Paling Popular
Terkini

Sebetulnya, saya bosan dengan politik semasa Malaysia. Meskipun begitu, pada Selasa 22 Mac 2016 yang lalu, di pejabat C4, sebuah NGO antirasuah, saya menurunkan tandatangan mendukung Deklarasi Rakyat.

Saya sedar deklarasi ini asalnya diikhtiarkan Dr Mahathir Mohamad – perdana menteri yang sering saya kritik dahulu semasa beliau sedang berkuasa.

Saya masih berpendirian betapa parti Umno sepatutnya berundur daripada kekuasaan negara, setelah memerintah Malaysia semenjak merdeka.

Tetapi, ia tidak akan menjadi kenyataan selagi kekuasaan negara diatur perdana menteri dan parti Umno secara autoritarian dan rakyat masih takut melawan.

Namun demikian, selaku seorang rakyat biasa yang kerdil jiwa, saya perlu jujur memperakui parti-parti pembangkang kelihatan seperti belum bersedia untuk menerajui tampuk kepimpinan negara.

Kehancuran kerjasama PAS-PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat telah mengasak gerakan rakyat ke arah reformasi dan pendemokrasian kembali kira-kira sedekad ke belakang.

Ia mengulangi kehancuran kerjasama PAS, PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif, setelah pilihan raya 1999 sehinggalah membawa kepada kekalahan teruk parti-parti pembangkang dalam pilihan raya 2004.

Puncanya mudah sahaja, pertembungan tiga empat penjuru sesama parti-parti pembangkang melawan Umno dan BN.

Sebelum tandatangan saya turunkan, saya membaca komentar Anwar Ibrahim seolah-olah menyokong deklarasi itu.

Anwar menyatakan beliau tiada dendam peribadi, memaafkan Dr Mahathir, malah Najib Razak juga, asalkan perubahan institusi dapat dilakukan.

Tiba-tiba muncul pula warkah saudara Anwar Ibrahim dari penjara diikuti dengan deretan cerita-cerita meremehkan Deklarasi Rakyat.

Ia berikutan komentar Dr Mahathir dalam wawancara dengan akhbar The Australian yang menyebut Anwar tidak layak menjadi perdana menteri kerana tidak bermoral.

Perdamaian bukanlah suatu hal yang mudah. Menjadi kebiasaan penyelesaian konflik melibatkan perakuan bersalah terhadap kesilapan masa lalu dan kemaafan daripada pihak-pihak yang menjadi mangsa. Perkara ini dapat kita lihat dalam kes perubahan pemerintahan Aparteid di Afrika Selatan dahulu dengan penubuhan Suruhanjaya Perdamaian dan Kebenaran.

Perubahan bertahap

Bagaimanapun, perubahan ke arah demokrasi di Myanmar memberikan sudut pandangan berbeza.

Pilihan raya umum Myanmar yang pertama pada tahun 1990 dimenangi Liga Nasional Untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Daw Aung San Suu Kyii. Namun kekuasaan negara enggan diserahkan pihak junta tentera menurut lunas-lunas demokrasi kepada NLD.

Manakala Aung San Suu Kyii berada dalam tahanan rumah semenjak tahun 1989 lagi. Suu Kyii terus berada dalam tahanan rumah selama kira-kira 15 tahun daripada 21 tahun dari tahun 1989 ke tahun 2010.

Sepanjang pemerintahan junta tentera bawah nama Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara, berbagai pelanggaran hak asasi manusia dilakukan junta tentera terhadap warganya, para pimpinan dan aktivis politik, pengkritik kerajaan dan agamawan Buddha.

Pada September 2007, ribuan sami Buddha melancarkan demonstrasi membantah pemerintahan junta tentera. Human Rights Watch mencatatkan 21 kematian orang awam dan para sami Buddha akibat ditembak dan dipukul pihak tentera. Ratusan para sami ditangkap. Kira-kira 240 orang sami dikenakan hukuman pemenjaraan yang berat.

