Persidangan antara agama peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia Majlis Peguam telah berlangsung di Bangi selama dua hari (24-25 Februari) untuk membincangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia (ICM).

Ia dihadiri lebih 200 wakil daripada 50 kumpulan agama, parti politik, badan bukan kerajaan dan individu, meskipun telah dipulaukan oleh beberapa badan Islam.

Namun, sebelum draf rang undang-undang ICM sempat diserahkan kepada kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil keputusan agar cadangan penubuhan suruhanjaya itu ditangguhkan kerana ia telah menimbulkan banyak kontroversi, dan penganjurnya dinasihatkan supaya menumpukan terlebih dahulu kepada dialog antara agama.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak terbabit untuk memikirkan sensitiviti orang Islam apabila membuat cadangan yang mungkin dianggap sebagai campurtangan dalam perkara melibatkan agama Islam.

Bantahan terhadap cadangan penubuhan suruhanya itu, antaranya, datang dari PAS dan beberapa badan Islam, seperti Jawatankuasa Gabungan Badan Islam Bukan Kerajaan (Accin), yang merupakan gabungan longgar 13 badan Islam (Al-Hidayah, Belia Perkim, Gepima, Islamic Information and Services, Islamic Outreach Abim, Jim, Macma, Al-Hunafa, Darul Fitrah, PUM, Ricoi, Saba Islamic Media dan Wamy).

Dewan Pemuda PAS pusat terlalu sensitif tentang isu murtad yang dibahaskan secara terbuka, terutama oleh individu dan kumpulan bukan Islam. Timbalan Ketuanya, Idris Ahmad berkata adalah tidak munasabah isu murtad diperbahaskan sebagai satu pilihan kepada orang Islam atas alasan kebebasan agama.

Hak kebebasan beragama

Dia menegaskan, cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam, kerana ia menyentuh secara langsung mengenai sensitiviti Islam dan umat Islam.

Accin, di pihak yang lain, menegaskan, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Islam dalam negeri mereka, perlu diperakui dan dihormati, dan kuasa Raja-Raja Melayu tidak boleh dicabar.

Pengerusi Accin, Datuk Mustapha Ma telah dilaporkan berkata, mekanisme mengenai kebebasan hak beragama dalam negara ini sudah mencukupi contohnya orang bukan Islam boleh pergi ke Suhakam jika hak mereka dicabar, manakala orang Islam pula tertakluk kepada Undang-Undang Syariah dan sekaligus tidak perlu lagi diwujudkan badan lain.

Bagaimanapun, badan-badan Islam terbabit telah didesak oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya jangan menolak cadangan ICM sebelum mendengar penjelasan pihak penganjurnya dan cuba memahami butir-butirnya.

Menurutnya, kita tidak boleh terlalu berprasangka sebelum kita mengetahui apakah isu sebenarnya. Agama-agama lain juga berhak untuk mengemukakan pandangan mereka. Jika tanggapan atau konsep bekerjasama antara agama tidak boleh diterima, sikap ini sendiri boleh dipersoalkan.

Sungguhpun Perdana Menteri telah menasihatkan supaya cadangan penubuhan suruhanjaya itu ditangguhkan, tetapi Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Suruhanjaya Antara Agama, Malik Imtiaz Sarwar, tetap yakin kerajaan akan menerima cadangan itu selepas beberapa tanggapan salah dapat dijelaskan.

Menjadi badan perunding

Malik menegaskan sekali lagi bahawa suruhanjaya yang dicadangkan itu, tidak bertujuan untuk meletakkan Islam ke bawah bidangkuasa ICM kerana ia hanya merupakan badan perunding, penasihat dan pendamai saja.

Beliau sesal kerana dayausaha penganjur telah disalahfahami. Beliau yakin, setelah membaca dokumen-dokumen terbabit iaitu kenyataan pleno, draf rang undang-undang dan kesimpulannya kerajaan tentu akan faham bahawa tiada apa-apa yang boleh dianggap sebagai sensitif.

