Pada 26 Oktober 2001 - kurang lebih satu bulan dari tarikh ledakan banguan World Trade Center New York - undang-undang Akta Patriot telah ditandatangani oleh Presiden Bush. Dilihat tergesa-gesa - sama saperti Najib meluluskan undang-undang Majlis Keselamatan Negara. Tapi yakinlah semuanya telah dirancang dengan rapi terlebih dahulu.
Daripada pungutan suara terkini di Amerika didapati 38 peratus rakyat Amerika tidak percaya dengan naratif dan penerangan kerajaan tentang apa yang terjadi pada 9/11. Justeru - ramai rakyat Amerika bersama rakyat dunia melihat tragedi 11 September sebagai - kerja orang dalam - satu projek salah bendera untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika.
Apa sebenarnya sedang berlaku di Amerika? Apa tujuan projek salah bendera ledakan WTC September 11?
Saya menulis tentang Ledakan WTC, tentang pergolakan di Amerika, politik Amerika dan ekonomi Amerika, dolar Amerika kerana Amerika adalah sebuah empayar. Kita di Malaysia dan di negara lain dalam dunia ini adalah tanah jajahan Amerika. Apa sahaja yang berlaku di Amerika akan mempengaruhi apa yang akan berlaku di seluruh dunia temasuk di Putrajaya.
Sebagai negara tanah jajahan - Malaysia dengan setia mengeluarkan bahan-bahan asli seperti logam dan minyak - untuk Amerika. Kita membuat barangan untuk dijual ke Amerika. Kita juga menjadi pasaran - untuk membeli barangan dari Amerika. Dan paling ketara kita gunakan dolar untuk tukaran wang urus niaga kita. Semua ini membuktikan kita sedang dikuasai oleh empayar Amerika.
Mitos tentang Amerika
Kepada rakyat Amerika dan kepada warga dunia- kuasa imperial Amerika ini telah menaburkan mitos bahawa Amerika ialah sebuah negara yang unik - terkecuali - tidak ada persamaan dengan negara lain didunia ini. Amerika negara berasaskan demokrasi, bebas, menghormati hak individu, sebuah republik yang mengamalkan sistem ekonomi bebas.
Dasar negara dan falsafah ini dipanggil American Exceptionalism. Berasaskan falsafah ini Amerika bergerak menjarah dan merampok dunia.
Malah banyak kumpulan warga Amerika yang yakin dan percaya dengan mitos ini. Justeru mereka bangga bahawa negara mereka telah dipilih oleh Yang Maha Esa untuk mengembangkan keadilan, kebebasan dan demokrasi. Justeru Korea, Vietnam, Panama, Grenada, Nicaragua, Iraq, Afghanistan dan Syria - telah diserang atas nama kebebasan dan demokrasi.
Perang akhir untuk manusia
Pada ketika ini elit politik dan elit ekonomi Amerika telah siap siaga untuk melancarkan Perang Akhir. Saya mengunakan istilah Perang Akhir dan tidak lagi menggunakan istilah Perang Dunia Ketiga. Ini kerana perang dunia ketiga yang akan muncul ini pastilah perang akhir untuk semua umat manusia - jika senjata nuklear digunakan.
Persediaan untuk berperang dan mempertahankan Amerika dari serangan pengganas dijadikan alasan untuk meluluskan Akta Patriot yang diikat dengan Homeland Security. Homeland Security - satu dasar lama tetapi telah diatur dan disusun kembali pada tahun 2003- selepas ledakan WTC.
Hukum hakam yang dimunculkan semuanya berjaya diluluskan kerana keadaan genting yang sedang melanda Amerika. Ledakan WTC September 11 telah dilihat oleh sebahagian warga Amerika bahawa negara mereka sedang diancam oleh pengganas Al-Qaeda. Ini menghalalkan Afghanistan dan Iraq diserang. Justeru, rakyat Amerika menerima Akta Patriot dan Homeland Security untuk keselamatan dalam negara.
