Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata ahli Parlimen Bersatu berpendapat mereka perlu menandatangani perjanjian dengan kerajaan demi kepentingan rakyat, ketika dunia kini berdepan pelbagai konflik.

Perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) itu ditandatangani bersama enam ahli Parlimen Bersatu dan enam ahli Parlimen bebas, termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian itu bertujuan mendapatkan sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk bagi meluluskan Belanjawan 2027.

Bagaimanapun, CSA itu mendapat kritikan, khususnya daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengaitkannya dengan dajal.

Sehubungan itu Radzi menggesa kerajaan mendedahkan keseluruhan kandungan perjanjian itu supaya orang ramai dapat menelitinya.

"Saya mohon kerajaan siarkan, kerajaan tunjukkan CSA ini, apa ada dalam itu.

"Cuba baca betul-betul. kita ini dalam keadaan berpolitik, dalam keadaan dunia berperang, perang Iran, perang Ukraine, perang dagang.

"Maka dalam keadaan ini, kita merasakan tempoh nak pilihan raya pun tak sampai setahun lagi, sekurang-kurangnya demi ekonomi negara, demi rakyat, kita tandatangani CSA,” katanya.

Dia berkata demikian ketika mencelah perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2027 oleh Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) di Dewan Rakyat.

Mengulas kritikan Abdul Hadi, Radzi berpendapat Presiden PAS itu menggunakan istilah dajal untuk “mencetuskan provokasi terhadap Putrajaya” dengan menggambarkan CSA sebagai sesuatu yang jahat.

Kerajaan perlu membentangkan dua pindaan Perlembagaan, iaitu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kamil Abdul Munim turut mengkritik kenyataan Abdul Hadi dengan mengingatkan bahawa PAS pernah menandatangani MoU serupa dengan Pakatan Harapan pada 2021.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said mempersoalkan sama ada Hadi mengetahui bila hari kiamat akan berlaku.

Dia turut meminta Abdul Hadi menjelaskan penggunaan istilah itu dan mengingatkan supaya ahli politik tidak menggunakan bahasa keterlaluan ketika berbeza pandangan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari pula mencabar Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong kritikannya terhadap CSA.