Bulan madu sudah berakhir! Itulah yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) baru-baru ini berhubung kerajaan pimpinannnya.

Bulan ini genap setahun kerajaan Pak Lah diberi mandat oleh rakyat melalui pilihanraya umum ke-11 tahun lalu. Setahun adalah satu tempoh yang lama dalam konteks pilihanraya lima tahun sekali.

Sepatutnya tempoh bulan madu itu lebih singkat, tiga bulan sahaja bagi memastikan segala janji dan agenda kerajaan terlaksana sebelum masuk tahun ke empat kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat itu.

Dalam konteks kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang, sepatutnyalah semua atau sebahagian janji-janji pilihanrayanya ditunaikan sebelum tahun 2008. Ini kerana, selepas tahun keempat, demam pilihanraya akan menghantui para pemimpin dan rakyat. Tempoh 12 bulan terakhir itu akan dipenuhi program politik.

Setelah setahun berlalu, Pak Lah sedar rakyat sedang menilai prestasinya dan anggota kabinetnya. Rakyat sedang meninjau gelagat wakil rakyat mereka. Segala janji manis ketika berkempen dulu, sedang dikorek untuk dibangkitkan semula.

Banyak cabaran, dugaan dan kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Pak Lah sepanjang 12 bulan pertama pemerintahannnya. Yang paling ketara, kerajaan telah memberi dimensi baru kepada sektor pertanian negara. Bidang yang diabaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dulu kembali segar dan menonjolkan peranannya. Ia mahu dijadikan penjana sumber ekonomi ketiga negara.

Secara langsung ia menunjukkan kesunggguhan kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kalangan petani, nelayan dan peneroka kerana program memajukan sektor pertanian berkait rapat dengan golongan tersebut.

Dan pihak yang paling awal menerima kesan positif daripada langkah Pak Lah itu ialah Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyidin Yassin. Beliau menjadi antara orang terpenting agenda politik dan pembangunan negara sekarang.

Islam Hadhari

Selain agenda pertanian, kerajaan Pak Lah juga sedang giat mewar-warkan konsep Islam Hadharinya. Kejayaan konsep ini masih jauh kerana sebahagian besar rakyat masih tidak faham apa sebenarnya Islam hadhari.

Walaupun disebut hampir setiap hari di media massa, namun penerangan dan penjelasan kepada rakyat tidak berjalan dengan berkesan. Sebahagian besar orang Islam negara ini hanya tahu menyebut konsep itu tetapi tidak mengerti apa sebenar maksudnya.

Malah, ada yang keliru. Adakah ini satu mazhab baru? Dengan adanya perbezaan pendapat dengan para pemimpin PAS mengenai konsep ini, rakyat makin "pening", hingga ramai yang memandang sinis pada konsep yang diwar-warkan oleh Pak Lah itu.

Kesimpulannya, konsep Islam Hadhari belum sampai ke arah umbi, masih banyak kerja perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat memahami dan menyerapkannya dalam kehidupan mereka. Ada ketikanya Pak Lah seolah-olah keseorangan dalam memperjuangkan konsep ini.

Selain itu, kerajaan Pak Lah juga sedang menghadapi beberapa cabaran serius. Salah satu daripadanya ialah masalah graduan menggangur. Angkanya mencecah 80,000 orang sekarang. Satu jumlah yang besar dan sangat serius serta perlu ditangani segera. Pak Lah telah mengarahkan Skim Graduan Menggangur dilancarkan semula bagi mengatasi masalah itu.

Skim ini pernah dilaksanakan dengan jayanya pada tahun 1980-an dulu. Ini bererti kerajaan perlu menyediakan bajet yang besar. Elaun sekurang-kurangnya RM600 sebulan perlu diberi kepada setiap graduan yang menyertai skim ini. Nampaknya Rancangan Malaysia Kesembilan mempunyai beban yang lebih besar.

Bagi sektor perdagangan bumiputera pula, tempoh setahun kerajaan Pak Lah adalah satu jangka masa yang perit bagi mereka. Banyak kontraktor, perunding dan usahawan merungut kekurangan projek kerajaan dan swasta kebelakangan ini. Malah ada yang tercekik kerana bayaran bagi kerja-kerja yang telah dilaksanakan, agak lewat diterima.

Beberapa hari lalu dilaporkan 50,000 kontraktor Melayu di seluruh negara sedang "daif dan tenat". Sebahagian besar daripada mereka adalah kontraktor kelas "F". Kini ramai antara mereka membanding "kemewahan" di era Tun Dr Mahathir dengan "kelembapan" di zaman Pak Lah.

Kononnya antara sebab kelembapan itu ialah tindakan kerajaan membatalkan atau menangguhkan serta mengecilkan saiz projek-projek mega. Selain itu, kelembapan itu juga dikaitkan dengan kesuraman ekonomi antarabangsa yang telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan.

Ingatan pada YB

Suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan ini meletakkan kerajan di dalam dilema kerana pada masa yang sama para pemimpin negara masih menggembar-gemburkan ekonomi negara sedang tumbuh dengan pesatnya.

Pengamatan penulis juga mendapati cabaran menjayakan janji-janji pilihanraya paling ketara dihadapi oleh karajaan BN Terengganu. Desakan terhadap perkara itu sangat ketara, terutamanya bagi melaksanakan janji-janji dalam manifesto tambahannnya.

Syabas kepada rakyat Terengganu kerana berani menuntut hak mereka. Mereka mendesak dibina sebuah universiti awam di negeri itu sebagaimana yang dijanjikan semasa kempen pilihanraya dulu.

Sabtu lalu Pak Lah mengumumkan Universiti Darul Iman akan dibina tidak lama lagi. Rakyat Terengganu juga mahukan lebuhraya, lapangan terbang baru, sekolah bestari, projek pembangunan, industri baru dan bantuan kewangan.

Memang mereka wajar menagih janji. Janji mesti dikota. Mereka telah berkorban menolak kerajaan PAS pimpinan Datuk Seri Hadi Awang. Sewajarnya mereka diberi ganjaran. Undi yang diberi ada harganya.

Orang Terengganu memang pandai berpolitik. Kini mereka sedang menilai prestasi kerajaan Datuk Seri Idris Jusoh dalam menunaikan segala janji politiknya. Kerajaan BN Terengganu tidak boleh tidur lena. Kalau terlalai dan lupa janji, tidak mustahil "gelombang hijau" akan muncul semula untuk menggantikan "gelombang biru".

Cabaran yang dihadapi oleh Idris dan barisan wakil rakyatnya lebih besar berbanding rakan sejawatan mereka di negeri lain. Kerajaan BN Terengganu langsung tidak mempunyai masa untuk 'bulan madu'. Mungkin sudah sampai masanya rakyat negeri lain belajar berpolitik dari orang Terengganu.

Kesimpulannya, kenyataan Pak Lah berhubung berakhirnya tempoh bulan madu itu adalah satu peringatan atau amaran kepada orang-orang politik supaya muhasabah diri. Beliau mahu menyedarkan mereka bahawa tempoh untuk berkhidmat semakin pendek tetapi masih banyak janji, kerja dan agenda yang belum dilaksanakan.

Beliau mahu para Yang Berhormat bangkit dari khayalan. Pak Lah mahu para YB berpijak di bumi nyata. Mereka boleh dibuang oleh parti atau pengundi apabila tiba masanya jika rekod prestasi buruk.