Noktah di Tok Pekong
Sebagai penganut setia ajaran Marxist berjenis Groucho, saya tidak akan memasuki mana-mana kelab, persatuan atau parti yang mahu menerima saya sebagai ahli. Hingga ke hari ini ramai orang menyangka saya adalah ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ini tidak benar. Ada juga yang menganggap saya ahli Parti Keadilan Nasional. Ini juga tidak betul. Saya masih setia kepada jiwa bebas saya yang tidak ingin dimasukkan ke dalam cawan parti politik.
Dalam masa yang sama, saya juga memiliki simpati terhadap perjuangan parti politik yang wacananya masuk akal dan berlandaskan cita-cita dan garis politik yang selaris dengan mimpi dan angan-angan saya. Saya juga akan turut sama merayakan mana-mana parti politik yang akan cuba memecahkan kebonsaian fikrah bangsa.
Kerana itu saya pernah sekali datang mendengar persidangan kongres parti politik - Kongres Tahunan PRM pada tahun 2000. Ini saya lakukan kerana ianya adalah kongres terakhir PRM sebelum parti ini bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saya datang ke kongres ini kerana ingin merakamkan diri saya sebagai hadir. Seratus tahun dari hari ini apabila pengkaji sejarah dan sosial konstruk melihat kembali apa yang berlaku di kongres akhir PRM, maka nama saya akan tercatat sebagai tamu .
Minggu lepas adalah kali kedua saya menghadirkan diri dalam satu lagi persidangan kongres parti politik. Kali ini ialah kongres pertama PKR yang diadakan di Ipoh. Saya naik ke Ipoh kerana ingin bersama melihat kelahiran sebuah parti politik baru. Saya ingin bersama untuk merasakan suasana arus detik-detik bersejarah kelahiran satu garis politik baru dalam lanskap kenegaraan Malaysia.
Sebagai penganut setia ajaran Marxist berjenis Groucho, saya tidak akan memasuki mana-mana kelab, persatuan atau parti yang mahu menerima saya sebagai ahli. Hingga ke hari ini ramai orang menyangka saya adalah ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM). Ini tidak benar. Ada juga yang menganggap saya ahli Parti Keadilan Nasional. Ini juga tidak betul. Saya masih setia kepada jiwa bebas saya yang tidak ingin dimasukkan ke dalam cawan parti politik.
Dalam masa yang sama, saya juga memiliki simpati terhadap perjuangan parti politik yang wacananya masuk akal dan berlandaskan cita-cita dan garis politik yang selaris dengan mimpi dan angan-angan saya. Saya juga akan turut sama merayakan mana-mana parti politik yang akan cuba memecahkan kebonsaian fikrah bangsa.
Kerana itu saya pernah sekali datang mendengar persidangan kongres parti politik - Kongres Tahunan PRM pada tahun 2000. Ini saya lakukan kerana ianya adalah kongres terakhir PRM sebelum parti ini bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saya datang ke kongres ini kerana ingin merakamkan diri saya sebagai hadir. Seratus tahun dari hari ini apabila pengkaji sejarah dan sosial konstruk melihat kembali apa yang berlaku di kongres akhir PRM, maka nama saya akan tercatat sebagai tamu .
Minggu lepas adalah kali kedua saya menghadirkan diri dalam satu lagi persidangan kongres parti politik. Kali ini ialah kongres pertama PKR yang diadakan di Ipoh. Saya naik ke Ipoh kerana ingin bersama melihat kelahiran sebuah parti politik baru. Saya ingin bersama untuk merasakan suasana arus detik-detik bersejarah kelahiran satu garis politik baru dalam lanskap kenegaraan Malaysia.
Parti Keadilan Rakyat ini sebenarnya telah lama bunting. Ianya bukan bunting pelamin atau bunting gajah. Bunting pelamin saya hadiahkan khusus untuk Tierra Jaquelina yang mengambil masa hanya lapan bulan untuk melahirkan anak. Manakala gajah di Hulu Kelantan buntingnya selama 24 bulan. Tetapi PKR telah bunting lebih dari dua tahun.
