"Jika ada sesiapa yang perlu dibuang, pecat saja demi kepentingan rakyat dan negara. Kalau perlu kita buang menteri, buang saja dan gantikan dengan yang baru!"

Ini bukan retorik politik Lim Kit Siang atau Karpal Singh dalam perhimpunan politik DAP atau pekikan slogan para reformis dalam demonstrasi jalanan, ia adalah desakan rasmi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kinabatangan di Dewan Rakyat baru-baru ini, yang ditujukan kepada Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Desakan berundur atau dipecat ini bukan cetusan kemarahan individu seorang ahli Parlimen, tetapi pancaran sentimen meruap-ruap beberapa ahli Parlimen BN , termasuk Datuk Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Jimmy Donald (BN-Sri Aman), Datuk Suhaili Abdul Rahman (BN-Labuan), Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya) dan Dr Wee Ka Siang (BN-Ayer Hitam).

Kecaman keras berpunca daripada projek-projek bermasalah yang dikendali oleh Kementerian Kerjaraya termasuk keretakan pada 31 daripada 33 tiang Lebuhraya MRR2 Kepong, struktur permukaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang dilaporkan tidak rata, serangan kulat di hospital baru di Johor dan tanah runtuh di kilometer 302 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua tempurung.

Media arus perdana yang pro-kerajaan kali ini juga macam "tidak memberi muka" lagi kepada kerajaan BN dan menterinya memberi liputan yang agak terperinci mengenai bagaimana Samy Vellu "dihentam", dan bagaimana cadangan pemecatan Samy Vellu itu disokong oleh pelbagai pihak terbabit.

Misalnya, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad turut menyatakan sokongannya kepada ahli-ahli Parlimen yang mendesak pengunduran Samy Vellu. Kata beliau, meminta menteri yang gagal menjalankan tugasnya supaya ditukar, adalah sesuatu yang konstruktif.

Tidak puashati

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Dr Mohd Hamdan Adnan, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Senator Zainal Rampak, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Cynthia Gabriel, menyokong perkembangan terbaru ini.

Dan Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Timbalan Perdana Menteri, juga dilaporkan mahu Samy Vellu memberi penjelasan di Dewan Rakyat, seolah-olah tidak berpuas hati dengan prestasinya.

Yang lebih penting dan membawa implikasi serius kepada menteri kanan kita itu ialah pasukan enam pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang diketuai Pengarah BPR Pahang, Rahim Mustakain, dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap pembinaan beberapa bahagian lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang dikesan tidak memenuhi spesifikasi dan piawaian.

Kepada sesiapa yang mengetahui tentang percaturan politik BN, akan bersetuju bahawa kedudukan Samy Vellu sekarang lebih genting daripada kedudukan bekas Presiden MCA Dr Ling Liong Sek sebelum pengundurannya. Masa itu, Dr Ling hanya dilaporkan sebagai terlibat dalam skandal kewangan yang melibatkan keluarganya.

Justeru, ada pihak yang bergurau sinis: jika Perdana Menteri Abdullah serius hendak membuang menteri-menterinya yang rasuah, maka kabinetnya mungkin kosong! Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan juga, dalam iklim politik sekarang, seseorang menteri yang rasuah dan menjadi "masalah" pula kepada kerajaan, peluang dia ditukarkan adalah lebih tinggi.

Maklumlah era Abdullah sudah bermula, tetapi proses rombakan semula kabinetnya masih belum selesai. Sungguhpun kabinet Abdullah sudah terlalu besar, berbanding dengan negara kita yang kecil, mereka yang berlumba-lumba untuk dilantik sebagai ahli kabinet, tentu terlalu ramai untuk mengisi tempat kosong sedia ada. Oleh itu, menteri-menteri era Mahathir Mohamad mesti pergi mengikut hukum "patah tumbuh, hilang berganti"!

Hilang legitimasi

Justeru, menteri kanan era Mahathir, terutama mereka yang menjadi beban kepada kerajaan BN mesti pergi, kerana sudah hilang legitimasi untuk mempertahankan kedudukannya sebagai menteri.

Sama ada orang biasa atau bukan orang biasa, mereka akhirnya mesti berundur juga. Mahathir tentu bukan orang yang biasa, beliau juga terpaksa berundur kerana sedar telah menjadi atau dianggap sebagai beban kepada Umno dan kerajaan BN.

Ahli-ahli Parlimen BN dan media arus perdana tentu dapat membaca realiti politik BN sekarang. Oleh itu, buat apa mereka memberi muka kepada Samy Vellu yang telah menjadi beban kepada BN tetapi masih angkuh dan berlagak umpama di zaman Mahathir?

Pada masa ini, Samy Vellu seolah-olah masih enggan tunduk. Beliau mengulangi kenyataan Perdana Menteri Abdullah bahawa tiada wajar bagi ahli Parlimen, khususnya daripada BN, untuk mendesak mana-mana menteri supaya meletakkan jawatan.

Siapa tidak tahu perbuatan ini "tidak wajar"dan "tidak manis"? Namun, menurut Shahrir, selaku Pengerusi BBC, tindakan beberapa ahli Parlimen BN tercetus kerana mereka sudah tidak mempunyai cara lagi untuk membuatkan Menteri Kerjaraya itu menjawab beberapa isu penting yang membabitkan kepentingan awam.

Saya sangsi Samy Vellu kali ini dapat terlepas daripada dilema berundur atau dipecat. Jika sekarang beliau bertanya kepada bos lamanya Dr Mahathir, jawapan sudah sedia ada: Berhenti bila makan tengah sedap!