Pada bulan Mei 2010, tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Tanjung Pagar termasuk semua tanah laluan KTM di Singapura diberikan oleh Najib Razak kepada Lee Kuan Yew.

Bani Melayu terpinga-pinga bila membaca berita tanah KTM di Singapura kena rembat. Bani Melayu dilihat amat-amat bodoh.

Dilihat bodoh kerana parti ketuanan Melayu, United Malays National Organisation, yang wujudnya untuk berjuang mempertahankan kepentingan Melayu, telah bersekongkol dengan Lee Kuan Yew.

Amat jelas sekali bahawa Lee ini bukan dari Bani Melayu. Terbukti, dengan penuh tipu helah, Lee Kuan Yew menggunakan parti ketuanan Melayu untuk menjadi orang tengah menipu Bani Melayu.

Ketika tulisan ini digarap, sejarah sedang berulang sekali lagi. Kali ini bukan tanah KTM atau tanah kebun getah di Senaling yang tergadai tetapi Tanah Melayu. Saya ulangi, Tanah Melayu kita ini sedang dalam proses untuk digadaikan.

Dalam tulisan saya ini saya menggunakan Tanah Melayu untuk memastikan Bani Melayu ini faham betul-betul apa yang saya cuba sampaikan. Mungkin jika saya menggunakan istilah “Malaysia”, para Bani Melayu ini tidak ada rasa sayang dan cinta kepada negara yang dipanggil Malaysia.

Para pakar kaji masyarakat sering mengatakan bahawa Bani Melayu ini amat rapat, amat sayang dan amat cinta dengan tanah tempat kelahiran mereka.

Kerana itu mereka memanggil tempat tinggal mereka “tanah dan air”. Tempat itu pula dikaitkan dengan tumpahan darah di mana uri dan tembuni ibu mereka pecah berdarah ketika melahirkan mereka.

Pada ketika saya menggarap tulisan ini – Tanah Melayu – tempat pecah uri dan tembuni Bani Melayu sedang dalam perjalanan untuk dijual.

Betul kah Tanah Melayu ini hendak dijual? Atau ini hanya tulisan Hishamuddin Rais yang sentiasa antikerajaan? Adakah tulisan ini anti-Cina DAP kerana ada nama Lee Kuan Yew disebut?

Adakah ini hanya tulisan untuk memburukkan nama Najib Razak, suami kepada Rosmah Mansor? Adakah ini tulisan propaganda dari Pakatan Harapan Baru, atau semua ini hanyalah fitnah dan tohmah?

Ini bukan fitnah. Saya akan buktikan satu persatu untuk memperlihatkan bagaimana Tanah Melayu ini akan dijual. Lima tahun dahulu tanah KTM di Tanjung Pagar terjual. Kini sejarah berulang lagi.

Sejarah apa yang berulang?

Untuk memahami apa yang berulang saya akan menyelongkar Tiga Tee. Saya akan cuba membuka Tiga Tee. Apa dia Rahsia Tiga Tee?

Tiga Tee ini ialah:

1) TPPA- Trans-Pacific Partnership Agreement

2) TISA - Trade in Services Agreement

3) TTIP-Translantic Trade Investmnet Partnership

TPPA – ini perjanjian perniagaan 12 buah negara di Lautan Pasifik termasuk Brunei, Singapura, Australia, New Zealand, Chile dan Vietnam serta Tanah Melayu.

TISA – ini perjanjian khidmat perniagaan 23 buah negara-negara Eropah dengan Amerika Syarikat.

TTIP – ini perjanjian perniagaan Negara Kesatuan Eropah dengan Amerika Syarikat.

Tiga Tee ini semuanya ikat berikat dengan kuasa imperial Amerika Syarikat. Semuaya kait-berkait. Semuanya sambung bersambung.

Orang ramai warga Malaysia pasti ada terdengar samar-samar atau terbaca tentang TTPA. Terdengar tapi tidak tahu buah butir. Tidak jelas dan tidak tuntas.