Mak Andam dan Pawang
Ijab kabulnya antara PRM dengan PKN telah lama berlangsung. Tetapi kelahiran garis politik baru yang ditunggu-tunggukan agak lambat keluar. Bukan tidak ramai Mak Bidan dan Pawang yang mengelilingi PRM dan PKN. Kerana terlalu ramai Mak Bidan dan Pawanglah yang telah melambatkan kelahiran garis politik yang baru ini.
Dalam puluhan Mak Bidan yang mundar-mandir ini rupa-rupanya ada Mak Andam yang menyamar sebagai Mak Bidan. Keadaan ini bertambah rewet apabila ada pula Tok Mudim yang menyamar sebagai Pawang. Para Tok Mudim ini datang membawa pisau lipat yang tajam dan sentiasa bersedia untuk mencantas kerongkong nafas garis politik baru ini.
Dalam usaha melahirkan garis politik parti; Mak Andam dan Tok Mudim selalu menjadi beban berat yang terpaksa dipikul ke hulu ke hilir - dari satu menyuarat ke satu menyuarat. Ada pula yang kerjanya hanya menghilangkan fail. Dan ada pula yang enggan meletakkan tanda tangan. Yang menjadi pelik lagi menghairankan ialah dengan tiba-tiba sahaja ada pula Tok Mudim yang faseh dalam ilmu perlembagaan parti. Perlembagaan bukan untuk melicinkan pergabungan tetapi untuk melambat-lambatkan kelahiran parti baru.
Tok Mudim yang menyamar sebagai Pawang bukan sesuatu yang baru. Watak-watak ini telah sedia wujud dalam naratif sastera Melayu kuno. Mereka ini adalah elemen merbahaya dalam naratif orang Melayu. Para Tok Mudim ini akan menjadi lebih merbahaya terutama apabila mereka berkeupayaan mencampur adukan jampi serapah dengan ayat-ayat suci. Pisau lipatnya yang tajam tersuruk, akan menikam sesiapa sahaja yang berani mencadangkan garis menyusun rakyat turun ke jalan raya.
Tok Mudim yang menyamar ini merasa peluang-peluang untuk mereka meneruskan perniagaan menjual kertas-kertas saham kebumiputeraan dan kemelayuan ini akan koyak apabila PKR tidak lagi menjadi sebuah parti Melayu atau parti Islam. Inilah yang sebenarnya menjadikan kebuntingan PKR merendam bagitu lama sekali. Silap-silap baca, Tok Mudim jenis ini sengaja dipasang oleh musuh untuk memastikan garis politik baru ini akan mati dalam kandungan Mak Andam parti politik hanya pandai menghias diri dengan baju batik berlengan panjang tetapi langsung bebal tentang garis dan tujuan parti. Para Mak Andam ini tidak berniat untuk menyusun barisan rakyat. Jangan harapkan Mak Andam-Mak Andam ini akan turun ke jalan raya untuk melonjakkan suara rakyat. Malah mereka amat takut untuk mengancung tangan sambil melaungkan slogan reformasi. Apa yang disolek oleh Mak Andam ini hanyala diri mereka yang ingin dilihat cantik segak berdiri di atas pelamin.
Kelahiran garis politik baru
Lalu saya naik ke Ipoh untuk bersama-sama melihat dan memastikan pembidanan kelahiran garis politik baru dalam keadaan selamat Saya tidak memiliki kepentingan apa-apa dalam kongres ini. Saya tidak bertanding untuk merebut jawatan dan saya tidak berkemungkinan untuk mengundi. Tetapi saya hadir diri kerana ingin melihat garis reformasi yang saya yakini akan dirayakan dan dinobatkan sebagai garis politik perdana dalam PKR.
Untuk saya, yang wajib menjadi panglima dalam perjuangan ialah garis politik. Tanpa garis politik yang tepat, perjuangan tidak akan membawa apa-apa hasil yang dicita-citakan. Kesilapan garis politik membawa padah yang besar. Membawa salah garis akan membawa bencana yang besar terhadap negara. Kita sebagai warga akan membayar dengan harga yang mahal sekali.
