Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM Kebelakangan ini kita selalu mendengar orang menyebut perkataan “maruah”. Istilah ini ditambah pula dengan kata nama Melayu untuk menjadi “maruah Melayu”.

Apa sebenarnya maruah? Apa sebenarnya maruah Melayu?

Maruah dari pemahaman kita merangkumi kehormatan kita. Harga diri kita. Nama baik kita. Dan budi akhlak kita. Pemahaman kita tentang maruah saya rasa cukup jelas dan tuntas.

Tetapi siapakah Bani Melayu ini? Bagi saya, takrif Bani Melayu ini sering menimbulkan permasalahan besar. Hakikatnya ada pelbagai bentuk Melayu. Ada pelbagai jenis Melayu. Untuk memasukkan semua Bani Melayu dalam satu bakul pasti mustahil. Tidak masuk akal semua Melayu itu sama.

Malah salah satu sebab yang menjadikan Malaysia menuju ke longkang negara gagal ialah sikap dan nilai mereka yang mengaku sebagai Bani Melayu – nilai, sikap dan maruah yang berbeza-beza.

Untuk saya di Tanah Melayu ini ada Melayu asal, ada Melayu celup, ada yang nak jadi Melayu, ada Melayu DEB, ada Melayu nak jadi Arab, ada Cina mengaku Melayu, ada India mengaku Melayu, ada Melayu hitam legam. Hakikatnya tidak ada kesepakatan siapakah Melayu ini.

Saya Bani Melayu dari darah Orang Asli Biduanda – suku Jakun. Mengikut surah arwah nenek saya – bezanya kami dengan Orang Asli hanya kami menerima Muhamad sebagai Tok Penghulu. Perkataan penting dari surah arwah nenek saya ialah Tok Penghulu. Itu sahaja. Khalas. Period.

Dari segi pemerhatian empiris hari ini, ada pelbagai jenis malaon yang cuba mengaku Melayu. Ini berlaku kerana Bani Melayu di Malaysia ini dikatakan ada “hak istimewa”. Apa benda yang “istimewa” jika jadi Melayu?

Hak istimewa ini pastilah yang bersangkutan dengan projek, kontrak, kerja, jawatan, pangkat atau biasiswa. Semua ini bersangkutan dengan ekonomi. Ekonomi ialah tentang harta dan pendapatan, tentang kaya dan miskin, tentang punca-punca ekonomi.

Dalam istilah kiri – manusia ini tergolong dalam kelas tertentu. Justeru ada Melayu kaya berharta – ada Melayu setinggan di Kampung Chubadak. Jika ada pelbagai bentuk Melayu apakah semua Bani Melayu sama? Apakah maruah mereka sama?

Bani Melayu juga manusia – sama saperti Bani India , Bani China, Bani Iban atau Bani Dayak. Wajib diakui bahawa setiap bani memiliki budaya dan nilai masing-masing. Nilai ini lahir dari keadaan dan budaya setempat.

Dalam masa yang sama semua bani dalam dunia ini – tidak kira dimana mereka berada, dari benua mana mereka tinggal, dalam iklim apa mereka membesar – mereka akan memiliki nilai-nilai yang sejagat yang dikongsi oleh anak semua bangsa dari negara semua benua.

Sebagai insan manusia – kita memiliki nilai hormat menghormati satu sama lain. Kita berterima kasih kepada yang membantu. Kita bertegur sapa, berbudi bahasa untuk mengenal hati dan budi. Kita memperlihatkan nilai baik kepada sesama manusia.

Nilai baik yang kita tunjukkan akan membawa pulangan baik. Kita sebagai penghuni alam ini akan menjauhkan diri dari bencana yang menyusahkan wujudiah kita. Ini sikap azali manusia.

Kata-kata, ucapan dan berita tentang maruah Bani Melayu ini menjadi heboh sesudah BERSIH 4. Gabungan NGO BERSIH berjaya membawa 500,000 anak semua bangsa turun berdemo di jalan raya menuntut Perdana Menteri Muhamad Najib Bin Abdul Razak meletak jawatan.

Gabungan BERSIH bukan dimiliki oleh Bani Melayu atau Bani Cina. BERSIH adalah milik anak semua bangsa. BERSIH adalah gabungan NGO dari semua bani.

Kejayaan BERSIH membawa keluar 500,000 warga Malaysia ini telah ditakrifkan sebagai mencabar pemimpin Melayu, sebagai mengguris hati Melayu, sebagai menghina maruah Melayu. Heboh-heboh ini kita dengar sesudah kejayaan protes jalan raya BERSIH 4. Heboh ini berpanjangan hingga ke saat ini.

Satu tunjuk perasaan telah disusun sebagai jawapan kepada BERSIH 4. Mereka berpayung di bawah lambang Baju Merah. Tidak berapa jelas tujuan tunjuk perasaan Baju Merah ini. Nama kumpulan juga tidak jelas. Garis dan tujuan tunjuk perasaan juga sampai larau bersimpang-siur.

Ada Baju Merah anti-BERSIH, ada anti-Ambiga. Ada garis anti-Cina. Ada garis anti-Pakatan Rakyat. Ada garis sokong Mat Najib. Di saat akhir, muncul garis yang mahu tapak niaga di Jalan Petaling difaraidkan sebahagiannya kepada penunjuk perasaan Baju Merah. Ini bukan lawak. Ini fakta sejarah.

