Zaman di mana seseorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memperoleh pinjaman bagi melanjutkan pelajarannya secara automatik dijangka berlalu apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan kemungkinan hanya akan menawarkan pinjaman kepada pelajar-pelajar kursus kritikal.

Pengumuman itu merupakan satu kejutan besar kepada ibu bapa walaupun sejak beberapa tahun lalu hakikat kemungkinan bahawa tidak akan ada lagi biasiswa, dermasiswa dan pinjaman sudah dibayangkan.

Ibu bapa telah pun dinasihatkan supaya menabung dari awal lagi untuk membiayai pengajian tinggi anak-anak mereka. Walaupun selama ini PTPTN telah sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa tetapi kini badan itu sudah tidak mampu lagi untuk membiayai pengajian tinggi dalam semua bidang. ( Lidah Pengarang Utusan Malaysia 23 Jun 2005 )

Pergerakan Pemuda Umno meminta kerajaan meneliti takrif `kursus-kursus kritikal' supaya cadangan untuk memberi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada para pelajar kursus itu dapat disalurkan dengan adil dan tepat.

Pengerusi Biro Pendidikannya, Ahmad Ikmal Ismail berkata, ini kerana pelbagai kursus yang ditawarkan di universiti-universiti tempatan seperti Teknologi Maklumat dan Pengurusan juga memainkan peranan penting untuk pembangunan negara.

"Takkan asyik nak pinjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sekiranya berjaya mendapatkan bayaran balik, masalah ini tidak akan timbul dan dana pun tidak `mengecil'," katanya. ( Utusan Malaysia, 23 Jun 2005 )

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh berkata, tawaran itu akan melibatkan bidang-bidang yang penting kepada pembangunan negara.

"Kita akan tawarkan pinjaman kepada kursus lain selain enam kursus kritikal. Satu kajian akan ibuat untuk melihat kesesuaiannya. Tidak bermakna kita memberi tumpuan kepada bidang sains, teknologi dan perubatan sahaja." ( Utusan Malaysia 23 Jun 2005 )

Apabila saya memasuki darjah satu dahulu, kuasa kolonial British masih lagi menjajah Tanah Melayu. Saya memasuki sekolah dengan menggunakan papan batu tetapi struktur sistem pentabiran pembelajaran yang ditinggalkan oleh British masih diguna pakai. Dari apa yang saya lalui dan dari apa yang saya lihat berlaku hari ini secara nisbah sistem penjajah itu lebih meyakinkan orang ramai dari dasar pembelajaran yang sedang dijalankan oleh Umno.

Kacau bilau simpang siur dan tunggang langgang sistem pembelajaran negara ini semakin jelas dan amat menakutkan. Kemerosotan kualiti pembelajaran hari ini semakin jelas. Dari sekolah rendah hingga ke universiti warga selalu mendengar dan membaca tentang kelam kabut yang sedang berlaku.

Semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah saya bukanlah seorang pelajar skema/nerd/belia. Saya pernah di rotan, saya pernah dihantar ke Detention Class dan saya juga pernah dihadapkan olih pengawal untuk bertemu dengan guru besar. Rasa saya apa yang saya lalui itu, walau pun bukan bilazim tetapi masih bukan sesuatu yang memeranjatkan dalam perjalanan anak-anak sekolah ketika itu.

Tetapi yang lawaknya anak-anak sekolah hari ini bukan hanya sekadar dihadapkan bertemu guru besar malah telah ada yang dipertemukan dengan Menteri Pelajaran kerana masaalah displin. Lawak ini bertambah sedih apabila ada pula murid-murid sekolah yang dibawa menyembah ke bawah duli Sultan kerana masaalah yang sama. Kisah anak-anak sekolah 'dibungkus' polis kerana ditemui meleser diwaktu sekolah bukan lagi menjadi berita tetapi satu kelumrahan.

Untuk saya, semua ini adalah tanda-tanda bahawa sistem pembelajaran dalam negara kita sedang nazak. Saya cukup berterima kasih kepada diri saya sendiri kerana hanya memiliki anak kucing yang hanya memerlukan friskies dan roti kering. Bayangkan jika saya ada satu atau dua orang anak yang bersekolah pasti saban hari saya dilanggar migraine atau sebulan sekali wajib ke hospital untuk memeriksa jantung dan darah tinggi.

