Baru-baru ini penulis bersembang dengan seorang graduan teknologi maklumat dan multimedia dari Universiti Pertanian Malaysia dan bertanya; " Sekarang kerja apa...?

"Saya tanam anggur..." jawab graduan berusia 24 tahun itu.

"Sudah berapa lama tanam anggur...?" tanya saya lagi.

"Dua tahun, sudah puas isi borang kerja kerajaan dan swasta...semuanya gagal," jelas graduan itu.

"Habis sekarang ni tak kerja langsung..." soal menyoal lagi.

"Adalah buat kerja sambilan...buat " sales "..tapi tak berbaloi...." ujarnya sambil merenung jauh.

Tanam anggur yang dimaksudkan oleh graduan berkenaan ialah menggangur. Dia adalah antara lebih 80,000 lulusan pusat pengajian tinggi (IPT) swasta dan awam yang kini menjadi petani moden "tanam anggur".

Dia masih menganggap dirinya menggangur walaupun sedang menjalankan kerja dalam bidang pemasaran. Kerjanya sekarang memasarkan pelbagai produk secara jualan langsung.

Ketika saya temui di gerai di hadapan sekolah anak saya itu, dia sedang berehat setelah penat memasarkan kek yang didinginbekukan.

Sebelum duduk bersamanya, saya melihat dia bersama beberapa rakannya dua gadis Cina pergi dari sebuah kereta ke kereta ibu bapa yang sedang menunggu anak mereka balik sekolah. Menurutnya, dua rakan sekerjanya itu adalah graduan IPT swasta.

Mereka cuba memasarkan produk masing-masing. Tanpa segan silu dia membuka bicara dan menghulurkan kertas promosi kek yang dijualnya. Harga produknya tidaklah mahal sangat RM10 sebuku.

'Tak berbaloi'

Namun sebahagian besar pelanggan yang ditemuinya hanya tersenyum dan mengeleng-gelengkan kepala. Pendapatan "si penanam anggur " itu bergantung pada komisen jualannya. Gaji asasnya terlalu kecil, sekadar untuk menampung duit tambang pergi kerja. Partutlah dia kata " tak berbaloi."

Apa yang dilakukan oleh graduan bidang IT itu suatu yang di luar bidang pengajiannya. Tentunya ia suatu yang tidak pernah dibayangkannya selama ini, lebih-lebih lagi apabila memiliki segulung ijazah dalam bidang yang menjadi rebutan ramai satu ketika dulu.

Namun, akibat tekanan hidup, dia terpaksa berkerja. Walaupun sebagai "salesman" jualan langsung. Dia tidak memilih, daripada menjadi penganggur terhormat di rumah, menyusahkan ibu bapa di kampung, dia rela bermandi peluh. Menebalkan muka bertemu sesiapa sahaja yang dirasakannya berpotensi menjadi pelanggannya.

Namun "si penanam anggur " itu masih mengharap untuk mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan dan bidang pengajiannya. Itu sebabnya dia masih mengkategorikan dirinya sebagai seorang penganggur. Dia menganggap bidang pemasaran yang diceburinya itu hanya kerja sambilan, bukan kariernya.

Sebenarnya ribuan lagi graduan lulusan pelbagai bidang sedang melalui proses ini. Penulis percaya 80,000 yang dikatakan sedang menggangur itu sebenarnya sedang melakukan pelbagai pekerjaan sambilan, sama ada makan gaji atau berusaha sendiri.

Mereka tidak goyang kaki di rumah. Ramai di antara mereka tidak memilih pekerjaan. Ada yang berkerja di kilang, kerani, guru sementara dan paling ramai menjadi jurujual. Tidak kurang juga yang berniaga sendiri, sama ada menjual burger, nasi lemak serta VCD cetak rompak.

Namun kerajaan dan para pemimpim kita masih menyalahkan para graduan ini, terutamanya bumiputera dengan menuduh mereka memilih pekerjaan.

Terlalu memilih pekerjaan?

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamed (Tok Pa) menggariskan bahawa antara faktor wujudnya graduan menggangur ialah mereka enggan mengubah sikap. Hanya inginkan pekerjaan yang setaraf dengan ijazah yang mereka miliki.

Kedua, sikap graduan yang gemar berkhidmat dengan kerajaan kerana tidak yakin untuk berkerja di sektor swasta. Ketiga, tidak suka berusaha sendiri, termasuk berniaga dan berdikari.

