Seorang yang sedang bergelut untuk 'survival' kerjaya politiknya, masih mampu berkhutbah tentang prinsip hidupnya. Ini mungkin suatu keistimewaan politikus Umno yang berbuih-buih beretorik tentang agama, bangsa dan negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, khususnya, merujuk kepada perbualan Imam al-Ghazali dengan anak muridnya untuk menegaskan keinsafan (malah menjadi prinsip hidup) beliau tentang lima perkara yang paling dekat, paling besar, paling berat, paling ringan dan paling tajam.

Sudah barang tentu seseorang yang tidak menjauhi mati adalah berani; yang sudi mengawal nafsu tidak akan tamak dan rasuah; yang memberatkan amanah tidak akan memecahkannya; yang tidak meringankan sembahyang akan sentiasa serah ke kudrat illahi; dan yang insaf tentang ketajaman lidah tidak akan terlanjur kata atau memfitnah.

Jelas sekali, beliau cuba meyakinkan kawan dan lawan bahawa beliau seorang yang kuat beriman, berani, amanah, pandai mengawal nafsu, dan pantang memfitnah/difitnah. Makin kuat seseorang itu cuba menonjolkan prinsip hidupnya, makin menonjol pula krisis keperibadiannya. Apatah lagi "cakap tak serupa bikin" sudah menjadi satu amalan yang lumrah!

Campurtangan Perdana Menteri

Dalam masa beberapa minggu saja, keangkuhan/keyakinan beliau dalam mengisyhtiharkan semuanya 'ok' berhubung projek pembangunan yang menjejaskan alam sekitar Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam. Tetapi semuanya menjadi tidak 'ok' kerana campurtangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, yang mengarahkan supaya beberapa tindakan keras dan tegas diambil oleh kerajaan Selangor, termasuk:

  • Semua projek pembangunan berhampiran bukit atau kawasan sensitif yang boleh menjejaskan alam sekitar di Selangor, dibekukan berkuatkuasa serta-merta;
  • Pembangunan di kawasan Seksyen U10 (atau dalam mana-mana kawasan seluas 20 hektar), perlu menyediakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Ikram serta Jabatan Mineral dan Geosains sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil;
  • Tidak dibenarkan penebangan pokok yang bersaiz lebih daripada enam hingga lapan inci;
  • Tanah yang diperuntukkan bagi pembangunan tetapi dibiarkan saja, hendaklah diambilalih dan dijadikan kawasan rekreasi untuk orang awam;
  • Suatu Jawatankuasa Khas Teknikal Pembangunan berhampiran kawasan sensitif alam sekitar yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajan Negeri, dan dianggotai semua ketua jabatan terbabit di peringkat persekutuan dan negeri, termasuk jabatan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah dibentuk, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak dibenarkan melulus dan menjalankan apa-apa keputusan sebelum ianya dirujuk kepada jawatankuasa tersebut;
  • Syarikat-syarikat Pemaju yang tidak mengikut peraturan, termasuk PKNS, Restu Mantap Sdn Bhd dan Dacing Kota Sdn Bhd, telah didakwa di mahkamah, manakala yang lainnya masih dalam siasatan.

'Kambing hitam'

Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri pimpinan menteri besar, berkuasa dan bertanggungjawab atas dasar pembangunan dan memeliharaan alam sekitarnya. Jadi bukan PBT seperti Majlis Perbandaran Syah Alam (MPSA) sahaja yang patut dijadikan 'kambing hitam' dalam skandal terbabit, seperti cuba dikelirukan oleh Khir Toyo.

Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam pada mulanya adalah kawasan tadahan air yang tidak boleh diterokai. Namun pada tahun 1992, status tadahan air tersebut telah diubah dan dijadikan kawasan pembangunan keseluruhannya.

Menurut Khir Toyo, berdasarkan keperluan 30 peratus 'Kawasan Hijau' status pembangunan Taman Pertanian diubah semula kepada status kawasan tadahan air yang tidak boleh diubahkan lagi.

Pencerobohan kawasan Taman Pertanian tidak mengejutkan Tan Sri Sanusi Junid, bekas Menteri Pertanian yang amat menyayangi taman pertanian tersebut. Beliau hanya merasa malu dan takut malu kerana skandal terbabit telah berlaku, dan takut tanah seluas 3,000 hektar yang bernilai hampir RM3 bilion itu, akan mendorong nafsu manusia yang sukar dipenuhi itu.

Mungkin Perdana Menteri juga merasa malu dan takut seperti Sanusi. Oleh itu dicadangkan agar taman pertanian itu diambilalih oleh kerajaan pusat. Nampaknya Sultan Selangor, di bawah nasihat kerajaan negeri, enggan memperkenan untuk melepaskan taman yang begitu bernilai sekali. Penyelesaian cara lain terpaksa difikirkan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin, cadangan baru mungkin merupakan saranan agar taman pertanian itu disewakan kepada kerajaan pusat untuk suatu jangka masa yang agak panjang, atau ianya diwartakan sebagai kawasan simpanan pertanian negara.

Membersihkan diri

Dengan kata lain, kerajaan pusat sudah tidak berani hendak mengamanahkan taman pertanian yang amat bernilai itu untuk dikendalikan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Khir Toyo, bagi mengelak ianya diceroboh lagi, atau mengalami nasib yang sama seperti pada tahun 1992, apabila statusnya menjadi tanah pembangunan sekali lagi.

Jika 20 kes rasuah yang diadukan oleh aktivis media Ahmad Lutfi Othman kepada polis dahulu gagal menggoncangkan kedudukan Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor, kali ini beliau mungkin tidak begitu bernasib baik lagi.

Beliau sendiri cukup sedar tentang agenda politik yang tersembunyi di belakang pendedahan skandal taman pertanian terbabit. Tidak dapat dinafikan bahawa kini persepsi skandal sudah terbentuk. Jika tidak, apa perlunya Jawatankuasa Khas Teknikal Pembangunan dianggotai pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah?

Pendirian Perdana Menteri yang secara terbuka menegaskan bahawa beliau menyerahkannya kepada BPR sama perlu menyiasat isu kemusnahan alam sekitar di kawasan berhampiran Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam sudah menjelaskan bahawa beliau tidak akan melindungi Khir Toyo jika ia perlu disiasat oleh BPR.

Kerana, tanpa siasatan BPR, rasanya Khir Toyo memang sukar hendak membersihkan dirinya daripada dituduh mempunyai kepentingan melalui proksinya dalam beberapa syarikat di antara 35 pemaju terbabit.

Andainya ada sebarang bukti terjatuh ke tangan musuh politik Khir Toyo di sebalik pembongkaran skandal taman pertanian kali ini, ia mungkin menandakan berakhirnya riwayat politik Khir Toyo yang mendakwa berpolitik untuk mencari kawan, tetapi sebaliknya dimusuhi dan cuba ditumbangkan!