Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Imam ‘Allal al-Fasi dalam kitab Maqasid Syariah wa Makarimuha menyatakan bahawa pemikiran undang-undang itu lahir daripada ajaran agama.

Pandangan ini menarik kita kepada dua konotasi. Pertama, menerusi agama sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat boleh tercapai.

Kedua, ajaran agama juga boleh disalah guna untuk merosakkan sistem masyarakat dengan menyekat kebebasan.

Agama sering kali dikaitkan dengan zaman gelap orang Eropah suatu ketika dahulu.

Ketika itu berlaku manipulasi besar-besaran terhadap tokoh dan ahli falsafah teologi Kristian untuk mempertahankan raja yang zalim.

Dari abad pertengahan hingga tercetusnya Revolusi Perancis 1789, aliran teologi amat berkuasa di Eropah dan kelompok agamawan telah diangkat menjadi pegawai tinggi raja-raja di Eropah.

Sebagai reaksi kepada keadaan ini, maka muncul pihak penentang seperti Rousseau, Montesque, dan Hegel yang secara tidak langsung menentang seluruh ajaran teologi ini yang didakwa menjadi batu asas kepada kerosakan sistem keadilan di benua Eropah.

Melihat kepada konteks perbincangan semasa, seperti yang sering ditekankan oleh ulama muktabar Sheikh Dr Ahmed Raissouni, golongan agamawan khususnya para ulama kini gagal untuk membawa Islam dalam menanggapi perkara-perkara meliputi isu kebebasan, hak dan kesamarataan.

Ini yang diungkapkan beliau: “Maqasid yang diperlukan sekarang adalah hurriyyah (pembebasan).”

Malah, dalam wacana kebebasan dan Islam, kita sering bermula dengan premis negatif dengan mengutamakan istilah “batas”, “had”, dan “konteks” tanpa melihat kepada inti pati kebebasan terlebih dahulu.

Pemikiran defensif sebegini pasti akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh sang penguasa untuk menghalalkan tindakan mereka dalam menafikan hak seseorang warganegara.

Perbahasan hak asasi dan kebebasan dihijabkan

Malang sekali kita dijarakkan malah dihijabkan daripada khazanah perbahasan berkenaan isu kebebasan dan hak yang sudah lama tertanam menjadi peninggalan tokoh-tokoh ulama silam.

Sebaliknya, perbincangan kita hari ini hanya lebih berkisar terhadap persoalan hukum dan kewajipan rakyat dalam sesebuah negara.

Misalnya kitab-kitab tulisan Abd Rahman al-Al-Kawakibi Tabai’ al-Istibdad dan al-Hukuma al-adila berkenaan kebebasan dan hak rakyat telah menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat pada kurun ke-18.

Pandangan Al-Kawakibi justeru menekankan kepentingan ilmu khususnya dalam menyebar luas idea kebebasan untuk tidak tunduk kepada kezaliman penguasa.

Namun, bagi beliau ilmu semata-mata sama sekali tidak akan menakutkan penguasa yang zalim melainkan dengan kebijaksanaan berasaskan ilmu tersebut untuk membuka minda serta menyedarkan rakyat tentang hak asasi.

Tambah Kawakibi, penguasa zalim pasti tidak akan takut dengan ilmuwan teologi kerana mereka percayai ilmuwan sebegini tidak akan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk membuka selendang kejahilannya dan masyarakatnya, melainkan hanya sebagai hobi kerana rasa ghairah terhadap sesuatu ilmu semata-mata.

Lebih menakutkan, kelompok ini yang apabila sudah menjadi figura dalam masyarakat akan diperalat oleh penguasa zalim menerusi apa saja cara yang boleh untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Ini yang diistilahkan oleh al-Kawakibi sebagai golongan al-mutamajjidun iaitu mereka yang mencari penghormatan palsu.

Istibdad atau kediktatoran

Selain menggali khazanah lalu, ijtihad ulama muktabar dalam menanggapi isu kontemporari perlu dijadikan landasan.

Pentas perbincangan yang sebelum ini atas maudhu’ siyasah yang hanya menyerahkan segala kewajipan dan kuasa kepada pemerintah semata-mata mungkin perlu digantikan dengan landasan yang lebih meyakinkan.

Ini termasuk beberapa karya penting Sheikh Dr Ahmed Raissouni seperti Al-Ummah hia Al-Asli (kuasa rakyat) adalah sesuatu yang amat mencerahkan.

