Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Banyak yang telah diperkatakan berkenaan perhimpunan baju merah yang berlangsung pada sambutan Hari Malaysia ke-54 tahun yang lalu.

Laungan garang kemarahan dengan nada perkauman Melayu yang sempit menjadi wacana pasca perhimpunan.

Barangkali inilah yang dimaksudkan kebebasan bersuara untuk sebuah negara rojak dalam struktur kekuasaan politik.

Mungkin ia boleh dilihat seperti resepi demokrasi yang semu dengan gaulan bahan-bahan suku feudal monarki, suku authoritarian dan tiga suku kejiwaan dunia ketiga.

Di United Kingdom misalnya memang terdapat kumpulan berhaluan kanan perkauman, yang wujud berasaskan semangat kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun seperti English Defense League dan parti politik British Nationalist Party.

Namun beberapa orang penganalisa politik Malaysia berpendapat gelora perkauman ini perlu dikeluarkan secara berperlembagaan supaya berlaku perbincangan, pendidikan demokrasi dan akhirnya perdamaian ke arah menghormati hak-hak asasi manusia.

Himpunan Baju Merah lebih baik terjadi daripada ia terpendam di bawah tanah, bergerak seperti mafia ataupun pergerakan ektremis yang bersandarkan keganasan untuk merebut kekuasaan – pembunuhan bersenjata seperti gerakan penghapusan etnik di Rwanda dahulu.

Saya percaya setakat hari ini, pihak keselamatan dan keamanan – juga pihak perniagaan dan perdagangan – Malaysia tidak akan membenarkan peristiwa 13 Mei berulang lagi.

Maka tiga orang anggota polis cedera ringan dalam mempertahankan Petaling Street daripada dirempuh para penunjuk perasaan, meski mereka dilemparkan kata-kata kesat “barua Cina.”

Sokongan pada Najib

Saya boleh katakan himpunan baju merah berjaya mencapai tujuannya untuk menunjukkan (tidak sama sekali kebenaran, melainkan tanggapan) bahawa kononnya orang-orang Melayu tanpa berbelah bahagi bersatu menyokong padu Najib Razak.

Perdana menteri itu kini berhadapan desakan dan tuntutan untuk melepaskan jawatannya akibat terpalit dengan berbagai skandal rasuah dan jenayah.

Selain itu, himpunan tersebut juga berjaya membentuk tanggapan bahawa segala masalah yang berlaku di Malaysia ini berpunca daripada orang-orang Cina, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) atau di atas kesemua hirarki itu, dua orang manusia yang dikecam sebagai paling hina, saudara Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ini adalah suatu tanggapan serong yang tidak didukung dengan fakta atau pertimbangan akal budi. Ia suatu keterbalikan, mungkin ia dapat menjadi cermin untuk orang-orang Melayu, khususnya kumpulan Baju Merah bahawa Kit Siang dan Guan Eng, DAP dan orang-orang Cina bukanlah pihak yang menggadai tanah air tercinta ini.

Dosa kronisme Kit Siang dan Guan Eng, bukanlah kerana membahagi-bahagikan projek kerajaan kepada ahli keluarga atau merampas tanah rakyat.

Dosa kronisme mereka kerana berkongsi derita penderitaan dalam membela kaum tertindas tanpa mengira kaum dan agama di Malaysia, termasuklah pengalaman merengkok dalam penjara tanpa bicara ISA selama dua tahun.

Kumpulan baju merah perlu diingatkan siapa yang membela berhabis-habisan sewaktu Akta Pengambilan Tanah Negara dipinda dulu. Siapa pula yang membangkitkan bantahan di parlimen, kalau bukan veteran politik kita, Lim Kit Siang dan para ahli parlimen DAP.

Akta gila yang membolehkan tanah sesiapapun di negara ini dirampas kerajaan atas tujuan pembangunan ekonomi semata-mata, yang tersangat luas taksiran dan ruang lintup kuasanya, meliputi kepentingan ekonomi pihak swasta yang boleh saja bertentangan dengan kepentingan orang ramai.

