Chin Peng, bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) dan pemimpin gerila legenda yang kini berusia 82 tahun, telah memfailkan permohonan mahkamah sebagai usaha terakhirnya untuk kembali ke tanahairnya, setelah semua cara yang lain telah dicuba dan gagal.

Menteri Luar kita, Syed Hamid Albar apabila ditanya mengenainya perkembangan terbaru ini, menegaskan mahkamah kita adalah terbuka kepada sesiapa saja, dan kini terpulanglah kepada mahkamah untuk membuat keputusan terhadap permohonan terbabit.

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi juga mengambil pendirian yang lebih kurang sama, iaitu menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Chin Peng berhak memfailkan permohonan terbabit dan berhak kembali ke Malaysia.

Tindakan undang-undang oleh Chin Peng dan reaksi munasabah pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), menunjukkan kematangan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kontroversi itu di mahkamah.

Kini yang terpenting ialah semua pihak terbabit hendaklah menjunjungi kedaulatan undang-undang dan membiarkan mahkamah menjalankan pengadilannya tanpa campurtangan mana-mana pihak.

Dalam suatu kenyataan yang difailkan bersama samannya, Chin Peng antara lain telah membuat perakuan yang sukar dinafikan bahawa:

  • Saya dan mereka yang terlibat telah cuba dengan semua cara agar pihak-pihak berkuasa yang terbabit mematuhi syarat-syarat yang telah dipersetujui, dan membenarkan kami kembali ke Malaysia untuk hidup secara aman dalam hari-hari terakhir kami.

  • Kami berhasrat menjalankan kewajiban kami untuk menziarahi kuburan nenek-moyang, ibu-bapa dan keluarga kami.
  • Kami adalah orang Malaysia, beranak di Malaysia, hidup sebagai orang Malaysia dan akan mati juga sebagai orang Malaysia, hakikat ini tidak harus dinafi atau dipertikaikan oleh sesiapa pun.
  • Kami telah bersumpah akan taat-setia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, kami juga telah menolak keganasan, dan perjuangan bersenjata buat selama-lamanya.
  • Kami harap pihak-pihak berkuasa terbabit, melaksanakan janjinya sepertimana kami melaksanakan janji kami, agar apa yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian hendaklah dipatuhi.
  • Yang ironis sekali ialah kami yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita, dan rela mati demi negara kita, kini tidak dibenarkan kembali , tinggal dan mati dalam pangkuan ibu pertiwi kami.
  • Perjanjian Damai Haadyai

    Pertikaian utama sekarang ialah sama ada benar atau sebaliknya, apa yang didakwa oleh Chin Peng, iaitu perjanjian dan persiapan pengurusan untuk menghentikan permusuhan, yang ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dengan PKM, membenarkan anggota PKM yang merupakan warganegara Malaysia atau beranak di Malaysia, kembali dan tinggal di Malaysia.

    Bagaimanapun, bukanlah rahsia lagi bahawa 330 bekas anggota gerila PKM telah kembali ke Malaysia selepas Perjanjian Damai Haadyai ditandatangani, dan hidup aman di Malaysia sebagai rakyat yang mematuhi undang-undang.

    Permintaan Chin Peng agar kedua-dua pihak memperkotakan apa yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Damai Haadyai adalah amat penting. Ia menjadikan perdebatan sama ada Chin Peng seorang patriot atau penderhaka, sama ada mereka patut dibenarkan kembali ke Malaysia atau tidak, hanya hujahan akedemi semata-mata, kerana mana-mana kerajaan yang menjunjung kedaulatan undang-undang, sudah pasti tidak akan mempertikaikan apa yang tersurat atau tersirat dalam perjanjian yang ditandatanganinya.

    Namun demikian, untuk berlaku adil kepada Chin Peng dan pengikut-pengikutnya, perkara-perkara berikut hendaklah dititikberatkan.

    Pertama, wakil utama kerajaan Malaysia dalam Perundingan Damai Haadyai, Ketua Cawangan Khas masa itu, Rahim Noor, telah mengakui sumbangan PKM dalam proses pencapaian kemerdekaan negara kita, seperti yang disebut dalam buku Chin Peng " My Side of History".

    MGG Pillai, dalam rencananya baru-baru ini, telah mengulangi perkara yang sama. Katanya: "Apabila lebih banyak dokumen awam diperolehi mengenai tahun-tahun selepas perang yang kacau-bilau, ahli sejarah kini boleh melihat peranan kumpulan berhaluan kiri, orang Cina dan Melayu, sebagai amat penting dalam pencapaian Kemerdekaan; dan kumpulan berhaluan kanan Melayu, yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak British, telah didorong untuk mewujudkan satu gerakan politik bagi meminggirkan kumpulan berhaluan Kiri. Kajian dan catatan baru, mendedahkan, kumpulan berhaluan, terutama kumpulan berhaluan kiri Melayu, memainkan peranan penting dalam gerakan menuntut Kemerdekaan. "

    Kedua, sebelum merdeka, penjajah British merupakan pengeksploit dan penindas rakyat negara kita. Oleh itu, mengikut logik mudah, Chin Peng yang diisytiharkan oleh kerajaan British sebagai Musuh Awam No 1 dan ditawarkan wang saguhati British sebanyak 80,000 ringgit, tidak mungkin pada masa yang sama, seorang pengkhianat rakyat.

