, Pahang, Sabah dan Kedah menerima anugerah di Melaka!

Kalau mereka benar-benar berjasa dan dihargai oleh rakyat, mengapa kerajaan negeri masing-masing tidak memberi anugerah kepada mereka? Apabila begitu senarionya, Ali Rustam tidak boleh marah atau tersinggung apabila ada rakyat mempersoal motif di sebalik pemberian anugerah itu.

Pemurah

Melaka sejak tiga tahun lalu memang dikenali sebagai negeri yang sangat pemurah dalam pemberian anugerah tersebut. Lima belas tahun lalu, pemberian anugerah atau pingat datuk, datuk seri, datuk wira, datuk paduka, datuk amar dan sebagainya, tidak semudah sekarang. Penerimanya masih dipandang tinggi dan dihormati.

Oleh itu, sewajarnya perkembangan yang berlaku di Melaka itu diteliti dengan mendalam oleh kerajaan. Kita mesti mengelakkan politik pingat dari berleluasa. Perlu diingat, politik pingat adalah satu daripada cabang politik wang. Jika ia tidak dibanteras, kita seolah-olah merestui gejala politik wang.

Mungkin saranan Dr Rais satu ketika dulu supaya jumlah pemberian "datuk" dihadkan kepada bilangan tertentu setiap tahun wajar dipertimbangkan. Malah beliau pernah menyarankan supaya garis panduan tertentu diadakan dalam pemilihan penerima anugerah.

Rasanya sudah sampai masanya saranan Dr Rais itu dilaksanakan. Apabila ada piawaian dan syarat yang lebih ketat dan telus dalam sesuatu anugerah itu, barulah pemberian itu bernilai dan dihargai.

Dalam senario sekarang, di mana gelaran "datuk" bersepah-sepah, pandangan masyarakat kepada "datuk dan datin" berkenaan terlalu rendah. Malah ada yang mempersendakan si polan adalah "datuk RM100 ribu atau datuk balak".

Kita telah mendengar banyak cerita mengenai "penjualan" gelaran "datuk" oleh pihak tertentu kepada mereka yang mampu dan kemarukkan gelaran pada harga antara RM100 ribu hingga RM250 ribu. Malah ada di antara mereka yang melakukan penipuan dalam "penjualan" gelaran itu telah diseret ke mahkamah.

Gejala ini adalah suatu yang tidak sihat. Ia menjejaskan kredibiliti institusi beraja dan kerajaan. Oleh itu, kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang bertanggungjawab secara langsung dalam mencadangkan nama-nama penerima anugerah, perlu berrtindak segera untuk menyelamatkan maruah gelaran dan pingat kebesaran orang Melayu itu.

Jangan kita biarkan gelaran "datuk dan datin" dijadikan umpan untuk memancing undi!