Apabila menonton program Majalah Tiga di TV3 pada malam Sabtu lalu yang memaparkan kesan-kesan bencana tsunami di wilayah Aceh, maka terpaparlah kekuasaan Ilahi. Visual yang ditunjukkan memberikan gambaran sebenar apa yang telah berlaku.

Mata, minda dan hati, benar-benar tersentuh melihat keadaan mayat yang tidak terurus, bangunan konkrit yang robek, bot dan perahu yang rosak tersadai di tengah Banda Aceh serta mangsa-mangsa yang kelaparan dan sakit.

Amat tragis melihat plastik-plastik hitam berbungkus mayat berbaris di tepi jalan, dilonggok di dalam lori dan kemudian ditanam beramai-ramai dalam satu lubang.

Apa yang dipaparkan oleh jurukamera dan wartawan TV3 adalah realiti sebenarnya di wilayah yang dilanda kiamat kecil itu. Sebelum ini, kita lebih banyak melihat visual ombak besar yang diulang-ulang dan gambar rombongan misi menyelamat yang tiba di lapangan terbang Banda Aceh.

Kita disogok dengan berita-berita penyerahan sumbangan dan bantuan oleh para pemimpin dunia dan tempatan, persatuan-persatuan sukarela dan korporat yang nampak seolah-olah seperti satu publisiti murahan dan propaganda.

Tidak keterlaluan jika dikatakan apa yang dipaparkan oleh Majalah Tiga itu adalah visual realiti sebenar di Aceh. Syabas TV3 kerana bertindak pantas menyiarkan program khusus mengenai bencana itu.

Kini penonton di Malaysia mendapat gambaran yang lebih dekat tentang apa yang berlaku. Banda Aceh bagaikan sebuah medan perang, sebahagian daripadanya sudah menjadi padang jarak padang terkukur!

Hulur derma

Apa yang kita alami di Balik Pulau, Batu Feringgi dan Kuala Muda tidak sampai satu peratus daripada apa yang berlaku di Aceh. Kemusnahan dan kehilangan nyawa di Aceh tidak boleh dihitung lagi. Tiada angka atau kata-kata yang tepat untuk mengambarkan mala petaka di Serambi Mekah itu.

Oleh itu, sewajarnya kita tidak menunggu sesaatpun untuk menghulurkan derma kepada semua mangsa tsunami ini. Warga global wajar mengikut jejak juara Formula One, Michael Schumacher yang sanggup menyumbang RM38 juta.

Pelakon antarabangsa Jackie Chan, jaguh-jaguh tennis dunia, para pemain bola keranjang Amerika Syarikat dan pemain bolasepak Inggeris yang semuanya bukan beragama Islam, telah tampil menghulur derma.

Seorang sami Buddha di Vancouver, Kanada menawarkan untuk menjual kuilnya pada harga RM1.6 juta untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa tsunami.

Nampaknya Tsunami turut merobek benteng perbezaan warna kulit, keturunan dan agama. Seluruh warga dunia bersimpati dan membantu meringankan beban mangsa. Bagaimanapun yang membuat ramai orang terkilan ialah sikap beberapa negara dan individu Islam yang kaya raya yang keberatan untuk membantu mangsa-mangsa tsunami ini.

Mana dia bantuan besar-besaran dari Kuwait, Brunei, Qatar, Arab Saudi, Iran, Bahrain dan Mesir yang kita tahu kaya raya dengan hasil minyaknya? Di mana perpaduan dan semangat kerjasama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menangani bencana ombak besar ini? Mengapa OIC begitu lembab!

Sidang kemuncak khas mengenai tsunami di Jakarta Khamis lalu hanya dihadiri oleh negara anggota Asean, Jepun, Britain, PBB dan Amerika Syarikat. Selain Malaysia, kelibat negara-negara Islam tidak kelihatan.

Adakah hanya Malaysia dan Amerika Syarikat serta agensi-agensi sukarela antarabangsa sahaja yang bersungguh-sungguh menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa di Aceh ini?

Sistem amaran awal

Kalau begitu keadaannya, tiada siapa boleh menuduh atau menyalahkan Amerika jika "polis dunia" itu menggunakan bencana tsunami ini sebagai propaganda untuk memulihkan imejnya di kalangan umat Islam khususnya di Indonesia..

Kita tahu Amerika sejak beberapa dekad yang lalu lebih ganas dari tsunami. Kerana kerakusannya, jutaan kanak-kanak Iraq, Afghanistan dan Vietnam terkorban. Namun setakat ini Amerika adalah negara penderma kedua terbesar kepada mangsa tsunami di Indonesia, Thailand, Sri Lanka dan India.

Pentadbiran Bush telah berjanji menyumbang AS$350 juta di samping menggerakkan ratusan tentera dan beberapa kapal perangnya ke Sumatera serta menawarkan bantuan menubuhkan sistem amaran awal.

Ada pihak menuduh Amerika mahu membersihkan imejnya sebagai negara anti-Islam dengan menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa tsunami di Aceh.

Kalaupun benar tanggapan pihak-pihak berkenaan, dalam keadaan yang terdesak sekarang, apakah pilihan Indonesia? Mampukah umat Islam di Aceh yang telah kehilangan segala-galanya menolak tangan yang dihulurkan oleh Amerika?

Apabila negara-negara Islam yang kaya raya terus membisu dan OIC lambat bertindak, Amerika dan PBBlah tempat mengadu yang paling baik.

Penduduk Aceh sedang dilanda musibah, mereka bukan sahaja kehilangan hartabenda malah orang-orang yang tersayang. Ramai isteri menjadi balu, suami menjadi duda dan anak-anak menjadi yatim piatu. Maka sewajarnya mereka dibantu oleh sesiapa sahaja tanpa mengira asal usul, keturunan, warna kulit atau agama.

Jangan biarkan mangsa tsunami ini mati kebuluran dan kehausan. Jangan biarkan wabak penyakit menyerang mereka. Kehidupan di Aceh perlu dipulihkan semula. Dan Indonesia tidak mampu menangani beban tsunami ini seorang diri.

Hari ini Aceh digempur tsunami. Selepas ini kita tidak tahu negara, wilayah atau daerah mana pula yang akan ditimpa musibah. Oleh itu, sewajarnya kita beringat dan saling bantu membantu.

Cuba bayangkan andainya pulau Sumatera tiada di seberang Selat Melaka ketika gempa bumi pada skala 9 Ritcher itu berlaku, apa akan jadi pada kita?