Apabila tujuan demo Baju Merah menjadi simpang-siur maka dikatakan tujuan tunjuk perasaan Baju Merah untuk mempertahankan maruah Bani Melayu. Maka kita kembali kepada persoalan awal apakah sebenarnya maruah Bani Melayu ini.

Saya sebagai Orang Asli Biduanda melihat satu kelompok Bani Melayu di Tanah Melayu sebagai satu kumpulan yang amat bebal. Kelompok ini berpayung di bawah parti yang dipanggil United Malays National Organisation. Parti politik ini dikatakan berjuang untuk mempertahankan ketuanan Bani Melayu.

Lalu timbul persoalan awal wahid. Jika parti ini hendak mempertahankan Ketuanan Bani Melayu kenapa nama parti ini United Malaya National Organisation? Kenapa tidak menggunakan nama dalam bahasa Bani Melayu.

Justeru, satu Malaysia bertanya – di mana maruah ahli parti ini? Nama parti mereka sendiri dalam bahasa penjajah.

Justeru mereka yang berpayung di bawah United Malays National Organisation dan mengaku mempertahankan maruah Bani Melayu adalah hujah tahi kucing. Terbukti kelompok parti ketuanan Bani Melayu ini ada kebebalan dalam memahami apa itu nilai maruah bangsa.

Media mengheboh-hebohkan bahawa BERSIH 4 mencabar maruah pemimpin Melayu. Bila mendengar hujah ini kita mungkin ketawa terbahak-bahak. Malah ramai juga yang bersedih pilu apabila mendengar hujah ini.

Bukan sahaja hujah ini bebal malah ianya membuktikan bahawa kebodohan yang amat sangat sedang melanda kelompok Bani Melayu jenis ini. Ramai yang sedang bersedih sedih dan hiba melihat kebebalan mereka.

Siapakah yang dimaksudkan pemimpin Bani Melayu yang bermaruah itu? Jawabnya pastilah Najib Razak kerana demo BERSIH 4 menuntut Najib meletak jawatan.

Letak jawatan ini dituntut kerana terbukti dengan sah bahawa Najib Razak telah menerima duit sebanyak RM2.6 bilion ringgit. Duit sebanyak ini telah masuk ke dalam akaun Najib Razak. Duit ini mengikut kata Najib telah digunakan untuk membeli undi dalam PRU13.

Duit RM2.6 bilion ringgit ini masuk ke akaun number 211-202-201-1880 dan 211-202-201-1906 yang dimiliki oleh Muhamad Najib bin Abdul Razak di Ambank. Ini akaun pribadi. Ini fakta, bukan fitnah.

Muhamad Najib pada awalnya cuba menafikan berita yang dilaporkan oleh akhbar Wall Street Journal yang berpusat di New York. Muhamad Najib cuba menggertak akan menyaman akhbar ini. Sampai ke hari ini tidak terdengar khabar berita.

Lalu persoalan timbul – mana dia maruah pemimpin Melayu ini? Kenapa cakap hendak saman tetapi menikus hingga ke hari ini. Di mana pejuang maruah Bani Melayu – kenapa tidak bangun menyerang akhbar Amerika ini? Apakah laporan yang membocorkan berita Najib Razak ini tidak mengguris maruah Melayu?

Najib Razak bersilat lidah apabila berhadapan dengan kes RM2.6 bilion ringgit. Tiba-tiba warga Malaysia akhirnya diberitahu bahawa duit RM2.6 bilion ini adalah duit derma Tok Arab.

Duit RM2.6 bilion ringgit derma dari Tok Arab? Saya ulangi – ini duit derma dari Tok Arab. Kalau warga Pakistan mendengar ucapan Najib ini mereka kan berkata, “kami bukan chutia..” Warga Malaysia yang mendengar jawapan Najib ini akan berkata “#$%**%$#”.

Sebenarnya tidak ada sesiapa yang percaya duit ini duit derma dari Tok Arab. Zahid Hamidi tidak percaya. Nazri Aziz tidak percaya. Sharizat Jalil tidak percaya. Khairy Jamaluddin tidak percaya. Malah Najib Razak sendiri pun tidak percaya apa yang dia sendiri cakap.

Lalu persoalan maruah timbul. Ke mana hilangnya maruah pemimpin parti Ketuanan Bani Melayu ini? Kenapa mereka tidak ada kekuatan untuk bercakap benar? Di mana hilangnya nilai dan harga diri mereka? Kalau mereka ini Ali Tinju atau Jamal Ikan Bakar boleh kita maafkan kerana keupayaan fikrah mereka agak terbantut.

Persoalan harga diri, nilai diri, hormat diri adalah persoalan besar. Ini persoalan wujudiah kita sebagai manusia. Pada ketika ini nilai dan harga diri kita sedang diasak. Nilai dan harga diri boleh berubah - boleh berganjak.

Ada bani yang memiliki maruah dan nilai diri yang kukuh dan padu. Dalam masa yang sama ada sosok yang maruah dan nilai diri boleh ditimbang kati untuk dijual.

Ada Bani Melayau yang maruahnya boleh dijual dengan harga sekampit beras dan sepasang baju Melayu. Ada maruah Bani Melayu yang boleh dibeli dengan sebungkus nasi bersama seratus ringgit. Ada Bani Melayu yang maruah mereka boleh dibeli dengan harga RM2.6 bilion ringgit atau AS$700 juta.

Tapi masih wujudkah Bani Melayu yang memiliki nilai dan harga diri yang tidak boleh dijual beli?


HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS