Opinion

Mahathir dilema pembangkang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdebatan tentang persoalan kewujudan Tuhan, sering diusik dengan soalan nakal, "Mampukah Tuhan mencipta seketul batu yang gagal diangkat oleh diri-Nya?"

Perbahasan ini boleh berlanjutan berdekad-dekad, namun soalan yang terpampang di depan mata rakyat Malaysia pada saat-saat ini adalah, sama ada Mahathir Mohamad mampu membinasakan satu sistem yang dicipta oleh dirinya sendiri?

Mungkin ada yang teruja apabila Mahathir menyatakan hasratnya untuk mengasaskan sebuah parti baru, dan kemudian menyatukan parti pembangkang dalam satu pakatan yang lebih besar. Masalah pembangkang jauh lebih rumit apabila kita memijak kaki ke bumi. Rundingan kerusi untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semestinya tegang antara PAS dengan Pakatan Harapan, terutamanya Parti Amanah Negara (AMANAH). Jadi, apakah asas logiknya bahawa ketegangan ini boleh diredakan dengan bertambahnya satu parti baru untuk melawan Umno-BN?

Ini babak politik pilihan raya, yang berkisar pada percaturan strategi -- bagaimana memaksimumkan momentum bagi menumbangkan satu rejim yang memerintah untuk lebih setengah abad, dalam kekangan sistem politik yang sedia ada. Ia penting kerana suara majoriti undi tidak semestinya diterjemahkan setepatnya kepada jumlah kerusi yang diperoleh, apatah lagi seandainya "undi tolak BN" dipecah-belahkan dalam perang tiga atau lebih penjuru, memberi laluan yang lebih mudah untuk BN dalam sistem first-past-the-post.

Namun demikian, di sebalik kebuntuan rundingan antara pembangkang pada saat-saat Perdana Menteri Najib Razak berdepan dengan krisis integriti, pembangkang sebenarnya tersepit dalam dilema, dikeruhkan lagi dengan kehadiran Mahathir Mohamad. Selagi dilema ini gagal ditemui jalan penyelesaiannya, maka apapun tindakan politik pembangkang akan jadi serba tidak kena.

Bekas diktator lwn diktator sekarang

Persoalannya, bagaimana pembangkang mengolah restu penyokongnya untuk bekerjasama dengan bekas diktator dalam usaha menumbangkan diktator sedia ada?

Hakikatnya, sokongan majoriti 51 peratus yang diraih pembangkang dalam PRU13 tetap kurang meyakinkan dalam konteks politik Malaysia. Apatah lagi sokongan ini berpecah selepas terkuburnya Pakatan Rakyat. Realiti ini mendesak pembangkang untuk menerima Mahathir, yang nampaknya paling berpotensi untuk menarik sokongan daripada Umno.

Tetapi, sosok Mahathir mengundang pertikaian. Pembangkang menjadi serba salah apabila berdepan dengan Anwar Ibrahim yang kini meringkuk dalam penjara Sungai Buloh. Anwar menggadaikan kebebasan dirinya sejak 18 tahun lalu demi perjuangan pendemokrasian politik Malaysia. Sudah tentu ia tidak adil bagi Anwar yang dikorbankan dalam perjuangan ini, jikalau Mahathir dijulang untuk mengepalai pembangkang, lebih-lebih lagi Mahathir terus menyinggung Anwar dan keluarganya tanpa sehiris rasa bersalah.

Ia bukan sekadar untuk menjaga hati Anwar dan keluarga, tetapi persoalan bagaimana kita berdepan dengan sejarah dan masa depan. Mahathir adalah pencipta sebuah sistem yang bertunjangkan Mahathirisme. Mahathirisme kekal berakar umbi dan berkembang dalam sistem ini, meskipun sudah 13 tahun Mahathir berundur. Kini, Najib adalah pewaris dan pengamal Mahathirisme. Mahathir bertekad menjatuhkan Najib tetapi tidak berhasrat untuk membinasakan Mahathirisme.

Di sini masalahnya. Mahathir enggan memohon maaf sehingga hari ini, atas kebobrokan dan kebinasaan yang dilakukannya ke atas sistem politik negara. Mahathir hanya menuding jari kepada Najib, mengandaikan Malaysia boleh diselamatkan hanya dengan menyingkirkan Najib. Andaian sedemikian menimbulkan tanda soal, apakah matlamat, dasar dan hala tuju parti yang bakal ditubuhkan Mahathir? Apakah parti ini akan dibubarkan selepas Najib berundur?

Kesemua ini menjadi penghalang untuk kebanyakan aktivis gerakan sosial dan penyokong pembangkang sebelum menerima Mahathir. Ia hampir membawa maksud bahawa seseorang bekas diktator boleh dinobatkan sebagai pejuang demokrasi tanpa perlu mengaku salah, memohon maaf dan menjanjikan komitmennya untuk mereformasikan sistem yang bobrok.

Pengaruh Mahathir

Kedegilan dan keangkuhan Mahathir sebenarnya yang membuatkan aktivis dan penyokong pembangkang teragak-agak untuk menyokongnya. Anwar membayar harga enam tahun dalam penjara sebelum dimaafkan mereka yang bersyak wasangka terhadapnya, lantaran apa yang dilakukan sepanjang tempoh 16 tahun dalam Umno-BN. Anwar menunjukkan komitmennya terhadap perjuangan demokrasi dan keadilan selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004. Pengorbanan Anwar ini menyemarakkan sokongan massa terhadap dirinya.

