Kecoh pertikaman lidah antara Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu dengan para kontraktor bumiputera. Perunding Pengurusan Projek (PMC) dipersalahkan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) cuci tangan.

Itulah yang berlaku dalam isu projek-projek kerajaan yang terbengkalai sekarang. Kontraktor terbabit menyifatkan isu ini telah diperbesar-besarkan melebihi sepatutnya, Samy Vellu pula pergi lebih jauh lagi dengan menuduh isu itu telah dipolitikkan.

Sebenarnya, siapakah yang bersalah dalam isu ini? Kalau dilihat dari susun atur pengendalian projek-projek kerajaan selama ini, semua pihak terbabit, termasuk Kementerian Kewangan dan kementerian-kementerian yang terbabit dengan projek, seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran, patut dipertanggungjawabkan.

Adalah tidak wajar Kementerian Kerja Raya serta menterinya, PMC dan para kontraktor sahaja dijadikan sasaran. Dalam soal pembinaan projek ini, Kementerian Kewanganlah yang paling berkuasa. Bidang kuasanya melebihi Kementerian Kerja Raya.

Pemilihan kontraktor dibuat oleh Kementerian Kewangan semata-mata kerana ia merupakan pihak yang mengeluarkan modal bagi projek berkenaan. Kementerian Kerja Raya atau lebih tepat Jabatan Kerja Raya (JKR), hanya menjaga aspek teknikalnya sahaja.

Selepas Kementerian Kewangan, pihak yang sepatutnya paling berkuasa ialah JKR tetapi dalam isu sekarang ini, PMC sering mengatasi kuasa JKR. Dalam beberapa kes, PMC bukan sahaja menjalankan tugas mengawasi projek, malah mengambil alih peranan JKR sebagai tempat rujukan bagi sesuatu projek itu.

Menuding jari

Samy Vellu sendiri mengakui JKR telah kehilangan peranannya dalam projek-projek kerajaan sejak PMC ditubuhkan pada tahun 1990-an. Kini, setelah timbul isu jejambat retak, makmal roboh, hospital berkulat dan bangunan sekolah terbengkalai, semua jari menunding kepada JKR.

JKR yang sudah lama tidak berperanan dalam projek-projek tersebut, dijadikan kambinghitam.

Sedangkan yang sepatutnya dipersalahkan ialah PMC yang mengendalikan projek berkenaan. Akhirnya, kerajaan tidak boleh berdiam diri, kredibiliti agensinya perlu dipertahankan dan satu persatu para menteri dan menteri besar bangun menyalahkan PMC pula.

Kerajaan segera bertindak menarikbalik segala kuasa PMC untuk diserahkan kembali kepada JKR Semua projek kerajaan kini dikendalikan oleh JKR sebagaimana 15 tahun dulu. Kita terpaksa berpatah ke belakang apabila strategi baru yang dirasakan sangat baik, telah memakan diri sendiri.

PMC sebenarnya ditubuhkan dengan tujuan melicinkan pelaksanaan projek-projek kerajaan. Ia menjadi perunding bagi semua projek yang dibangunkan. Kontraktor akan berurusan dengan PMC dalam menentukan rekabentuk dan pembinaan projek. Di samping itu, ia juga menjadi perunding atu pelapor bagi Kementerian Kewangan berhubung perkembangan sesuatu projek itu.

Memandangkan terdapat ribuan projek kerajaan, maka banyak PMC ditubuhkan dan ia dibahagikan mengikut zon tertentu. Sebuah PMC yang dianggotai oleh para jurutera, arkitek dan juruukur bahan, mungkin diberikan sehingga 100 projek di bawah pengawasannya.

Langkah menyerahkan projek-projek kepada PMC juga diharapkan dapat mengurangkan kos sesuatu projek itu. Bagaimanapun, harapan itu meleset kerana lazimnya kos projek meningkat sekali ganda apabila projek diserahkan kepada mereka.

Kos meningkat

Samy Vellu sendiri mendedahkan hakikat itu. Menurut beliau, pernah terjadi pembinaan sebuah bilik darjah hanya menelan kos RM55,000 di bawah tender JKR, tetapi apabila dikendalikan oleh PMC, kosnya meningkat kepada RM95,000.

Tidak cukup dengan menyalahkan PMC, para kontraktor bumiputera turut dipersalahkan dalam isu ini. Mereka dituduh tidak kompeten menjalankan kerja. Mutu pembinaan mereka dikatakan di bawah piawaian yang ditetapkan. Malah ada yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual.

Begitukah teruknya keadaannya kontraktor bumiputera? Statistik yang disiarkan di akhbar menunjukkan hanya 16 daripada 400 sekolah yang ditawarkan pembinaannya pada 1999 yang gagal disiapkan. Ia merangkumi 4 peratus sahaja daripada keseluruhan projek.

Adakah pencapaian itu terlalu teruk? Rasanya adalah tidak adil kalau kita menuduh kontraktor bumiputera lemah dan gagal semata-mata kerana peratusan kegagalan yang kecil itu. Kontraktor kaum lain juga ada yang gagal. Di luar negara, masalah yang sama juga berlaku. Dalam setandan pisang, pasti ada beberapa yang busuk. Kita tidak boleh menafikan hakikat itu!

Oleh itu, langkah drastik untuk menyenaraihitamkan kontraktor bumiputera yang gagal menyiapkan projek, perlu dibuat secara berhati-hati. Langkah yang tergesa-gesa akan menjejaskan periuk nasi banyak pihak.

Memang wajar kerajaan bertindak tegas terhadap kontraktor yang tidak bertanggungjawab tetapi ia perlu dilakukan dengan bijaksana. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan tumpah.

Akhir sekali, meletakkan segala kesalahan di atas bahu Samy Vellu juga tidak adil. Mungkin beliau ada membuat kesilapan tetapi tidak sepadan dengan hukuman meletakkan jawatan menteri.

Memang ada kepala yang patut dipancung berikutan isu jejambat retak, permukaan lebuhraya tidak rata, makmal roboh dan PMC yang tidak kompetitif ini. Persoalannya kepala siapa?

Badan Pencegah Rasuah mungkin sudah mempunyai jawapannya? Rakyat sedang menunggu hasil agensi itu!