Ada satu jenaka sinis mengenai tiga kaum majoriti di negara ini: "Orang Melayu kalau berkumpul, mereka akan cakap fasal politik, bila orang Cina berkumpul, mereka akan berjudi dan bila orang India berkumpul, mereka akan bincang mengenai kesatuan sekerja."

Lelucon ini sudah diturunkan dari generasi ke generasi. Mungkin ada kebenarannya, kalau tidak masakan ia diperkatakan dari masa ke semasa. Sekurang-kurangnya, bagi orang Melayu, jenaka sinis itu ada kebenarannya. Jika tidak benar, tentu Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mengingatkan orang Melayu supaya jangan terlalu banyak berpolitik.

"Jangan habiskan masa dengan mengata orang itu dan orang ini, melakukan politiking berlebihan. Jangan membuang masa dengan bersembang kosong di merata tempat, di tempat kenduri, ketika menziarahi jenazah, malah ada yang menghantar SMS mengata orang itu dan ini di Mekah."

Begitulah pesanan atau amanat Pak Lah kepada ahli-ahli Umno baru-baru ini, Jelas kenyataan beliau itu mengesahkan ungkapan mengenai perangai orang Melayu dalam jenaka sinis berkenaan.

Nampaknya, politik seperti sudah menjadi darah daging orang Melayu. Ramai insan berkulit sawo matang ini lebih selesa bersembang mengenai kuasa dan hak. Mereka lebih selesa bercerita tentang pergaduhan atau konflik politik sesebuah keluarga, persatuan, parti atau negara. Terlalu sedikit yang mahu berbicara mengenai hal-ehwal agama, pelajaran anak-anak atau merancang masa depan.

Tradisi "politik kedai kopi" masih menebal. Di kampung-kampung, masih ramai yang berlonggok di kedai kopi untuk mendengar cerita politik. Di bandar-bandar pula tarafnya mungkin naik sedikit, mereka bersembang di restoran.

Di bandar-bandar besar pula, terutamanya Kuala Lumpur, mereka bersengkang mata di coffee house atau hotel bagi mendengar dan menyebarkan gosip politik terbaru. Itulah orang Melayu, tidak kira sama ada ahli Umno, PAS atau Keadilan, semuanya sama sahaja. Mereka boleh bercakap tentang politik tanpa mengira waktu. Kemahiran dan pengetahuan mereka tentang politik amat tinggi. Mengkagumkan!

Gejala berpolitik tanpa mengira musim ini telah menjadi satu wabak yang merbahaya dan merugikan. Pak Lah mahu perbuatan yang tidak produktif itu dihentikan. Beliau mahu mereka menumpukan perhatian kepada kerja-kerja yang membina dan memajukan bangsa dan keluarga.

Politik cari makan

Namun ramai pemerhati politik berpendapat, saranan atau aspirasi Pak Lah itu sekadar berlegar di Pusat Dagangan Dunia Putra sahaja. Sebagaimana lazimnya, setiap tahun amanat Presiden akan datang dan pergi bagaikan angin lalu.

Perwakilan dan pemimpin Umno akan mengalu-alukan dan mengangguk-angguk kepala ketika mendengar ucapan itu. Sebaik sahaja meninggalkan dewan perhimpunan, sikap dan budaya lama kembali menyerapi diri mereka. Benar kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Melayu mudah lupa.

Sebahagian besar mereka berpendapat:"Mana boleh tak berpolitik kerana politik sudah menjadi darah daging, politik sudah menjadi satu karier, berpolitik untuk cari makan!"

Bagi ramai ahli Umno, politik adalah tempat mereka berpaut, menerusi hubungan politik, mereka mendapat tanah, kontrak, projek dan saham. Politik memberikan mereka rezeki, hubungan baik dengan wakil rakyat atau Menteri Besar (MB), menjamin habuan yang lumayan.

Oleh kerana itu, berpolitik setiap masa perlu dilakukan demi menjaga periuk nasi. Wakil rakyat, ketua bahagian atau MB perlu ditatang, dikipas dan dijaga kuasa politik mereka demi kepentingan diri sendiri.

Mereka sedar kalau wakil rakyat atau ketua bahagian yang disokongnya jatuh kelak, kepentingan dirinya sendiri akan turut terjejas. Oleh kerana hidup bergantung pada orang politik tertentu, maka ramai ahli dan pemimpin Umno terpaksa menjadi hamba politik. Sanggup ke hulu ke hilir bersama pemimpin, semata-mata untuk menjaga hati pemimpin berkenaan.

Semuanya semata-mata kerana wang ringgit, bukan kerana idelisme perjuangan. Sukar bagi Pak Lah untuk mengubah amalan ini, lebih-lebih lagi apabila politik moden memerlukan modal besar.

Sekarang bukan lagi zaman bagi tok penguhulu atau guru menjadi pemimpin Umno. Era baru ini mengutamakan ahli perniagaan dan tokoh korporat. Kerana apa? Jawapannya mudah, ahli-ahli Umno sudah cerdik, sudah terbuka mindanya dan sudah besar seleranya.

Dahan tempat berpaut

Sekarang adalah zaman "engkau tolong aku, aku tolong engkau". Tiada barangan atau perkhidmatan yang diberi percuma sekarang. Begitu jugalah dengan kesetiaan dan sokongan politik, semuanya boleh dijual beli.

Apabila begitu keadaannya, para pemimpin Umno atau sekurang-kurangnya kuncu-kuncunya perlu berpolitik sepanjang masa bagi memastikan sokongan dan kepentingannya sentiasa terjaga dan kukuh.

Politik adalah satu persaingan. Lebih-lebih dalam Umno di mana kedudukan dalam parti akan menjamin keuntungan yang besar, persaingan menjadi lebih sengit. Tiada ketua bahagian atau ketua cawangan yang boleh duduk diam di kerusi empuk masing-masing.

Setiap tiga tahun ada sahaja kawan dan lawan yang mahu merebut jawatan berkenaan. Jadi bagaimana mahu berhenti berpolitik? Tempoh tiga tahun bukannya lama. Dalam tempoh yang singkat itu, segala perancangan politik perlu dibuat bagi mencuba nasib dalam pemilihan akan datang.

Malah untuk pemilihan Umno pada tahun 2007 nanti, khabarnya gerakan dan kempen telah bermula sebaik sahaja tamat pemilihan tahun lalu. Ada kalangan tertentu menjadikan pemilihan 2004 sebagai tapak untuk mencapai cita-cita politik yang lebih tinggi dalam masa tiga tahun akan datang.

Ada yang mengatakan "projek 007" (kod bagi pemilihan pada 2007) sedang giat dijalankan sekarang oleh pihak tertentu bagi untuk menyaksikan perubahan dalam tampuk pergerakan Pemuda Umno.

Kalau begini keadaannya, sampai bilapun ahli dan pemimpin Umno tidak akan berhenti berpolitik. Berpolitik akan terus menjadi agenda utama mereka kerana di situlah dahan tempat mereka berpaut!

Pak Lah boleh menyampaikan amanat, menasihati, merayu, malah menangis setiap tahun, tetapi ia akan terus masuk telinga kanan, keluar telinga kiri!