Saya juga yakin majoriti warga Malaysia tidak pernah terdengar tentang TTIP dan TISA. Ini boleh difahamkan kerana dua perjanjian ini bukan antara Tanah Melayu dengan Amerika Syarikat.

Tidak mengetahui mendalam tentang TTPA ini bukan tanda semua warga Malaysia bebal. Dalam kes TTPA dan dua Tee yang lain memang ada rancangan tersusun agar warga dijadikan bebal dan bangang.

Warga Eropah yang dikatakan celik ilmu telah juga gagal mengetahui apa itu TTIP dan TISA. Warga Jerman yang dikatakan bijak dan teliti itu pun gagal mengetahui apa sebenarnya dua perjanjian ini.

Bani Melayu yang menjadi kunci arah tuju negara Malaysia ini pula sememangnya telah lama diperbodoh dan dibangangkan. Bani Melayu disimpan dalam gelap.

Projek pembodohan Bani Melayu ini telah berjalan semenjak Hari Malapetaka 31 Ogos 1957 – apabila British meninggalkan Tanah Melayu.

Jika Bani Melayu terang, bijak dan berjaya menerima pencerahan maka Bani Melayu akan berbondong-bondong meninggalkan parti United Malays National Organisation. Untuk kesejahteraan parti ketuanan Melayu, Bani Melayau wajib terus dibodohkan.

Selagi Bani Melayu terus bangang, United Malays National Organisation akan terus berkuasa. Ini fakta. Ini bukan fitnah.

Untuk menyelongkar tiga Tee ini maka mari kita kembali melihat sejarah dunia. Kita wajib mengetahui dari mana asal-usul TPPA, TISA dan TTIP.

Semuanya bermula sesudah Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat mencampuri Perang Dunia Kedua hanya beberapa tahun sebelum tamat perang – sesudah pelabuhan Pearl Harbour dibom Jepun pada Disember 1941.

Perang tamat pada 1945. Ini bermakna yang rahai dan koyak rabak dalam Perang Dunia Kedua ialah Great Britain – kuasa kolonial ulung sebelum pecah perang.

Apabila Perang Dunia Kedua selesai, kuasa imperial dunia hanya tinggal Amerika Syarikat yang juga telah meledakkan Bom Atom.

Pax Britannia diganti oleh Pax Americana. Semua rakyat dunia tunduk di bawah kuasa imperial Amerika.

Pada tahun 1947 kuasa Amerika tidak ada pencabar. Ketika ini Amerika telah menubuhkan GATT – General Agreement on Tariffs and Trade. Amerika membuat Perjanjian Bretton Woods untuk mata wang. Amerika menubuhkan Bank Dunia dan juga IMF – International Monetary Fund untuk menyelia dan mengawal sistem kapitalis dunia.

Semua lembaga ini dilakar dan dibentuk dengan tujuan untuk memastikan kaum pemodal Amerika akan mendapat keuntungan berganda-ganda dari pelaburan mereka. Lembaga ini ialah senjata ampuh untuk menundukkan saingan Amerika – Soviet Union pada ketika itu.

Selama lebih dari 50 tahun melalui lembaga imperialis Amerika ini menjajah dunia. Pada hari ini kita boleh melihat hampir di kesemua negara dalam dunia ini ada pelaburan Amerika. Jelas, dunia dimiliki oleh syarikat dan kaum pemodal Amerika.

Pada tahun 1995, satu lagi lembaga telah ditubuhkan. Kali ini namanya ialah Worlds Trade Organisation – WTO. Satu demi satu negara masuk menjadi ahli. Tanah Melayu menjadi ahli GATT semenjak 1957 dan menjadi ahli WTO semenjak 1995.

