Pejam celik, pejam celik, November ini genap setahun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menjadi Perdana Menteri Malaysia. Begitu cepat masa berlalu. Tempoh 12 bulan itu telah mencabar daya tahan dan kewibawaannya sebagai teraju negara.

Dalam kelibat bayang-bayang Tun Dr Mahathir Mohmad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekorinya, Pak Lah akhirnya berjaya membuktikan beliau adalah pengganti yang boleh diharap, walaupun tidak sehebat Dr Mahathir.

Pak Lah menonjolkan dirinya lain dari yang lain. Beliau mempunyia cara tersendiri untuk memerintah negara dan menyelesaikan masalah. Paling ketara ialah sikapnya yang tenang dan tidak suka berkonfrantasi.

Itulah yang membezakan antara Pak Lah dan Dr Mahathir. Dan itulah kunci kejayaannya sepanjang setahun ini!

Dengan ketenangan, sikap toleransi dan imejnya yang warak dan lembut, beliau berjaya memenangi hati kawan dan lawan, terutamanya para pengundi dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Kemenangan paling besar dalam sejarah Barisan Nasional itu adalah kerana peranan beliau sebagai teraju parti itu. Kalau Dr Mahathir masih di tampuk kuasa, dipercayai BN tidak mungkin mencapai kejayaan yang begitu gemilang.

Menempuh arus

Pak Lah memulakan pemerintahannya dengan sikap rendah diri apabila beliau meminta rakyat "berkerjalah bersama saya, bukan bekerja untuk saya". Kemudian beliau menunjukkan ketegasannya untuk membasmi rasuah dan penyelewengan. Penyakit moral itu tidak ditangani dengan serius pada era pemerintahan sebelum Pak Lah.

Kemudian, sesuai dengan latarbelakang dan imejnya yang pro-Islam, beliau melancarkan konsep Islam Hadhari. Beliau mahu umat Islam Malaysia maju dan berakhlak dalam menempuh arus globalisasi.

Beliau juga menunjukkan keprihatinannya terhadap isu-isu yang dianggap kecil dan remeh oleh pentadbiran sebelumnya. Beliau bersuara dari soal kemalangan jalanraya, penyalahgunaan dadah, keberkesanan perkhidmatan kaunter hingga ke gejala rogol dan sumbang mahram.

Dengan berbekalkan keberaniannya mendakwa Tan Sri Eric Chia dan bekas menteri, Datuk Kasitah Gadam serta konsep Islam Hadhari, Pak Lah mengharungi pilihanraya umum Mac lalu.

Terbukti percaturan beliau berjaya. Tanpa isu-isu nasional yang besar, kemaraan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat berjaya disekat. Bukan sahaja orang Melayu kembali memihak kepada Umno, malah Terengganu berjaya dirampas semula dan Kelantan hampir dikuasai.

Kejayaan dalam pilihanraya itu telah memperkasakan kedudukan Pak Lah. Kedudukan beliau bertambah kukuh apabila berjaya mengendalikan perhimpunan agung Umno dengan lancarnya pada bulan lalu.

Isu Khairy Jamaluddin

Setelah dinobatkan sebagai presiden, segala kesangsian terhadap kedudukan dan kemampuan beliau hilang. Beliau kini berkuasa penuh. Pak Lah kini tidak lagi dilihat sebagai "Perdana Menteri Sementara".

Walaupun laluan beliau selama setahun adalah lancar, namun itu tidak bermakna ia bersih daripada onak dan duri. Antara cabaran paling besar yang dihadapinya ialah isu Scomi, syarikat yang dimiliki anaknya, yang didakwa terbabit dalam program nuklear bawah tanah antarabangsa.

Begitu juga baru-baru ini, nama beliau sekali lagi cuba dicemar apabila ada laporan media menyatakan beliau turut dinamakan sebagai penerima faedah daripada jualan sulit hasil minyak Iraq ketika zaman Presiden Saddam Hussein.

Sedikit sebanyak isu-isu tersebut menjejaskan nama baik beliau dan Malaysia. Namun Pak Lah dengan ketenangannya, berjaya menangani semua isu itu dengan bijaksana. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak tumpah.

Satu lagi isu yang mencabar beliau ialah kemunculan menantunya Khairy Jamaluddin dalam kancah politik Umno. Kemenangan tanpa bertanding Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda Umno dijadikan modal untuk menghentam Pak Lah. Beliau dituduh mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Namun, Pak Lah berjaya menyakinkan ahli-ahli Umno bahawa kemunculan mendadak menantunya itu bukan di atas kehendaknya, sebalik kehendak ahli-ahli Pemuda Umno sendiri.

Sifat toleransi

Kematangan politik Pak Lah turut teruji apabila berhadapan dengan isu Anwar Ibrahim yang tidak pernah surut itu. Banyak pihak berharap perlantikannya sebagai Perdana Menteri akan mengakhiri penderitaan Anwar di penjara.

Dan harapan itu menjadi kenyataan pada awal bulan lalu apabila Mahkamah Persekutuan membebaskan bekas timbalan perdana menteri itu daripada sabitan dan hukuman bagi kesalahan meliwat. Anwar telahpun menjalani rawatan sakit tulang belakang di Jerman.

Pak Lah menonjolkan peribadi mulianya apabila membolehkan pasport antarabangsa Anwar diproses dalam masa sehari!

Beliau menunjukkan rasa kemanusiaan yang tinggi pada waktu yang tepat, walaupun pada seseorang yang menjadi musuh kerajaan. Tindakannya itu telah menaikkan imejnya sebagai pemimpin yang bertoleransi.

Sebelum berbangkit isu Anwar ini, Pak Lah juga telah menonjolkankan imej baiknya ketika mengarahkan hospital kerajaan memberikan rawatan terbaik kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat bagi merawat penyakit jatung pemimpin PAS itu.

Halatuju baru

Jelas sekali beliau amat bijik dan licik untuk menukar suasana supaya memihak kepadanya. Amalan berbaik-baik yang dipupuk dan dipegang oleh Pak Lah itu menaikkan lagi imejnya di kalangan rakyat.

Perlahan-lahan rakyat berhenti membandingkan beliau dengan Dr Mahathir. Tanggapan yang menganggap beliau berada dalam bayang-bayang Dr Mahathir juga semakin luput.

Suatu yang akan terus diingati oleh rakyat mengenai Pak Lah ialah kemampuannya menyejukkan suhu politik negara sebaik sahaja mengambilalih kuasa pada tahun lalu. Keadaan yang penuh konfrantasi sama ada dengan parti-parti politik tempatan atau negara luar seperti Amerika dan Singapura, telah berubah.

Malaysia sudah boleh duduk semeja dengan Singapura bagi membincangkan isu-isu tertunggak. Tidak perlu lagi ke Tribunal Keadilan Antarabangsa. Amerika juga bersedia menerima Malaysia dan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) sebagai orang tengah bagi membantu menyelesaikan isu Iraq dan Palestin.

Setahun berlalu, Pak Lah berjaya membuktikan Seri Perdana bukannya sinonim dengan Dr Mahathir. Beliau telah membentuk hala tuju yang baru bagi rakyat dan negara. Kiblat negara kini berubah dari ICT dan perindustrian kepada pertanian komersil.

Pak Lah telah menunjukkan kepada ahli-ahli Umno dan rakyat siapa "bos" ketika ini.