Cerita tentang individu atau syarikat diisytiharkan muflis sudah biasa kita dengar. Malah kisah negara menjadi muflispun bukan perkara baru. Banyak kali negara di Amerika Latin seperti Argentina dan Mexico dicop muflis kerana menanggung beban hutang yang besar.

Bagaimanapun, hikayat tentang negeri-negeri di Malaysia jatuh muflis jarang kita dengar. Cuma beberapa bulan kebelakangan ini terbongkar kedudukan sebenar kedudukan kewangan beberapa buah negeri yang selama ini nampak gah, kaya dan bergaya dengan hasil mahsyulnya.

Mujurlah ada Ketua Audit Negra yang bersikap terbuka dan berani membuat teguran di dalam laporan kewangan negeri-negeri. Tanpa tindakan berani dan kepekaan Jabatan Audit Negara, pastinya kita akan menyangka semua negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) kaya raya dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Rupa-rupanya tujuh negeri di Malaysia hampir muflis kerana perbelanjaannya melebihi jumlah hasilnya. Johor yang kita sangka sebuah negeri kayaraya dan boleh mencapai status negeri maju, tidak lama lagi menduduki tangga teratas senarai negeri-negeri hampir muflis itu.

Negeri kuda kepang yang menjadi kubu tradisi BN itu kekurangan wangtunai RM760.79 juta. Ini diikuti oleh Kedah, tanah kelahiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mengalami defisit RM533.10 juta dan disusuli oleh Pahang, negeri yang gah dengan hasil balaknya yang kekurangan RM303.72 juta.

Di tempat kempat, ialah negeri Kelantan ( defisit RM261.68 juta), diikuti Sabah (RM 110.96 juta), Perlis (RM104.67 juta) dan Terengganu di tangga terakhir (RM94.88 juta). Amat mengejutkan apabila negeri yang kita nampak kata seperti Johor, Sabah dan Terengganu rupa-rupa tidak lebih daripada " biar papa asalkan bergaya".

Royalti minyak

Johor kononnya amat gemilang ekonominya. Apa yang tiada di negeri itu, segala hasil bumi, prasarana dan kedudukan politiknya amat teguh. Sabah dan Terengganu, yang merupakan jelapang minyak Malaysia yang menerima royalti besar setiap tahun, tidak sewajar berada dalam defisit tunai.

Mungkin negeri penyu bersantai itu boleh diampunkan kalau defisit itu berpunca dari pemerintahan kerajaan PAS sejak lima tahun lalu. Tidak mengejutkan jika sepanjang tempoh pemerintahan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang itu, ia jatuh musflis kerana royalti minyak sudah ditukar menjadi wang ehsan.

Negeri Terengganu ketika diambilaih oleh PAS juga sudah "kosong koceknya" kerana tanah balak sudah lama " difaraidkan " oleh kerajaan BN. Namun, Sabah yang kaya dengan balak, galian, hasil laut serta minyak dan gasnya, tidak sepatut berada dalam kedudukan seperti Terengganu. Negeri di bawah bayu itu sudah lama terlepas dari cengkaman parti pembangkang!

Kedudukan Pahang sebagai negeri yang hampir muflis juga memalukan. Negerinya makmur, tanahnya luas tetapi tiada hasil! Apa sudah jadi Datuk Adnan Yaakob?

Kedah hampir muflis tidak begitu meranjatkan kerana sebelum ini kita sudah mendengar ia mempunyai hutang lebih RM1 bilion ringgit. Tambahan pula ia kekurangan hasil mahsyul kecuali padi dan sektor pelancongan.

Dengan kedudukan kewangan yang sudah lama goyah itu, bagaimana agaknya Datuk Seri Syed Razak Syed Zain mahu memacu Kedah menjadi negeri maju seperti yang diwar-warkannya?