Rusia, China dan banyak negara Dunia Ketiga yang telah bebas dari kuasa penjajah telah menjadi anggota WTO. Setiap negara ini menjaga kepentingan negara mereka. Dalam masa yang sama politik dunia berubah. Pembangunan ekonomi telah membawa kepada kesedaran politik dan keyakinan diri.

Negara-negara Dunia Ketiga saperti Afrika Selatan, India , China, dan Brazil semakin berpengaruh kerana negara ini memiliki ekonomi yang besar.

Datang tahun 2001, kuasa imperial Amerika melalui WTO telah mengadakan Persidangan Doha. Ini percubaan Amerika untuk memastikan sistem dunia kapitalis di bawah hegemoni Amerika akan terus selamat.

Persidangan Doha ini untuk memastikan kaum pemodal antarabangsa yang bekerja sama dengan kaum Zionis International akan terus mendominasi dunia.

Dalam perundingan Persidangan Doha, negara Dunia Ketiga seperti India, Afrika Selatan, Iran, Brazil dan China enggan tunduk kepada kepentingan kaum pemodal Amerika.

Dalam masa yang sama negara Kesatuan Eropah juga tidak bersetuju dengan tarif dan subsidi bahan pertanian. Hakikatnya, Persidangan Doha gagal. Kuasa hegemoni Amerika kini telah ada tentangan.

Amerika mula menyedari bahawa Amerika sebagai kuasa dunia sedang dilawan oleh negara seperti China, India dan Rusia. Tiga negara ini memiliki potensi kekuatan ekonomi dan militer untuk menundukkan kuasa hegemoni Amerika.

Penentang kuasa ekonomi imperialis Amerika ini dikenali sebagai BRIC – Brazil, Rusia, India dan China. Negara BRIC ini semakin berani dan semakin lantang tuntutan ekonomi mereka.

Pada 2007 China telah menubuhkan SCO – Shanghai Cooperation Agreement. Dalam tahun 2007, Rusia menubuhkan Eurasian Economic Union. Persidangan pertama dihadiri oleh Belarus dan Kazakhstan. Kini, Iran, India dan China juga telah dijemput menjadi pemerhati.

China kini menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia dan berjaya menggantikan Jepun. Maka pada tahun 2014 China telah menubuhkan AIIB – Asia Infrastructure Investment Bank.

Dengan simpanan dolar yang berbilion-bilon, dengan pantas 53 buah negara telah memasuki AIIB. Penubuhan AIIB ini jelas untuk menandingi IMF, Bank Dunia dan ADB – Asian Development Bank.

Semua yang berlaku ini diperhatikan oleh kaum kapitalis Amerika. Kuasa imperial Amerika sedar bahawa China dan Rusia sedang merancang untuk meninggalkan dolar sebagai mata wang perniagaan dunia.

Sedikit demi sedikit, perniagaan China dengan Iran telah menggunakan Yuan. Untuk perniagan dua hala dengan Rusia, matawang Yuan dan Rubel boleh digunakan.

Dolar – kertas hijau yang menandakan kuasa hegemomi Amerika semakin diketepikan. Kekuatan dolar terus dipertikaikan. Keyakinan kaum pemodal terhadap dolar mula berganjak. Amerika yang berselirat dengan hutang semakin disangsikan ekonominya.

Justeru secara senyap-senyap Amerika merancang. Secara berahsia Amerika telah mewujudkan Tiga Tee – TPPA untuk Asia Pasifik, TTIP dan TISA untuk Eropah.

Kenapa saya mengatakan senyap-senyap dan berahsia? Ini kerana saya amat yakin bahawa Tok Pa wakil Malaysia ke persidangan TTPA sendiri tidak tahu apa isi butir perjanjian TPPA.

Saya juga cukup yakin Najib Razak, Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Sharizat Jalil – tidak tahu apa isi kandungan TTPA ini. Tidak ada sesiapa di Tanah Melayu ini tahu bahawa tanah milik Melayu ini akan dijual dengan penuh rahsia.

Kalau semua rahsia, siapa yang tahu? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.