Alih perhatian

Walhal sebelum itu, kerajaan hanya boleh mengambil tanah milik peribadi dan orang ramai atas tujuan kemudahan dan infrastruktur awam.

Dengan demonstrasi Baju Merah, sekurang-kurangnya perhatian masyarakat tempatan dapat dialihkan seketika daripada isu yang paling mencabar hari ini, iaitu 1MDB dan desakan mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar Najib Razak meletakkan jawatan PM.

Ribuan Baju Merah yang berhimpun itu memang menang sorakannya, dengan seruan slogan perkauman yang penuh gegak gempita. Kemenangan sorakan anda untuk Najib Razak amat dialu-alukan.

Terlebih-lebih lagi, bulan November ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, juga rakan bermain golf Najib Razak (sewaktu tengkujuh yang lalu) akan sekali lagi mencemar duli kemuliaan dirinya untuk datang melawat Malaysia . Memang pelik, Obama yang menentang rasisme disokong Najib Razak yang didukung Baju Merah yang rasis.

Najib Razak bukan sembarangan perdana penteri, begitu juga Rosmah Mansor bukan sembarangan ‘wanita pertama’. Buktinya Presiden Obama datang ke Malaysia sebanyak dua kali. Ini bukan calang-calang. Kali terakhir Presiden AS, Lyndon B. Johnson datang melawat Malaysia pada 1966.

Saya amat berharap kalau-kalau ada kampung atau Felda yang dapat dinamakan dengan nama Barack Obama, presiden kulit hitam pertama dalam sejarah AS.

Pentadbirannya memperlihatkan tentera AS keluar dari Afghanistan dan Iraq, usaha pendemokrasian di Myanmar, serta ikhtiar diplomasi perdamaian dengan Iran dan konflik Palestin-Israel.

Legasi pentadbiran Obama yang paling jelas adalah perdamaian republik itu dengan negara sosialis Cuba.

Perjanjian TPPA

Namun di sebalik kebaikan pentadbiran Obama ini, polisi Pivot Asia (memasak Asia) melalui Perjanjian Perdagangan Bebas TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement-Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik) dengan Malaysia sebagai salah satu anggota kerjasama itu mengundang berbagai kritikan .

TPPA dibantah oleh gabungan kumpulan NGO Bantah TPPA dan parti dalam Pakatan Rakyat.

Saya berpendirian, sebelum Malaysia menandatangani TPPA, Malaysia perlu meratifikasi Pengisytiharan Hak-hak Asasi Manusia Sejagat, khususnya konvensyen berkenaan hak sivil dan politik. Jika ia tidak dilakukan, maka ia hanyalah liberalisasi ekonomi palsu.

Tetapi semua orang tahu muafakat pakatan pembangkang telah berkecai, dengan usaha pemulihan yang memakan masa, tenaga dan belanja. Manakala pemimpin utama gerakan reformasi dan pendemokrasian Malaysia, saudara Anwar Ibrahim, sedang merengkok di penjara Sungai Buloh. Sekarang ini, beliau amat perlukan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, gerakan Islam, khususnya PAS yang dahulu lantang anti dasar-dasar luar AS, kini sedang dalam proses muhasabah diri samada untuk bergerak sendirian atau bersama Umno agar hudud PAS dilaksanakan di Kelantan.

Saya juga tidak tahu apakah gerakan Bantah TPPA ada keupayaan yang sama seperti BERSIH dan baju merah?

Moga-moga TPPA selamat ditandatangani Najib Razak. Terima kasih Baju Merah, kepada Obama kita bangun dan kita angkat piala anggur tanda menjunjung kasih.

Benarlah pepatah lama, menang sorak, kampung tergadai.


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.

Lihat Komen
ADS