Cadangan penubuhan suruhanjaya itu dituduh anti-Islam dan penganjurnya didakwa bertopengkan platform dialog untuk menjejaskan ajaran Islam dan umat Islam di negara kita. Kontroversi dan tuduhan terbabit dibuat bagi mendesak supaya cadangan itu ditolak oleh pihak berkuasa di peringkat awal lagi.

Namun, bagaimanakah sebuah Suruhanjaya Antara Agama yang merupakan sebuah badan perunding, penasihat dan pendamai tanpa kuasa penghakiman seperti Suhakam, dituduh akan memberi pilihan murtad kepada orang Islam? Padahal, ia hanya akan memberi saranan berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan selepas merujuk kepada pihak-pihak berkuasa yang terbabit.

Untuk mengatakan bahawa orang Islam di negara kita tertakluk kepada Undang-Undang Syariah, juga memerlukan penjelasan. Kerana, sungguhpun Islam merupakan agama Persekutuan, Undang-Undang Syariah yang dilaksanakan, sebahagian besarnya, masih terhad kepada soal perkahwinan, perceraian dan pewarisan.

Jika sesuatu injunksi Syariah bertentangan dengan apa yang tersurat atau tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan Undang-Undang tertinggi negara kita sekarang maka ia terpaksa diketepikan, bukan sebaliknya, sungguhpun bagi Muslim, Syariah adalah Undang-Undang tertinggi.\

Agama dominan

Murtad umpamanya jika dilihat dalam konteks kebebasan beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan maka ia mungkin bukan hal orang Islam semata-mata, tetapi mungkin juga, dalam sesetengah kes, ada kena-mengena dengan bukan Islam. Dan bagi pejuang hak manusia pula, mereka tentu akan mempertahankan sesiapa yang ingin menukar agama, tetapi gagal berbuat demikian, sama ada mereka itu orang Islam atau bukan Islam.

Menggunakan kedudukan agama Persekutuan untuk menegah bukan Islam daripada turut membincangkan isu-isu Islam yang mempengaruhi mereka seolah-olah negara kita telah menjadi negara Islam seperti Iran dan Pakistan bukan saja tidak adil, tetapi boleh juga dilihat sebagai manifestasi sikap hegemonik yang diperlihatkan agama dominan, yang enggan melayan agama-agama lain sebagai setaraf, dan enggan menyertai dialog berhubung cadangan penubuhan mekanisma seperti ICM sebagai kumpulan yang setaraf.

Mungkin inilah sebabnya kenapa persidangan antara agama di Bangi dipulaukan oleh sesetengah badan, parti dan individu Islam. Namun demikian, wakil-wakil daripada Ahmadiyya Muslim Jamaat, Forum Iqra, Jabatan Agama Islam Kelantan dan Sisters in Islam dan sebilangan individu Muslim yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut, patut dialu-alukan kerana sudi berdialog dan membincangkan baik buruknya cadangan penubuhan ICM, dalam semangat demokrasi dan terbuka.

Oleh itu, sikap inklusif untuk menghadkan perbincangan isu-isu Islam hanya dalam institusi seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Pembangunan Islam, sesungguhnya tidak mengambilberat kepentingan interaksi dan kerjasama antara agama berasaskan nilai-nilai universal yang dirumus dari prinsip dan ajaran pelbagai agama, dan tidak sensitif terhadap keperluan mendesak untuk menyelesaikan salahfaham, kontroversi dan adakalanya mungkin juga konflik antara agama, serta mempromosi persefahaman dan paduan antara agama, melalui mekanisme seumpama ICM yang dicadangkan itu.

Menentang cadangan penubuhan ICM adalah menentang hasrat masyarakat madani. Kini, semua parti yang terbabit seolah-olah telah bersetuju untuk mengadakan dialog antara agama. Jika demikianlah halnya, apakah yang hendak ditakutkan untuk menubuhkan sebuah institusi berkanun, di mana dialog boleh diadakah bila perlu, dan di samping itu, juga sanggup berfungsi sebagai perunding, penasihat dan pendamai?