    Setuju letak senjata

    Dalam kata-kata Chin Peng sendiri: "Apabila kami bekerjasama dengan British semasa pendudukan Jepun dan membunuh demi kepentingan Britain, kami tidak dianggap sebagai penjahat atau pengganas. Malahan, kami disokong, dipuji dan diberi anugerah. Oleh itu, kamu hanya menjadi seorang pengganas bila kamu membunuh bertentangan dengan kepentingan mereka."

    Ketiga, Chin Peng dan pasukan gerilanya telah bersetuju untuk meletakkan senjata mereka, tanpa menyerah diri, seawal tahun 1955 dalam Rundingan Damai Baling yang berlangsung pada 28-29 Disember.

    Menurut Dennis Wombell, seorang komander platun bersama Pasukan Kedua Polis Hutan Malaya, yang bertugas menjaga keselamatan semasa Rundingan Baling diadakan, menyatakan seperti berikut di dalam rencana yang ditulisnya tidak lama dahulu mengenai Rundingan Damai Baling:

    "Rundingan dihentikan dengan suatu kenyataan, ditulis tangan oleh David Marshall bagi pihak perwakilan komunis, dan dipinda oleh Chen Tien (pindaannya dalam tanda kurungan) seperti berikut: 'Sebaik saja (kerajaan) Persekutuan (pilihan rakyat) memiliki kawalan penuh atas keselamatan dalam negeri dan pasukan bersenjata tempatan, kami akan menghentikan permusuhan, meletakkan senjata kami dan membubarkan pasukan kami. (Ini tidak sama dengan kami menerima syarat-syarat pengampunan sekarang.)'"

    Sudah tentu penjajah Britishlah yang berkeras supaya PKM menyerah diri. Bagaimanapun, Ketua Menteri Malaya ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, yang dibenarkan oleh pihak British bertemu dengan Chin Peng dalam Rundingan Baling dengan dua syarat iaitu beliau tidak boleh membuat sebarang perjanjian dengan PKM dan kedua, beliau tidak dibenarkan berjabat tangan dengan Chin Peng telah berjanji akan mengadakan rundingan pusingan kedua selepas beliau pulang dari London.

    Namun janji Tunku tidak dikotai, seperti yang diteliti oleh Prof Cheah Boon Kheng: "Tetapi kejadian-kejadian sejak Rundingan Baling berlaku dengan begitu cepat sekali, sesudah kemerdekaan dicapai, Tunku tidak nampak keperluan untuk mengadakan rundingan pusingan kedua lagi."

    Meninjau kembali, jika andainya rundingan pusingan kedua dibenarkan seperti yang dijanjikan, dan ditawarkan syarat-syarat lebih kurang sama dengan apa yang tersurat dalam Perjanjian Damai Haadyai 1989 , besar kemungkinan PKM dan pasukan gerilanya telah meletakkan senjatan 34 tahun lebih awal, dan banyak nyawa akan diselamatkan!

    Sepuluh ribu terbunuh

    Dalam tempoh masa Darurat Malaya (1948-1960), dianggarkan lebih kurang 10,000 anggota gerila, anggota pasukan bersenjata British dan Malaya, serta orang awam terbunuh bilangan terbanyaknya adalah anggota gerila komunis dan penyokongnya.

    Alasan yang berbeza-beza telah diberi oleh kerajaan kenapa Chin Peng dilarang kembali ke Malaysia. Pada September 2003, alasan rasmi yang diberi ialah beliau masih terlibat dalam suatu pertubuhan larangan, yang mempunyai sejarah melakukan keganasan dalam negara ini.

    Pada Oktober 2003, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Zainal Abidin Zin menjawab dalam Parlimen bahawa Chin Peng dilarang kembali ke Malaysia kerana beliau enggan meminta maaf.

    Kini, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Noh Omar pula menafikan kemungkinan melonggarkan pendirian rasmi kerajaan, kerana kerajaan tidak mahu dianggap sebagai "terlalu lembut" terhadap komunis.

    Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pula dilaporkan sebagai berkata Chin Peng dilarang kembali ke Malaysia dahulu adalah kerana bantahan daripada pelbagai pihak.

    Kesemua ini seolah-olah alasan-alasan yang diperalatkan untuk menolak permohonan sah Chin Peng untuk kembali ke Malaysia atas hak kelahirannya dan menurut apa yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Damai Haadyai 1989.

    Di Thailand, bekas anggota gerila komunis telah diberikan tanah dan pelbagai bantuan untuk memulakan kehidupan baru. Di samping dibenarkan tinggal di Thailand, mereka juga dialu-alukan untuk memohon kerakyatan Thai.

    Bandingkannya dengan kerajaan kita yang menolak permintaan mereka untuk kembali dan tinggal di tanahair mereka sendiri. Malah permintaan untuk menziarahi kuburan nenek-moyang, ibu-bapa dan keluarga mereka, juga ditolak. Jadi, masakan kerajaan kita boleh dianggap sebagai "terlalu lembut" terhadap komunis?

    Mungkin sudah tibalah masanya kerajaan kita berlaku adil kepada Chin Peng dan pengikutnya yang terbuang di negeri Thai. Alangkah baiknya jika tindakan undang-undang itu dapat diselesaikan di luar mahkamah, menurut apa yang tersurat dan tersirat dalam Perjanjian Damai Haadyai 1989, dan sekaligus menamatkan segala permusuhan!