Isu penjualan satu blok saham dalam DRB-Hicom Berhad sudah selesai. Muktamad pemenang dalam perebutan itu, siapa lagi kalau bukan bintang korporat Malaysia yang paling menyinar sekarang, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Usahawan dari Kedah itu kini menguasai 15.8 peratus ekuiti dalam konglomerat yang diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad itu. Dengan kejayaan menguasai DRB-Hicom, kini segala sektor perniagaan berada di dalam tangan beliau. Dari sektor hartanah, perhotelan kewangan, media hingga kepada automotif, kesan cap jari Syed Mokhtar dapat dikesan.

Begitulah resam perniagaaan di negara ini, kalau satu ketika dulu segala sektor dikaitkan dengan Tan Sri Halim Saad, kini imej dan peranan itu mengiringi Syed Mokhtar. Dan urusniaga pengambilaihan DRB-Hicom ini telah benar-benar mengangkat nama beliau.

Kemampuannya mengatasi pencabarnya, konsortium yang diterajui Tan Sri SM Nasimuddin bukanlah suatu yang mudah. Beliau terpaksa menawarkan harga bidaan yang tinggi RM3.60 sesaham berbanding RM3.50 sesaham yang ditawarkan oleh pemilik kumpulan Naza itu.

Kita ucapkan syabas kepada Syed Mokhtar. Semoga beliau dapat memulihkan DRB-Hicom dan mengangkat martabat usahawan Melayu. Satu perkara penting hasil daripada kejayaan Syed Mokhtar mengenepikan Nasimuddin itu ialah terhalangnya wujud monopoli dalam pasaran automotif tempatan.

Kita harus melihatnya sebagai satu rahmat. Cuba bayangkan jika Nasimuddin berjaya menguasai DRB-Hicom. Apakah yang akan berada di bawah payung Kumpulan Naza? Selain kereta Kia buatan Korea Selatan yang kini telah dipasang di Gurun, Kedah, Kumpulan Naza akan menguasai kereta keluaran Proton dan Chevrolet serta lori-lori buatan Hicom.

Kesan negatif

Selain itu ia memiliki ribuan permit import kereta-kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi. Sekali pandang memang ada sinergi antara perniagaan kumpulan Naza dengan DRB-Hicom dan sewajarnyalah Nasimuddin diberikan peluang menguasai blok saham berkenaan.

Tetapi jika ditinjau secara mendalam gabungan Kumpulan Naza dengan DRB-Hicom boleh memberi kesan besar kepada pasaran - positif dan negatif. Kesan buruk jika Kumpulan Naza bertindak sebagai pemonopoli yang tidak bertimbang rasa. Ini kerana ia boleh memainkan harga kereta berkenaan sesuka hatinya kerana telah menguasai segmen pasaran yang besar.

Tetapi ia mungkin mendatangkan kesan baik, jika Nasimuddin bertindak mengoptimumkan pengeluaran kereta Proton dan Kia dengan menggunakan segala pengalaman, kepakaran dan peralatan yang sedia ada . Dengan rangkaian pemasaran yang luas, gabungan Kumpulan Naza-DRB Hicom boleh menjana industri automotif negara.

Siapa tahu harga kereta Proton mungkin lebih murah jika diuruskan oleh Nasimuddin? Tidak mustahil khidmat selepas jualan Proton akan menjadi lebih baik dengan tergabungnya pusat-pusat perkhidmatan Proton dan Kia?

Diyakini juga Nasimuddin yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam perdagangan kereta itu berkemampuan mengangkat martabat kereta Proton di pasaran luar. Namun itu semua andaian semata-mata. Hakikatnya Kumpulan Naza sudah diketepikan. Perdana Menteri dan kerajaan telah merestui pemilihan Syed Mokhtar.

Kini isu itu telah selesai, namun cakap-cakap dan spekulsi mengenainya masih kedengaran. Paling menarik apabila adanya pihak tertentu yang melihat isu DRB Hicom ini lebih daripada urusan perniagaan. Kalangan penganalisa pasaran dan pemerhati politik turut menjurus kepada soal politik apabila membincangkan isu ini.

Faktor harga

Mereka berpendapat urusniaga ini mempunyai kaitan dengan politik Umno. Mengapa jadi begitu? Kerana adik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nizam Razak merupakan salah seorang anggota konsortium yang dikepalai oleh Nasimuddin itu.

Seorang penganalisa pasaran saham berkata, mungkin kalau adik Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menganggotai konsortium itu, Nasimuddin sudah terpilih. Katanya lagi, secara tidak langsung konsortium Naza telah dilihat sebagai proksi Najib dan ini suatu yang tidak sihat dari segi amalan kronisme dan nepotisme.

Seorang pemimpin Umno pula merumuskan perebutan kumpulan Naza dengan Syed Mokhtar sebagai persaingan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib. Semuanya gara-gara kehadiran adik Najib dalam konsortium berkenaan.

Para pemerhati nampaknya membuat kesimpulan sendiri dengan memasukkan elemen politik Umno dalam urusan perniagaan ini walaupun presiden parti itu telah berkali-kali menegaskan semua yang menerajui Umno sekarang adalah "orang-orangnya".

Jelas sekali masih ada di kalangan ahli dan pemimpin Umno yang menganggap wujudnya persaingan antara presiden dan timbalannya. Ramai yang percaya Umno nampak tenang di permukaannya tetapi masih berkocak di dasarnya.

Memang benar di Malaysia perniagaan dan politik tidak boleh dipisahkan. Sebahagian besar usahawan atau jutawan Melayu berjaya dalam perniagaan kerana pengaruh politik. Faktor hubungan atau " know who " amat penting dalam urusan perniagaan negara ini. Sering kali ia mengatasi profesionalisme dan " know how " hinggakan si dungu selalu berjaya memenangi kontrak.

Namun secara peribadi, penulis suka melihat urusniaga dalam DRB-Hicom dari aspek perniagaan semata-mata. Bagi penulis Nasimuddin gagal bukan kerana kehadiran Nizam tetapi sebab Syed Mokhtar membuat tawaran yang lebih menarik. Perbezaan 10 sen bagi satu blok saham yang besar sangat dalam ertinya, lebih-lebih lagi jika hasil jualan itu mahu digunakan untuk melunaskan hutang yang menggunung!