Langkah ini sama saperti yang dilakukan oleh Najib dengan Sosma dan Majlis Keselamatan Negara. Bush melawan al-Qaeda. Najib melawan Isis. Wal hal Isis dan Al-Qaeda semuanya menetas dalam tangan CIA. Semua projek Amerika. Semua projek salah bendera.
Untuk terus menjadi kuasa dunia - warga di tanah jajahan wajib ditundukkan. Kerajaan tempatan yang pro-Amerika di Asia, Afrika dan Amerika Latin wajib disokong. Justeru semua boneka berjenis Najib secara halus disokong oleh bala tentera Amerika. Justeru Najib bersetuju menerima TPPA dengan punggung terbuka. Tapi awas! Walau pun dengan punggung terbuka - tidak semesti semua rakyat Malaysia menyokong Najib.
Justeru untuk mempertahan boneka jenis Mubarak, jenis Suharto atau jenis Najib atau budak suruhan seperti keluarga Saud - Amerika mewujudkan 1000 pengkalan tentera di 150 buah negara di dunia. Sebanyak 260 pengakalan tentera di German. Sebanyak 124 pengkalan di Jepun. Sebanyak 87 pengkalan Amerika di Jepun. Iceland dan Pilipina membenarkan pengkalan Amerika dibuka kembali setelah 10 tahun ditutup. Kita tidak tahu berapa banyak pengkalan tentera yang telah siap di Iraq dan Afghanistan.
Apa yang dilakukan oleh Amerika ketika ini bukan satu yang baru. Semua penjajah, semua empayar berbuat demikian. Dari zaman Iskandar Zulkarnain ke zaman Kublai Khan, ke empayar Rom, Sepanyol, Itali, Peranchis, Ottoman, hingga ke penjajah British - melakukan pekara yang sama. Kuasa empayar lahir dengan kekuatan senjata. Lagi besar senjata, lagi banyak soldadu - lagi gah kuasa empayar.
Kuasa rakyat tidak dapat dikalahkan
Sesudah Perang Dunia Kedua Amerika muncul sebagai kuasa terbesar. Kuasa imperial British hancur akibat perang. Dengan angkuh Amerika mengembangkan sayap untuk membuktikan kepada dunia tentang kekuatan Amerika sebagai sebuah negara pemilik bom atom. Negara-negara lain didunia wajib tunduk.
Sayang sekali - Perang Korea 1950-1953 - membuktikan walau pun dengan senjata tercanggih kuasa rakyat tidak dapat dialahkan. Amerika dimalukan di Korea. Tidak cukup dengan Korea - Amerika menggatal cuba menggantikan kuasa imperial Perancis di Vietnam. Amerika meneruskan perang di Vietnam -1955 hingga 1975. Akhirnya rakyat Vietnam membogelkan imperialis Amerika. Gerila Vietcong yang hanya memakai selipar dan berbekal nasi dan ikan kering telah berjaya mengalahkan bala tentera yang terkuat dalam sejarah dunia. Ini bukti kekuatan rakyat.
Ibu segala perang
Ketika tulisan ini digarap bala tentera dan soldadu Amerika sedang terlibat dalam beberapa pentas perang. Perang Iraq, Afghanistan, Libya, Somalia, Yemen, Ukraine - ini pentas terang yang dapat kita lihat dan baca dari laporan akhbar. Tetapi masih ada lagi ‘perang gelap’ di mana tentera dan penasihat Amerika terlibat tetapi tidak diumumkan seperti di Nigeria, Congo, Ivory Coast, Chad atau di Palestin.
Tetapi wajib saya nyatakan di sini selain dari perang terbuka dan perang gelap ini ada lagi satu pentas perang yang telah disediakan oleh kuasa imperial Amerika. Inilah perang yang amat penting. Inilah ibu dan datuk segala perang. Inilah perang yang akan mengakhiri semua perang. Maka di sinilah peranan Akta Patriot dan Homeland Security. Perang ini ialah perang dalaman Amerika.
