Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Saya tiada dendam peribadi dengan Mahathir, Najib
Diterbitkan:  Mar 23, 2016 11:34 AM
Dikemaskini: 4:32 AM

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau tidak menyimpan ‘dendam peribadi’ terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mahupun dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya sudah maafkan semua orang lama dahulu.

"Pertarungan saya bukan bersifat peribadi; ia adalah mengenai pembaharuan institusi Saya tidak mempunyai dendam peribadi dengan Mahathir mahupun Najib," kata Anwar kepada Channel News Asia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam ketika beliau muncul sebagai peguam sendiri dalam kes saman fitnah .

Februari lalu, Anwar telah disabitkan dengan apa yang didakwanya sebagai rekaan tuduhan meliwat dan dihumban ke penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman lima tahun.

Pada tahun 1998, ketika itu memegang jawatan timbalan perdana menteri, Anwar dipecat dan dipenjarakan selepas ‘bergeseran’ dengan Dr Mahathir yang adalah perdana menteri ketika itu.

Walau bagaimanapun, pada awal bulan ini, Anwar menyatakan sokongannya terhadap Dr Mahathir dan menggesa parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk bersama menjayakan Deklarasi Rakyat yang dipelopori oleh seteru politiknya.

Beberapa pemimpin utama, dari kedua-dua belah politik dan juga masyarakat awam memeterai deklarasi itu atas kapasiti peribadi masing-masing yang antara lain menuntut penyingkiran Najib sebagai perdana menteri dan pembaharuan institusi.

Najib terpalit dengan skandal kewangan sejak tahun lalu apabila syarikat pelaburan negara, 1MDB yang diilhamkannya sarat dengan hutang sedangkan dana M2.6 bilion didapati berada dalam akaun bank peribadinya.

Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang berkenaan adalah sumbangan politik.

Awal tahun ini, Peguam Negara mengumumkan bahawa beliau tidak akan meneruskan tuduhan terhadap Najib selepas mengkaji kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung siasatan ke atas perkara itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS