Wakli rakyat mengeluh tidak cukup duit sebab sering kena "pau" apabila pulang ke kawasan. Sama ada pergi kenduri, ke majlis, mengadakan acara atau tidak buat majlis, tetap kena pau (beri sumbangan).

Terlalu kerap balik kawasan dan sering kena pau, elaun RM56 ribu setahun menjadi tidak cukup untuk menampung perbelanjaan sendiri dan tugas harian.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz yang membangkitkan perkara itu di sidang Dewan Rakyat baru-baru ini mencadangkan agar elaun itu dinaikkan kepada antara RM18 ribu hingga RM20 ribu sebulan.

Amboiiii.mengalahkan gaji Perdana Menteri! Berganda-ganda kenaikan yang diminta, sampai 300 peratus. Tentunya ramai pemimpin kesatuan sekerja terbeliak mata melihat cadangan wakil rakyat itu.

Namun jika diteliti sebaik-baiknya cadangan tersebut, memang ada logik dan relevannya. Tugas sebagai wakil rakyat sekarang memang tidak boleh dipisahkan dengan wang.

Ke mana sahaja mereka melangkah, duit mesti keluar. Para penyokong atau rakyat yang dilawati sentiasa mengharap perkhidmatan, bantuan material atau sumbangan dana dari "YB" mereka. Seorang wakil rakyat pernah merungut bahawa beliau takut untuk balik kawasan kalau tidak ada sekurang-kurangnya RM500 dalam poket.

Katanya, sekurang-kurang RM100 kena hulur juga kalaupun di majlis orang mati. Inilah akibatnya apabila rakyat telah dimanjakan. Orang kampung sekarang "demanding".

Dalam kepala mereka sudah tertanam tanggapan; "YB" (terutamanya dari parti kerajaan) boleh membantu apa sahaja.

Beban kewangan

Para penyokong berfikir adalah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk membantu atau menaja projek dan program mereka. Sikap ini bukannya baru, sudah lama tumbuh subur dari dari satu pilihanraya ke musim pilihanraya lain. Bagi mereka "YB" yang tidak lokek adalah wakil rakyat yang terbaik. Merek tidak fikir beban kewangan yang ditanggung oleh pemimpin mereka itu.

Bagi rakyat, para "YB" adalah orang kaya. Kalau boleh ke kampung dengan kereta mewah "bermata belalang" atau pacuan empat roda berharga beratus ribu ringgit, itu bermakna wakil rakyat mereka sentiasa punya wang berkepuk di saku. Tambahan pula mereka berfikir, apa salahnya wakil rakyat menghulur sekali sekala, sebagai membalas budi kerana telah mengundinya.

Oleh itu, para wakil rakyat tidak boleh menyalahkan rakyat atau penyokong yang bersikap demikian. Mereka kena salahkan diri sendiri juga. Dulu, masa berkempen, sanggup berjanji apa sahaja, duit keluar macam air mengalir. Langsung tidak berkira, begitu dermawan.

Lantas kini rakyat menuntut janji. Mereka bukan sahaja mahu projek tetapi sumbangan peribadi para "YB". Mereka tidak rasa bersalah untuk "pau" wakil rakyat kerana semasa kempen pilihanraya dulu bakal-bakal "YB" telah menyatakan kesediaan untuk menjadi "kuli rakyat".

Pada YB yang "berhutang" dengan rakyat, maka kini tiba masa untuk membayarnya.

Para wakil rakyat juga tidak boleh mengeluh dengan sikap rakyat dan jumlah elaun yang kecil itu kerana dari awal lagi mereka telah sedar keadaan itu. Mereka tahu elaun tidak seberapa berbanding dengan beban tugas. Tetapi kenapa ramai yang berebut-rebut mahukan jawatan itu hingga ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk bergelar "YB"?.

Sebenarnya ramai orang politik menganggap menjadi wakil rakyat adalah stau keistimewaan. Mereka berpendapat ia adalah batu loncatan untuk menjadi orang kaya baru (OKB). Jalan pintas untuk mendapat gelaran "Datuk", mengumpul harta, berkereta besar, meraih kontrak dan konsesi balak.

Perguna para 'balaci'

Kini, setelah bergelar "YB" (malah ada yang sudah berpenggal-penggal) tidak perlulah mengeluh bila kena "pau". Sebenarnya apa yang diminta oleh rakyat itu terlalu kecil. Berpatutan dengan segala sokongan dan pengorbanan yang diberikan kepada kerajaan dan parti selama ini.

Tambahan pula, para YB mempunyai ramai "penaja". Ke mana pergi pun ada sahaja "balaci" yang mengikut, yang sanggup menghulur bagi pihak YB. Para YB pergunakanlah para "balaci" yang telah banyak mendapat faedah hasil hubungan dengan YB itu untuk menghulur kepada rakyat.

Inilah masanya untuk "mengetuk" mereka demi kepentingan para penyokong. Janganlah mengetuk para "balaci" untuk kepentingan sendiri sahaja.

Rakyat bukan bodoh seperti dulu. Mereka tahu menilai sikap dan kedudukan wakil rakyat masing-masing. Mereka tahu siapa yang sering keluar masuk rumah dan pejabat YB. Rakyat tahu siapa yang sering mendapat kontrak dan projek dari hubungan dengan YB. Malah mereka juga tahu siapa yang menjadi proksi YB dalam segala urusan politik dan perniagaannya.

Oleh itu, bagi rakyat, tidak timbul langsung soal YB tidak cukup duit. Bagi mereka memanglah elaunnya kecil tetapi faedah-faedah sampingannya sangat besar. Kalau tidak masakan yang baru setahun jadi wakil rakyat sudah boleh berkereta mewah, berumah banglo, bercuti ke luar negara dan ada yang tambah bini!

Mungkin sudah sampai masanya bagi wakil rakyat yang merasakan elaun yang diberi terlalu kecil dan tugas sebagai wakil rakyat membebankan. mengundurkan diri.