Bagi beliau, ummah atau rakyat adalah pemilik kuasa yang sebenar dalam sesebuah daulah berdasarkan surah An-Nur: 55.

“Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman dalam kalangan kamu dan mereka yang mengerjakan amal salih, Dia pasti akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan pasti Dia akan meneguhkan untuk mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka.”

Kekusutan dalam perbahasan mengenai isu-isu kebebasan dan hak turut disebabkan faktor ketidakfahaman tentang prinsip demokrasi dan agama.

Konsep pemerintahan melalui suara majoriti (aghlabiyyah) ini adalah prinsip yang pernah diamalkan oleh tokoh dan ulama silam.

Sebagai contoh ketika Abu Bakar as-Siddiq RA diberi penyataan taat setia, beliau dibaiah sebahagian konsensus dan bukan diberi baiah dengan konsensus penuh (ijmak).

Justeru menurut Raissouni, pelantikan Abu Bakar as-Siddiq bukan berlaku secara ijmak tetapi beliau diberi baiah oleh suara majoriti dan ummah akur dengan pelantikannya.

Ini kerana sejak hari pertama, terdapat sebilangan sahabat yang memandang baiah ini tidak kukuh dan tidak sahih kerana wujud pandangan individu lain yang lebih afdal.

Para ulama muktamabar yang konsisten membawa diskusi kebebasan dan hak asasi sebagai paksi penting dalam Islam melihat sekatan kebebasan dan kediktatoran sebagai satu bentuk kemungkaran yang mungkin masih kelabu di mata sebahagian golongan.

Malah mereka berpendirian “kediktatoran dan sekatan kebebasan itu adalah perang saudara yang tertangguh”.

Menerusi kediktatoran sistem masyarakat yang adil, bebas, dan saksama akan rosak dan seterusnya meletuskan perang saudara dalam sesebuah negara yang mudaratnya jauh lebih besar dan berlawanan dengan pandangan yang terangkum dalam diskusi “kewajipan mentaati pemerintah” atas nama Islam sebagai justifikasi mengekalkan pemerintah yang korup dan zalim.

Kediktatoran dan sekatan hak juga merupakan satu usaha jelek mencabut kemuliaan darjat seorang manusia yang berdiri atas pola fitrah.

Di mana hilangnya maruah dan karamah insan (kemuliaan manusia) apabila insan itu dipaksa menuruti segala batasan dan sekatan hak asasi atas nama agama sedangkan darjat manusiawi itu telah dimuliakan Allah?

Seminar masa depan kebangkitan Islam

Maka, demi mendaulatkan maruah dan kemuliaan insan, penulis menyeru seluruh masyarakat untuk bersama ABIM untuk menyambut kebangkitan Islam jilid baharu seperti yang digariskan oleh Presiden Mohamad Raimi Ab Rahim sebagai medan untuk mengeluarkan masyarakat dari belenggu keterbatasan berfikir akibat rasa rendah diri dan gusar dengan istilah kebebasan.

Garis-garis besar akan sama kita coret bermula dalam Seminar Masa Depan Kebangkitan Islam yang akan berlangsung pada 29 Oktober 2016 di Universiti Selangor, Shah Alam.

Gelombang baharu perlu ditiup dengan komitmen menyeluruh bagi menyempurnakan misi untuk mengeluarkan umat dari belenggu keterbatasan pemikiran dan tindakan yang mendekam sekian lama.

Komitmen ini atas keyakinan penuh bahawa dalam suasana kebebasan akan lahir pemikiran-pemikiran yang bernas, yang memberi peluang kepada ahli ilmu membincang dan mengkritiknya, supaya ia tidak tinggal dalam lubang kegelapan, dilontarkan tanpa dibincangkan dan dikritik, dan akhirnya menjadi bebanan kepada generasi pelanjut untuk menelaah sesuatu pemikiran tanpa asas rujukan lampau.

Sebaliknya, lawan kepada kebebasan atau pemaksaan sesuatu akan menghancurkan seluruh konsep tanggungjawab yang didasarkan pada realiti bahwa kehidupan duniawi seorang manusia merupakan satu ujian di mana ia diberi kebebasan untuk memilih selanjutnya akan dipertanggungjawabkan sendiri di hadapan Tuhan.

Jihad untuk kebebasan adalah jihad untuk kemuliaan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lihat Komen
ADS