Darah yang tertumpah, air mata dan keringat yang kekeringan. Suatu pengorbanan yang tidak terhingga demi sebuah cita-cita demokrasi.

Tetapi peralihan kuasa daripada junta tentera ini dibuat secara bertahap dan masih tiada jaminan prosesnya akan lancar. Misalnya, krisis masyarakat Rohingya.

NLD menang besar dalam pilihan raya umum kedua Myanmar pada tahun 2015 yang lalu. Namun Aung San Suu Kyii tidak dapat menjadi presiden Myanmar kerana perlembagaan negara itu tidak membenarkannya. Hal ini meskipun, parlimen dan kerajaan Myanmar kini dikuasai parti NLD. Presiden Myanmar yang baru, Htin Kyaw merupakan loyalis Suu Kyii dalam parti NLD.

Pendemokrasian Myanmar ini punya kekurangan. Suku daripada kerusi parlimen masih milik tentera yang dilantik dan bukan dipilih dengan undi pilihan raya.

Ramai yang kecewa dan memang sepatutnya kecewa. Tetapi proses perubahan secara bertahap ini penting. Mari pula, kita kenang kembali sejarah politik Malaysia.

Sedekad sebelum merdeka, parti-parti kiri berjuang untuk kemerdekaan dengan laungan panji perjuangan “Merdeka dengan darah”. Kemudian darurat diisytiharkan pada 1948, ribuan pemimpin dan aktivis kiri ditangkap. Sepuluh tahun kemudian, Umno melaungkan slogan Merdeka dan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris.

Setelah merdeka, parti pembangkang Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh membentuk muafakat Barisan Sosialis. Umno bersama MIC dan MCA menamakan diri mereka Parti Perikatan.

Dipos ke Istana Negara?

Kemudian Barisan Sosialis dihancurkan. Ramai pimpinannya ditangkap. Barisan Sosialis memboikot pilihan raya umum 1969.

Setelah peristiwa 13 Mei 1969, Parti Perikatan bersama parti-parti lain membentuk gabungan baru bernama Barisan Nasional (BN).

Pentadbiran perdana menteri Abdul Razak Hussein dikelilingi penasihat dan menteri yang berideologi kiri, tokoh-tokoh seperti Abdul Samad Ismail, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid. Agenda sosialis dilaksanakan BN, seperti dasar reformasi agraria dengan memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah.

Tidak pelik, jikalau agenda perjuangan reformasi, pendemokrasian dan antirasuah akan dijuarai elit pemerintah yang sama dalam kerangka kekuasaan feudal Umno, BN dan raja-raja Melayu, sebagaimana pengalaman masa lalunya itu.

Begitulah prosesnya pendemokrasian. Jalan berliku masih panjang dan memakan korban yang bukan sedikit.

Barangkali, sebelum pilihan raya umum akan datang Najib Razak akan berkorban melepaskan jawatan perdana menteri. Jika Najib Razak tidak berkorban, seluruh negara akan terkorban.

Manakala Anwar Ibrahim telah pun dikorbankan kerjaya politiknya melalui pemenjaraan.

Pengorbanan yang akan meneruskan kelangsungan kekuasaan politik Umno, sebagaimana pengalaman lalunya. Sementara itu parti-parti pembangkang akan terus bertelagah sesama sendiri dengan pertarungan tiga empat penjuru dalam pilihan raya umum nanti.

Semangat Pakatan Rakyat masih diteruskan dalam Pakatan Harapan. Tetapi ia perlu masa untuk berkembang dan mendapat keyakinan rakyat.

Saya cuma menunggu kesudahan gerakan Deklarasi Rakyat ini. Adakah deklarasi ini akan dihantar ke Istana Negara? Adakah 1.27 juta rakyat yang menandatangani Deklarasi Rakyat akan hadir bersama-sama?

Atau ia cuma akan diposkan sahaja.

Lihat Komen
ADS