Garis bersekongkol Umno dengan penjajah British untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu telah dan sedang kita saksikan hasilnya hari ini. Garis parti politik yang berasaskan kaum yang dinobatkan oleh Umno kini telah mengagalkan kemunculan satu bangsa Malaysia. Hingga hari ini kita masih membayar harga garis politik salah ini dengan kecurigaan, prasangka dan kemungkinan meledaknya pembantaian bangsa-bangsa.
Bagi mahasiswa pentelaah politik; apa yang telah berlaku di Ipoh samalah seperti pertembungan garis politik Mao dengan garis politik Krushev. Sama seperti garis politik Ali Shariati dengan Ayatolah Khalakali. Sama seperti garis politik Onn Jaafar dengan Tengku Abdul Rahman. Sama seperti garis politik Ghandi dengan Bhag Singh. Sama seperti pertembungan garis PKMM dengan garis politik Umno.
Pertembungan dua garis adalah asas memperkasa sokongan dan memantap organisasi dalam semua gerakan politik. Pertembungan dua garis adalah hukum dialektik dalam perjuangan politik. Ianya juga adalah sebahagian dari hukum sosial yang menjana pergerakan tamadun manusia. Kader-kader dan aktivis mana-mana parti politik yang masih tidak memahami makna dan tanda dalam garis politik, seharusnya wajib mengumpulkan seluar dalam mereka dan membakarnya untuk menghalau nyamuk aedes.
Pertembungan dua garis politik ini pada hakikatnya adalah juga pertembungan dua kepentingan ekonomi yang berkontradiksi. Kita tidak dapat melarikan diri dari pertembungan ini kerana hanya melalui pertembungan ini, barulah satu garis politik yang tepat akan muncul. Pendukung garis politik ini juga mewakili kepentingan ekonomi.
Meletakkan asas garis parti
Kita berpolitik kerana kita ingin berkuasa. Kita ingin berkuasa kerana kita ingin memiliki punca-punca ekonomi. Kita tidak perlu segan, malu atau berselindung untuk menyatakan bahawa kita ingin berkuasa dan ingin mengawal punca-punca ekonomi. Niat untuk memiliki kuasa politik dan kuasa ekonomi bukan satu niat yang salah. Ini adalah niat dan cita-cita semua parti politik kiri dan kanan.
Kita ingin dan berahikan kuasa ekonomi dan politik kerana kita percaya bahawa dasar ekonomi dan garis politik baru yang kita bawa lebih baik dari garis politik musuh kita. Lalu, saya melihat pertandingan untuk merebut jawatan-jawatan dalam kongres PKR di Ipoh yang lalu, bukan pertandingan antara individu yang berbeza pendekatan atau cara untuk mengumpul sokongan rakyat. Bagi saya inti pati pertandingan di kongres pertama PKR ini adalah pertandingan untuk meletakkan asas garis parti.
Hasilnya, kongres di Ipoh telah meletakkan PKR sebagai sebuah parti sosial demokrat yang bercita-cita untuk melahirkan negara bangsa Malaysia yang demokratik dan sekular. Jangan menjadi bagitu prasangka bila saya menyebut perkataan sekular. Kita wajib berani menolak makna sekular yang dikonstruk oleh Umno dan PAS.
Kedua-dua parti ini telah mentakrifkan bahawa sekular itu memiliki erti tidak mempercayai kepada ketuhanan. Ini adalah tohmahan yang berniat jahat; sama seperti George Bush mentakrifkan pejuang-pejuang yang menentang kuasa empayar Anglo- Amerika di Iraq sebagai pengganas. Atau sama seperti fitnahan kaum Zionis yang menuduh bangsa Palestin tidak wujud.
Jangan kita terlalu bonsai dan mengelabah otak apabila mendengar perkataan sekular. Contoh-contoh parti Islam sekular cukup banyak. Parti Islam yang sedang berkuasa di Turki hari ini adalah sebuah parti sekular. Perlembagaan daulah Turki cukup jelas sebagai perlembagaan daulah sekular. Dengan perlembagaan sekular dan parti sekular, tidak bermakna orang Islam di Turki kurang keislaman mereka. Atau batal air sembahyang mereka.