Mahathir sepatutnya terkesan apabila Deklarasi Rakyat mengambil tempoh lebih dua bulan untuk mencukupkan sejuta tandatangan, itu pun dicapai atas usaha segelintir aktivis NGO dan pembangkang yang berhempas pulas ke hulu dan ke hilir. Tidak keterlaluan seandainya dikatakan Deklarasi Rakyat sebenarnya tidak mendapat sambutan sebagaimana yang diharapkan, meskipun pendedahan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion semakin hari semakin membeliakkan mata.

Sudah tentu kita masih ingat bagaimana perselisihan berlaku di kalangan NGO dengan kehadiran Mahathir. Mereka yang bersikap positif terhadap kerjasama dengan Mahathir gagal meyakinkan mereka yang kekal meragui motif Mahathir. Dua alasan sahaja yang mengangguk untuk kerjasama ini pada ketika itu. Pertama, Mahathir mampu menarik sokongan dari luar pembangkang; Kedua, tiada pilihan alternatif yang lebih baik untuk menerokai kemungkinan menumbangkan Najib.

Alasan pertama hampir direnyukkan selepas pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Mahathir turun ke gelanggang untuk berkempen tetapi hakisan sokongan terhadap Umno amat tidak jelas. Alasan kedua juga dipertikaikan, kerana sungguhpun kerjasama Mahathir menjadi salah satu pilihan alternatif, tetapi jalan ini nampaknya tidak membawa kita ke mana-mana, untuk setakat ini.

Bagaimana dengan BERSIH 5.0?

Jadi, apa seterusnya? Mustahil kita membawa perubahan dengan mengulangi kaedah yang sama. Sesungguhnya pendedahan skandal 1MDB mencetuskan gelombang kemarahan di media sosial, dan kemungkinan Bersih 5.0 akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk mendesak agar Najib meletak jawatan, namun apakah ia akan berakhir sebagaimana kesudahan BERSIH 4 pada tahun lalu?

Ya, Mahathir mungkin hadir, malah beliau mungkin berkempen untuk BERSIH 5.0 sebelum ia diadakan. Namun apa yang dibimbangkan adalah, retakan dalam gerakan sosial dan pembangkang yang masih belum dilekatkan semula. Akan timbul pertikaian kelak samada aktivis patut menyediakan pentas untuk Mahathir, dan disusuli dengan tindakan boikot. Atau, apakah Mahathir akan "hijack" BERSIH 5.0? Apa langkah seterusnya? Siapa pula menjadi Perdana Menteri? Kesemua ini mungkin menjadikan sambutan BERSIH 5.0 sedingin Deklarasi Rakyat, dan sekali lagi Najib berjaya melanjutkan talian hayatnya.

Padahal, Mahathir tidak memiliki modal untuk terus berkeras kepala dan berhidung tinggi. Bekas diktator yang berusia 91 tahun ini harus sedar bahawa dirinya gagal meraih populariti di kedua-dua pihak, sama ada penyokong Umno-BN, mahupun penyokong pembangkang jikalau dirinya kekal sedemikian. Dosa Mahathir terhadap demokrasi Malaysia tidak terpadam selagi dirinya enggan mengakui kesalahan. Sementara Najib sedang membinasakan Mahathir dengan cara Mahathirisme. Cuba bayangkan, bagaimana nama Mahathir dipahat dalam sejarah selepas pemergian beliau pada satu hari nanti?

Mahathir harus memilih, menebus dosanya atau terus berdegil. Beliau menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana dirinya dipinggirkan orang Umno selepas berundur dari mercu kuasa. Akhirnya beliau sendiri merasai padahnya untuk melabel penentang rasuah sebagai pengkhianat bangsa Melayu. Kesemua ludah ke atas Anwar Ibrahim akhirnya jatuh ke muka Mahathir sendiri.

Sebenarnya, Mahathir telah pun akur (meskipun enggan mengakuinya) sebaik sahaja menyatakan kesediaan untuk berunding dengan pembangkang, khususnya PKR. PKR diasaskan pada tahun 1999 tatkala gelombang reformasi mengombak, menuntut agar Mahathir berundur. Sungguhpun demikian, PKR tidak dibubarkan selepas Mahathir berundur; malah terus bertahan dengan satu kerusi parlimen selepas Anwar dibebaskan pada tahun 2004. Ini membuktikan bahawa perjuangan PKR meluncur di landasan yang benar. Mahathir terpaksa bekerjasama dengan satu parti yang satu ketika dahulu, dituduhnya sebagai pengkhianat dan pembelot.

Tidak dinafikan, kemelut pembangkang kini juga disebabkan tiada pemimpin yang berwibawa di kalangan pembangkang. Sama ada Hadi Awang, Mohamad Sabu mahupun Lim Kit Siang, ketiga-tiganya gagal ditampilkan sebagai calon perdana menteri. PKR pula terjerumus dalam perbalahan dalaman parti, sehingga tiada pemimpin yang cukup berwibawa untuk mengemudi pembangkang. Kekosongan kepimpinan inilah yang mengakibatkan segala fokus ditumpukan kepada Mahathir. Kelemahan pembangkang inilah yang mencetuskan kekhuatiran dan kesangsian sama ada gerakan pembangkang akan kena hijack atau diperalatkan oleh Mahathir.

Sudah beberapa kali pembangkang terlepas peluang keemasannya untuk menjatuhkan Najib. Ketidaksepakatan di kalangan pembangkang dan aktivis sosial tidak akan membawa gerakan ini ke mana, sungguhpun disokong dengan perhimpunan massa secara besar-besaran. Lebih baik gerakan pembangkang dan NGO menyelesaikan dilema sendiri, menyusun langkah secara teratur dan terancang, sebelum berdepan dengan kejahatan yang berorganisasi dan bersistematik.


LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu serta penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?.