Perlis yang sedang berada di kayangan kerana menjuarai Piala Malaysia nampaknya dapat melupakan seketika status muflis yang berada di ambang pintunya itu. Pemimpin Perlis mungkin tidak berasa terlalu malu dengan status tersebut kerana ia hanya sebuah negeri kecil yang kerdil dalam serba serbi.

Sudah menjadi busung

Hasil apa yang hendak diharapkan daripada tanah sekangkang di sempadan Siam itu? Sawah bendangnya terlalu sempit, ladang jati dan tebunya "hidup segan mati tak mahu". Tanpa pulau Langkawi, Kangar dan Kuala Perlis, mungkin ia tidak ditempoh lalu oleh penduduk Malaysia!

Persoalannya sekarang mengapa baru sekarang teguran itu dibuat oleh Jabatan Audit Negara? Adakah hanya bagi tahun kewangan 2003, negeri-negeri berkenaan mengalami kekurangan hasil berbanding perbelanjaannya?

Tentunya ini bukan kali pertama kedudukan defisit dialami oleh negri-negeri tersebut. Mungkin selama ini segala kepincangan dan keburukan disapu ke bawah permaidani. Disembunyikan dari pengetahuan rakyat sehingga menjadi busung yang tidak boleh ditutup lagi.

Kita angkat topi pada Ketua Audit Negara yang bersikap telus dan berani kali ini. Semoga teguran beliau itu membuka mata kerajaan persekutuan dan rakyat terhadap kegagalan kerajaan negeri mentadbir dan mengurus dengan baik hasil mahsyul masing-masing.

Sebenarnya, masalah difisit ini tidak berpunca daripada kekurangan sumber kekayaan. Ia lebih kepada ketidakcekapan pengurusan kerajaan negeri. Bagaimana mahu mendapat hasil kalau cukai dibiarkan tertunggak? Cukai tanah, cukai pintu dan pelbagai pendapatan lain tidak dipungut secara efisyen.

Kakitangan kerajaan negeri kebanyakannya bekerja sambil lewa, selesa dengan kelembapan dan ketidakcekapan sendiri. Malah, keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila para pemimpin politik dan ketua jabatan lebih mementingkan diri sendiri dan para kroni.

Jangan muflis moral

Dalam kes negeri Pahang, Terengganu dan Sabah umpamanya, bagaimana hendak dioptimakan pendapatan kalau konsesi balak diberi secara anugerah? Hanya kebelakangan ini ada kita dengar tanah balak yang sudah tinggal tidak seberapa itu, akan diberikan secara tender!

Negeri-negeri tidak sepatutnya melenting apabila ditegur oleh Ketua Audit Negara. Setiap baris teguran dibuat berdasarkan fakta, bukan sentimen. Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Adnan Yaakob, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Musa Aman tidak perlu berkecil hati. Terimalah secara positif dengan hati dan mata terbuka.

Tidak perlulah mengemukakan nilai aset negeri masing-masing untuk menafikan teguran Ketua Audit Negara itu. Kita tahu semua negeri berkenaan mempunyai aset yang besar nilainya. Tetapi perlu diingat, itu adalah aset, benda yang sukar dicairkan atau ditunaikan dengan segera. Dalam dunia sekarang yang penting ialah kedudukan tunai. Orang putih kata, " cash is king "!

Kerajaan-kerajaan negeri hendaklah mengakui ketidak kecekapan sistem pungutan hasil dan kewangan masing-masing. Mereka perlu mengambil langkah segera untuk meningkat mutu perkhidmatan. Hanya dengan cara itu, prestasi kakitangan dan kewangan negeri dapat ditingkatkan.

Pemimpin-pemimpin di negeri-negeri sepatutnya berasa malu kerana terpaksa bergantung pada bantuan kerajaan pusat untuk terus bernafas. Para Menteri Besar sewajarnya berasa aib kerana membayar gaji dan bonus kakitangan kerajaan negeri dengan wang ehsan kerajaan pusat!

Cukuplah negeri kita muflis dari segi kewangan, janganlah sampai kita muflis moral dan maruah diri pula! Belajarlah berdikari.