Cadangan untuk menurunkan kuasa memilih ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno kini menjadi satu polemik panas. Pelbagai peringkat pemimpin dan ahli melontarkan pandangan masing-masing menyokong dan membantah cadangan itu.

Nampaknya syor Naib-Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berjaya memancing pendirian dan sikap ahli-ahli Umno terhadap politik wang atau istilah barunya, rasuah politik.

Ada yang berpendapat syor itu suatu yang bernas dan relevan dengan keadaan semasa. Tidak kurang juga yang berpandangan ia tidak mungkin membasmi politik wang, sebaliknya akan menyemarakkan gejala buruk itu ke peringkat bahagian.

Malah ada yang terpesong dalam polemik ini apabila mengkajinya dari sudut personaliti. Ada ahli Umno yang melihat percanggahan pendapat antara Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Ghani Othman dengan Muhyiddin sebagai permusuhan antara kedua-dua pemimpin itu.

Antara pemimpin yang lantang bersuara dalam isu ini ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Beliau bukan sahaja menyokong kuat cadangan Muhyiddin itu, malah mencadangkan satu rombakan secara total dibuat pada kaedah pemilihan MT.

Adnan yang mendakwa beliau adalah mangsa rasuah politik pada pemilihan Umno 2004 lalu percaya apabila lebih ramai ahli di akar umbi diberi kuasa untuk memilih pemimpin di peringkat nasional, pengamal rasuah politik akan menghadapi kesusahan untuk meneruskan amalan buruknya.

Politik peringkat bawah

Beliau berpendapat kaedah itu akan menimbulkan suasana " check and balance " yang akan mengurangkan dengan banyaknya politik wang. Adnan menyokong cadangan Muhyiddin itu bukan kerana dendam atau tidak puas hati dengan kekalahannya tahun lalu, tetapi sebagai ahli biasa dan pemimpin kecil yang mahu membersihkan parti dari amalan buruk.

Namun, bagi ahli MT dari Johor, Datuk Shahrir Samad langkah memberi kuasa kepada bahagian untuk memilih MT hanya akan menyebarkan rasuah politik ke peringkat bawah.

Katanya, jika ini berlaku ia lebih merbahaya kerana lebih ramai ahli akan terlibat dalam "jenayah politik" itu berbanding 2,500 perwakilan sekarang.

Katanya, walaupun ia suatu cadangan yang baik, namun tidak akan menyelesaikan masalah kerana sekarangpun terbukti ada berlaku politik wang di peringkat bahagian. Sudah ada ketua atau pemimpin bahagian yang dihukum kerana gejala itu.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan itu, jika ia bertujuan untuk memperluaskan demokrasi dalam parti. Beliau menegaskan, jangan gunakan satu kaedah yang baik untuk tujuan yang salah.

Muhyiddin pula, ketika membentang cadangannya berkata, pendekatan holistik perlu dilakukan bagi menangani rasuah politik. Beliau berpendapat sistem yang sedia ada telah berfungsi selama 59 tahun. Dan dalam keadaan ahli-ahli Umno semakin materialistik dan kurang beretika sekarang, maka keberkesanan sistem itu diragui.

Mercik kemuka sendiri?

Maka sudah tiba masanya untuk melakukan pembahruan yang meliputi sistem pemilihan, budaya dan nilai-nilai dalam parti. Satu perkara menarik dalam polemik ini ialah sikap ramai pemimpin Umno yang mengambil jalan tengah.

Ramai mengatakan akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan. Mereka tidak berani ke depan sama ada menyokong atau membantahnya. Mengapa? Adakah takut air yang ditepuk di dulang mercik ke muka sendiri?

Sepatutnya mereka tampil dengan idea bernas bagi mengukuhkan cadangan Muhyiddin itu atau menawarkan alternatif lain. Adakah mereka takut dilabel sebagai orang Muhyiddin jika menyokong cadangan itu atau bimbang dituduh anti-Muhyiddin sebagaimana yang berlaku kepada Ghani sekarang.

Pemimpin Umno harus lebih berani bercakap, melontarkan pendapat, walaupun ia mungkin menimbulkan kontroversi. Umno memerlukan lebih ramai "Shahrir Samad" bagi menyemarakkan budaya berbincang secara bijak. Para pemimpin Umno harus selalu ingat bahawa berbeza pendapat tidak bererti berpecah atau bermusuhan. Budaya menjadi Pak Turut atau menyokong membabi buta patu dikikis terus.

Penulis secara peribadi menyokong cadangan Muhyiddin itu. Ia akan menyuburkan demokrasi dalam parti. Ia juga akan menyukarkan pembelian undi kerana kosnya akan semakin tinggi. Ketika ini, RM1 juta hingga RM5 juta mungkin mencukupi untuk membeli 2,500 perwakilan.

Perkasakan kepimpinan

Tetapi jika cadangan Muhyiddin digunapakai, mungkin peruntukan melebihi RM10

juta diperlukan untuk membeli lebih 90,000 perwakilan. Selain itu, apabila pembelian undi melibatkan lebih ramai orang, perbuatan itu juga akan lebih mudah dikesan.

Tidak dinafikan, di bawah sistem baru ini, rasuah politik masih boleh berlaku. Namun ia diyakini boleh mengurangkan amalan itu. Tiada satu sistem terbaik boleh menghapuskan rasuah poiltik dalam Umno selagi ahli-ahlinya menganggap amalan itu satu kebiasaan atau kemestian dalam politik.

Selain itu, cadangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu juga akan memperkasakan lagi kepimpinan di peringkat bahagian. Sistem pemilihan dalam Umno harus lebih representatif. 2,500 perwakilan tidak mewakili suara 3.4 juta ahli parti.

Nampaknya kemungkinan besar cadangan Muhyiddin itu akan dibawa ke perhimpunan agung pada bulan depan. Begitulah budaya parti ini, apabila kapal bertukar nakhoda, pelbagai dasar, syarat dan kriteria baru diperkenalkan.

Umno perlu berubah untuk sentiasa relevan dengan kehendak zaman. Rombakan atau pembahruan harus memperkaskan parti dan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya. Pindaan atau perubahan tidak boleh dibuat bagi memenuhi selera atau kepentingan pemimpin tertentu.