Islam, Isis dijadikan sebab
Sebenarnya elit politik dan elit ekonomi sedang bersekongkol membuat persediaan untuk memerangai warga dan rakyat Amerika sendiri. Hukum hakam telah diatur. Perlembagaan diubah suai. Beberapa projek salah bendera telah meledak. Musuh utama telah dikenali. Mereka ini adalah rakyat Amerika yang beragama Islam. Islam, Al-Qaeda dan Isis dijadikan sebab musabab untuk melancarkan perang luaran dan perang dalaman.
Tetapi apa sebenaranya berlaku sekarang dalam Amerika?
Ketika ini 1 peratus warga Amerika memilki 99 peratus ekonomi dan kekayaan Amerika. Ketika ini hanya 62 sosok yang memboloti kekayan dunia ini. Ketika ini agihan ekonomi dunia tidak adil. Ketidak adilan ini akan melahir satu ledakan. Ini adalah ledakan yang miskin melawan yang kaya. Ledakan ini tidak lagi dapat ditangguhkan.
Yang miskin ini berada di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Yang miskin ini berada di Eropah Timur dan Barat. Yang miskin berada dalam perut Amerika sendiri.
Yang miskin dalam perut Amerika inilah yang akan paling bahaya. Mereka yang selama ini menjadi soldadu, menjadi anjing buruan untuk menyerang dan membunuh sesiapa sahaja yang cuba menentang kuasa imperial Amerika. Kerana mereka miskin dan terdesak maka mereka menjadi askar dan polis. Mereka menjadi budak suruhan orang kaya. Ini berlaku apabila ekonomi teguh dan rancak. Kini semuanya beralih. Bila ekonomi berubah semua akan berubah.
Agenda hampeh
Selama ini elit politik telah mengula-gula rakyat Amerika dengan pilihan Coca-Cola dan Pepsi Cola. Rakyat Amerika diberi peluang untuk memilih parti Republikan atau Demokrat. Kini semakin ramai sedar bahawa dua-dua parti ini adalah sama. Parti ini hanya menjadi budak suruhan kepada kaum pemodal dan elit ekonomi dunia.
Selama ini yang miskin di Amerika terus berbincang pekara-pekara remeh yang diajukan oleh media. Lima media terbesar dalam dunia ini semuanya bersatu untuk meneruskan agenda pilihan raya Coco Cola dan Pepsi Cola. Justeru 5 gergasi media ini menimbulkan : agenda kaum pendatang, agenda LGBT, agenda kahwin sejenis, agenda kawalan senjata dan agenda mengugurkan anak.
Semua ajenda ini diolah sebagitu rupa untuk dijadikan sensitif dan menimbulkan emosi rakyat Amerika. Ketika kempen untuk memilih Presiden Amerika terbaru agenda-agenda ini menjadi hangat. Walhal semua agenda ini adalah hampeh. Agenda hampeh ini diajukan untuk menutup kesedaran rakyat Amerika dari berbincang dan mengetahui kedudukan ekonomi negara mereka. Agenda-agenda hampeh cuba melalaikan rakyat Amerika dari sedar.
Semua yang dilakukan oleh elit politik dan elit ekonomi dengan kerjasama media dan para pemikir dan intelektual upahan - untuk satu ketika ia akan berjaya. Untuk sementara waktu ia akan mempengaruhi ramai warga Amerika.
Tetapi apabila ekonomi semakin mengecut. Apabila orang ramai semakin susah mencari mata pencarian. Semakin ramai hilang pekerjaan. Semakin banyak rumah lelong. Hutang semakin bertambah. Jenayah semakin merebak. Maka ketika inilah rakyat yang miskin mula bangun melawan. Maka ketika ini Akta Patriot akan digunakan. Ketika ini empayar Amerika akan menyerang rakyatnya sendiri
Ini bukan satu yang baru. Empayar Rom runtuh kerana dua serangan. Dari luar serangan Babarian. Dari dalam warga Rom sendiri bangun memberontak. Ini sedang berlaku di Amerika. Rakyat miskin bangun melawan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI ( non-governmental individual ). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.
Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.
