Dalam rencana " Jeff Ooi, Islam dan ISA " ( Malaysia Today , 11 Oktober 2004), penulis bernama 'Anwar' (nama samaran) telah menghantar surat memohon maaf melalui e-mel kepada Malaysia Today yang berbunyi:

"Merujuk kepada 'Islam Hadhari and Money Politics' pada lamanweb Screenshots, saya dengan ikhlas memohon maaf atas komen saya yang kurang teliti. Komen tersebut dibuat tanpa ada sebarang niat yang tidak baik. Saya juga menarik balik komen tersebut. Saya sungguh menyesal terhadap apa yang berlaku. Sebagai manusia biasa saya memang mempunyai sifat-sifat kelemahan. Oleh itu saya akan lebih berhati-hati di masa akan datang agar kejadian yang serupa tidak berulang. Sebagai menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia, marilah kita sama-sama buang yang keruh dan ambil yang jernih serta saling bermaafan."

Keinsafan Anwar akan kelemahannya serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi, dan kesudiannya untuk menarik balik komen yang menghina Islam Hadhari serta meminta maaf, patut diterima sebagai penyelesaian kes terbabit. Apatah lagi dia telah disekat daripada menghantar sebarang mesej ke Screenshots sebagai hukuman, yang membuktikan sensitiviti Jeff Ooi selaku pengendali blog Screenshots dalam isu agama.

Desakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya Jeff Ooi meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana membenarkan penggunaan perkataan yang menghina Islam Hadhari dalam blognya, adalah meleset sasarannya.

Ini kerana pelayar, termasuk yang bernama Anwar dapat menyiarkan tulisan/komen masing-masing tanpa ditapis terlebih dahulu. Namun demikian, selaku pengendali Screenshots , Jeff Ooi telah memadamkan perbandingan yang melampau selepas membacanya, dan melarang Anwar daripada menghantar mesejnya ke Screenshots pada masa yang akan datang kerana enggan mematuhi peraturan dan amaran pengendalinya.

Berbanding dengan tindakan Jeff Ooi itu, perbuatan Ketua Pengarang The New Straits Times Kalimullah Hassan sebenarnya lebih tidak bertanggungjawab dan merosakkan. Dalam rencananya yang bertajuk " Pendekatan Islam Hadhari serasi dengan kemodenan: Pak Lah " (3 Oktober 2004 Berita Minggu ), beliau telah membuat tuduhan yang mengelirukan dan berbau menghasut:

"Dalam beberapa bulan, kata-kata keji, dalam perkataan mudah, dibuat di media paling bebas dan mudah, iaitu Internet, sudah menyinggung perasaan orang Islam di Malaysia. Pertama, Majlis Peguam, membenarkan penerbitan artikel di majalah buletinnya yang cukup menyinggung perasaan, artikel yang menyatakan azan yang dilaungkan menandakan waktu sembahyang adalah satu daripada pencemaran bunyi. Kemudian, seseorang yang tidak dikenali, bernama Jeff ooi menyamakan Islam Hadhari dan politik wang dengan 'najis dan kencing'."

Menuangkan minyak dalam api

Dua fakta yang patut diketahui Kalimullah, telah diputarbelitkan. Yang pertama, penulis artikel yang membabitkan azan itu, sebenarnya tidak menganggap laungan azan sebagai pencemaran bunyi. Beliau sebaliknya membidas sikap tidak toleran sesetengah orang yang menganggap laungan azan sebagai pencemaran bunyi (bising), dan menegaskan bahawa hak menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan patut dihormati.

Isu azan yang telah reda sengaja dibangkit semula dan dihubungkaitkan dengan salahlaku seorang yang bernama samaran Anwar (dari surat meminta maafnya, ia mungkin seorang Muslim), bukankah perbuatan ini umpama menuangkan minyak dalam api?

Perbuatan menuangkan minyak dalam api ini telah diulangi oleh wartawan Berita Minggu , Ismail Mat yang menemubual Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar di Parlimen (10 Oktober 2004, Bicara, Berita Minggu ). Cuba membaca soalan yang diajukan:

"Baru-baru ini, timbul isu penghinaan terhadap Islam seperti laungan azan, penghinaan terhadap Islam Hadhari dan perbuatan mencampur ayam yang disembelih dengan babi. Bagaimana Datuk menilai kecenderungan pihak tertentu menyentuh isu sensitif termasuk yang berkaitan agama dan bangsa?"

Tiga kejadian yang berasingan dan tidak kena-mengena antara satu sama lain (seorang peguam hak asasi manusia, seorang Muslim yang anti-Islam Hadhari dan seorang peniaga ) sengaja dihubungkaitkan menjadi apa yang dinamakan "pihak tertentu" yang "berkecenderungan" menyentuh isu sensitif.

Dan soalan ini diajukan kepada seorang menteri yang berkuasa untuk menggunakan Akta Hasutan dan ISA. Bukankah jelas sekali tujuannya menggunungkan bukit, malah menfitnah agar Akta Hasutan atau ISA dapat digunakan terhadap mereka?