Begitu juga dengan parti Nahdatul Ulama (NU) di Indonesia. Parti ini adalah sebuah parti sosial demokrat yang sekular. Malah ahli-ahli NU ini, jika dibandingkan adalah lebih ramai dari dua puluh lima juta rakyat Malaysia. Kita seharusnya tidak perlu takut bila berhadapan dengan konsep sekular. Sama juga seperti rakyat di Iraq, mereka tidak perlu takut bila berhadapan dengan empayar Anglo-Amerika yang menuduh mereka dengan perkataan pengganas.
Malam kedua di kongres itu saya mendengar ucapan perdana yang diberikan oleh penasihat PKR. Melalui ucapan ini, saya memahami bahawa PKR telah/sedang dan akan menolak dari menjadi sebuah parti politik yang berpaksikan bangsa-bangsa. PKR bukan parti miliki satu bangsa atau satu agama. PKR adalah parti milik anak semua bangsa. Ini adalah satu garis politik yang radikal dan tepat.
Penindasan dan kezaliman
Kongres di Ipoh adalah pembetulkan garis politik bangsa Malaysia yang telah diselewengkan oleh Umno yang hanya berjaya melahirkan prasangka, kebencian, kecemburuan dan rasisme di antara anak semua bangsa. Garis PKR sebagai parti untuk semua bangsa ini wajib mematikan dan melupuskan adu domba bangsa-bangsa.
Lanjutan dari garis ini, PKR juga untuk menolak dasar ekonomi hak istimewa kebumiputeraan . Ini satu lagi garis radikal yang tepat. Garis ekonomi yang diajukan oleh PKR di Ipoh ialah pembasmian kemiskinan tanpa mengira bangsa. Cakap kepada bangsa Melayu lain dan cakap kepada Cina dan India lain, adalah dasar politik Umno. Menakut-nakutkan orang Melayu dengan hantu Cina ini adalah senjata politik Umno. Taktik politik muflis adu domba bangsa-bangsa yang dijalankan oleh Umno, akan diganyang oleh PKR.
Untuk saya, Tok Pekong Tow Boo Keong di Jalan Berhala Ipoh adalah isyarat merah dan tanda noktah untuk segala bentuk penindasan dan kezaliman yang sedang berleluasa di Malaysia. Tok Pekong Tow Boo Keong adalah satu metapora yang ironis tentang penindasan dan kezaliman. Banyak ruang awam seperti dewan orang ramai, hotel dan bangunan sekolah telah cuba disewa oleh PKR sebagai tempat persidangan kongres mereka.
Sayangnya semua pemilik bangunan ini telah mendapat tekanan dari Umno. Umno dengan kuasa angkuhnya berniat agar kongres penggabungan PKN dengan PRM ini dapat digagalkan. Atau sekurang-kurangnya dipersusahkan dan diperlekehkan.
Di sinilah silap besar Umno yang cuba menunjukkan kuasa. Mereka tidak menyedari penindasan dan kezaliman mereka dalam usaha menutup ruang demokrasi, telah melahir satu petanda yang radikal. Orang Melayu yang selama ini ditakut-takut dengan hantu Cina dan dipasakkan dengan sentimen anti-Cina, tiba-tiba telah berjaya memecahkan taboo anti-Cina ini. Bukan sahaja lima ribu pemerhati dan ahli PKR telah bersidang dalam ruang Tok Pekong yang tersergam dengan berhala; malah orang Melayu juga telah bersembahyang dalam kawasan Tok Pekong ini.
Taboo anti berhala dan anti Cina yang sering dimainkan oleh parti-parti politik berakidah sempit, kini telah hancur terburai. Lapan puluh lapan buah bas yang membawa orang Melayu dari pelbagai pelusuk negara telah menunjukan kematangan fikrah. Keislaman mereka tidak akan runtuh atau luntur walaupun mereka bersidang dan bersembahyang dalam kawasan Tok Pekong. Apa yang berlaku di hujung minggu lepas di Ipoh, pasti akan menyakinkan seorang atheis bahawa tuhan itu wujud di mana-mana.