Kita tidak tahu sejauhmana benarnya kenyataan Tok Pa itu. Namun jika didasarkan pada cerita "si penanam anggur" yang menjadi jurujual kek itu, ternyata andaian menteri iu tidak tepat.

Sebenarnya, ramai graduan bumiputera telah mengubah sikap mereka. Soal memilih pekerjaan bukan satu isu lagi. Mencari pekerjaan yang sepadan dengan minat dan bidang pengajian juga bukan lagi satu keutamaan ketika ini.

Yang dipentingkan oleh para graduan di negara ini sekarang ialah mendapat kerja. Walaupun gaji yang ditawarkan agak rendah, ramai yang rela menjawatnya. Yang utama ialah ada kerja, ada pendapatan sendiri, dapat berdikari.

Pergilah ke pasaran kerja sekarang, kita akan bertemu ramai graduan yang belajar bidang lain tetapi berkerja dalam bidang yang berbeza dengan ilmu yang mereka pelajari kecuali bagi bidang-bidang yang terlalu khusus atau teknikal.

Ramai yang berpakaian segak, bertali leher, mereka membuka kaunter di kompleks beli belah menjual kad kredit, insurans, pakej pelancongan dan sebagainya. Ramai antaranya memiliki ijazah dalam bidang teknikal, komunikasi dan sains.

Sebenarnya kita sedang menghadapi situasi penawaran melebihi permintaan. Peluang kerja terhad, tetapi graduan yang keluar IPT, dengan ijazah dan diploma dari dalam dan luar negara, melebihi 20,000 setiap tahun. Di mana mereka hendak diserap?

Faktor luar biasa

Pertumbuhan ekonomi, walaupun diwar-warkan melebihi 6 peratus setahun, namun peluang pekerjaan untuk para graduan tidak sebanyak mana. Pembukaan kilang baru oleh pelabur tempatan dan asing memerlukan lebih ramai operator pengeluaran berkelulusan SPM dan sijil, daripada pegawai atau jurutera.

Peluang kerja di sektor awam juga amat terhad. Jawatan kosong dan bilangan pegawai yang bersara amat kecil berbanding jumlah penerima biasiswa atau pinjaman pendidikan daripada JPA,Mara atau kerajaan negeri.

Jadi hendak salahkan siapa? Persalahkan para graduan, majikan atau kerajaan? Mahu marahkan para perancang ekonomi kerana tersilap congak hingga wujud 'jurang' antara bidang pengajian dengan keperluan di pasaran kerja?

Sukar untuk memberikan jawapan yang adil kerana semua pihak bertanggungjawab dalam masalah ini. Situasi eknomi, permintaan dan keperluan di pasaran kerja adalah suatu yang di luar kawalan.

Ia boleh dijangka atau diramal tetapi faktor-faktor luar biasa seperti politik, kenaikan harga minyak, peperangan, gempa bumi, tsunami dan pelbagai lagi boleh mempengaruhinya.

Sebagai contoh, pada dekad 1990-an dulu kita optimis bidang IT menawarkan banyak peluang pekerjaan, tetapi situasi sekarang di luar jangkaan. Kini kita mempunya lambakan graduan dalam bidang tersebut.

Sekarang kita war-warkan pula bidang biotek. Kononnya bidang itu berpotensi besar, maka ramai pelajar mahu menceburinya. Mungkinkah 10 tahun dari sekarang ribuan graduan biotek terpaksa menggangur sebagaimana yang menimpa para graduan IT kini?

Oleh itu apa persediaan dan strategi kita bagi memastikan masalah yang sama tidak berulang?

Sebenarnya untuk berlaku saksama dan berhemah dalam masalah ini, jangan kita persalahkan sesiapa. Tiada siapa yang mahu menggangur, tiada pelabur dan majikan yang tidak mahu mengembangkan operasinya dan tiada kerajaan yang suka rakyatnya hidup melarat.

Semua pihak perlu rasional, berkerja keras dan berubah sikap untuk menangani isu ini. Kita tidak mahu dalam pada kita mewar-warkan kadar pengangguran negara tidak melebihi 4 peratus, terdapat ribuan siswazah menganggur.

Sehingga September tahun lalu, angka "penanam anggur" telah mencecah 80,000 orang. Bagaimana apabila lebih 20,000 lagi pelajar IPT menamatkan pengajian mereka tahun ini dan ribuan lagi pada tahun-tahun akan datang?

Mungkinkah para graduan kita akan mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan selepas Ops Nasihat dan Ops Tegas dilakukan pada hujung bulan ini. Mahukan mereka?