Dalam artikel tersebut di atas, Kalimullah telah mendedahkan alasannya kenapa Jeff Ooi dijadikan sasaran. Kata beliau: " Ini bukan kali pertama Jeff Ooi mengeluarkan kata-kata kesat yang menyinggung perasaan perkauman dan agama orang lain. Penulisannya sendiri memberi tamparan prasangka tertentu terhadap kumpulan etnik tertentu. Beliau juga dengan perasaan dengki, pernah memfitnah ramai orang, menyakiti ramai yang tidak bersalah, semunya dilaporkan di media bebas.

"Saya berasa marah kerana saya, juga, seperti yang lain, menjadi mangsa golongan seperti Ooi

"- oh, membalas dendam nampaknya!

Tuduhan Kalimullah terhadap Jeff Ooi berat sekali. Namun tanpa diberi apa-apa contoh yang konkrit sebagai bukti. Jika kesalahan Anwar boleh dipertanggungjawabkan kepada Jeff Ooi, integriti Kalimullah memang boleh dipersoalkan, dan demikian juga tentang kebenaran tuduhan-tuduhannya!

Berselindung dibelakang ISA

Jika Kalimullah seorang wartawan yang beretika, dan jika benar beliau telah menemui angkara-angkara Jeff Ooi dan "pengikut-pengikut kecilnya"seperti tersebut di dalam artikelnya, beliau patut berani menghadapi mereka dalam blog Screenshots yang dibuka kepada semua.

Atau berpolimik dengan mereka dalam media yang beliau kendali secara "gentleman"dan rasional, bukan berselindung di belakang Akta Hasutan dan ISA melalui kempen fitnah yang direka-reka dan diperbesar-besarkan, malah "menghasut"dan mendesak menteri-menteri yang berkenaan agar mengambil tindakan tegas.

Jika dibandingkan kerosakan yang ditimbulkan oleh komen Anwar yang dibidas dan dipadamkan selepas ia disiarkan, dengan kempen fitnah yang dilancarkan oleh The New Straits Times dan Berita Harian yang dikepalai oleh 2K Khairy Jamaludin dan Kalimullah, terhadap hubungan baik kaum dan agama, rasanya kerosakan yang ditimbulkan kempen fitnah beribu kali ganda seriusnya, berbanding dengan kerosakan yang ditimbulkan oleh komen Anwar yang diakses oleh pelayar yang terhad dan dibidas dan dipadamkan dengan cepat.

Kini, kaum Melayu dan Muslim di negara kita mungkin telah dikelirukan oleh kempen fitnah sehingga mempercayai "ada segelintir rakyat negara ini sudah berani menimbulkan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan bahasa" seperti yang didakwa oleh wartawan Berita Minggu terbabit.

Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah memberi amaran bahawa mereka yang terbabit mesti hentikan perbuatan seumpama itu. Jika mereka tidak hirau juga, polis akan ambil tindakan dan sekarang mereka sedang menjalankan siasatan.

Saya rasa siasatan polis harus melibatkan kempen fitnah yang telah menegangkan hubungan baik kaum dan agama seperti tersebut di atas, dan pihak polis juga harus berhati-hati agar tidak termakan hasutan terang-terangan daripada soalan wartawan yang "ada udang di sebalik batu", umpamanya: " Apa komen Datuk kerana golongan terbabit kelihatan menganggap pihak berkuasa tidak mampu bertindak terhadap mereka yang menyebar fitnah dan menghasut menerusi siber? "

Siapa yang patut minta maaf

Siapakah "golongan terbabit"? Jeff Ooi dan pengikut-pengikut kecilnya? Jika merekalah yang disasarkan, bukankah ini suatu lagi fitnah dan hasutan wenang-wenangan yang patut dibanteraskan?

Dalam zaman siber, Khairy memang benar dalam menganggap membuat laporan polis adalah kaedah lama yang tidak sesuai digunakan. Penulis hendak menambah: Memaksa seseorang untuk meminta maaf tanpa alasan yang munasabah (seperti kes Jeff Ooi) melalui kempen fitnah yang diada-adakan media arus perdana, malah dengan gertakan penggunaan Akta Hasutan dan ISA, juga merupakan kaedah lama yang mungkin tidak akan berkesan lagi.

Pendek kata, jika selain daripada Anwar, masih ada sesiapa yang patut meminta maaf kepada rakyat Malaysia, maka ianya pasti bukan Jeff Ooi tetapi Kalimullah Hassan dan Khairy Jamaluddin. Namun saya tidak menyeru mereka untuk berbuat demikian, kerana saya tidak suka membuat sesuatu yang sia-sia saja.

Yang saya harap ialah pihak-pihak terbabit jangan mengganggu lagi Jeff Ooi yang sudah terbukti tidak bersalah dalam episod kali ini, manakala blog Screenshots yang telah memainkan peranannya memupukkan media bebas yang masih begitu terhad di negara kita, juga patut digalak dan dibantu, bukan cuba disabotaj atau dihapuskan!