Komplot penerbit buku

Bibit-bibit nazak ini datang sedikit demi sedikit tanpa disedari. Apa yang terjadi hari ini bukan berlaku dalam sekelip mata. Ianya bukan silap mata David Copperfield. Kemelesetan pembelajaran ini datang secara tidak mendadak; lalu ianya melalaikan kesedaran ibu bapa. Kempen-kempen lunak syok sendiri dan heboh-heboh tentang kejayaan seorang pelajar mendapat satu juta A1 dalam peperiksaan SPM telah mengkhayalkan banyak warga.

Heboh-heboh bodoh seperti ini adalah dadah yang lebih hebat 'highnya' dari asap ganja atau debu cocoine. Ketika saya menulis ini ibu bapa sedang terlalai khayal hinggakan lupa bertanya kepada wakil-wakil rakyat mereka kenapa hingga ke hari sekolah-sekolah di negara kita masih ada sesi pagi dan sesi petang. Dizaman penjajah British dahulu sistem ini tidak wujud.

Ketika itu, di waktu petang murid datang ke sekolah untuk menjanlankan aktiviti yang non akademik.

Kemudian kita lihat pula bagaimana anak-anak sekolah diwajibkan membeli buku yang beratnya berkilo-kilo. Buku ini bukan buku rujukan tetapi buku latihan yang saban tahun wajib ditukar. Ini sebenarnya adalah satu komplot diantara kementerian pelajaran dengan syarikat penerbit buku. Biasanya syarikat-syarikat buku ini mendapat kontrek untuk menerbitkan buku-buku latihan ini. Selidiki dengan rapi pasti akan ditemui hubungan intim diantara pegawai pelajaran dengan tuan empunya syarikat pencetak buku. Ini satu 'scam' yang lebih hebat dari 'scam' rakyat Nigeria menjual 'black money'.

Perhatikan bagaimana setiap kali menteri pelajaran berubah maka akan ditimbulkan pula cadangan-cadangan sistem penyampaian ilmu yang baru. Apakah kita lupa dengan hu ha hu ha dan heboh-heboh tentang Sekolah Bistari. Mengikut konsepnya, di sekolah ini akan diwujudkan sistem komputer secanggih mungkin agar anak-anak murid akan berilmu dan dapat melayari ruang siber. Murid-murid ini, mengikut labun menteri pelajaran, berkemungkinan satu hari ini mendirikan Silicon Valley di Felda Cenonoi.

Awas! Jika kita lakukan sedikit penyelidikan maka kita akan bertemu fakta tentang syarikat yang akan mendapat kontrek untuk menyediakan peralatan komputer disekolah-sekolah bistari ini. Kembangkan sadikit telinga maka kita akan mendengar bahawa syarikat yang mendapat kontrek ini ada bau-bau bacang dengan 'orang dalam' kementerian pelajaran sendiri.

Apakah ibu bapa terlalu khayal hinggakan terlupa tentang bagaimana satu demi satu sekolah bistari ini runtuh tersembab ke bumi kerana pembinaannya tidak menggunakan campuran simen dan struktur pembinaan yang sepatutnya. Nasib baik ketika sekolah-sekolah ini runtuh anak-anak murid tidak ada dalam bilik darjah itu. Kalau tidak bukan sahaja mereka tidak sempat membuka

Silicon Valley tetapi mereka dihantar terus ke Liang Lahad Valley.

Bagaimana pula dengan harga dan jenama peralatan komputer tersebut? Sila selidiki dan bandingkan harga yang diminta oleh tuan empunya syarikat dengan harga di pasaran. Agaknya mana yang lebih murah? Harga pasaran terbuka atau dari syarikat ini. Saya tidak tahu jawapannya kerana itu saya tidak mahu membuat fitnah tetapi biasanya dalam sistem pengurusan

perniagaan syarikat kroni Bumiputera, harga yang diminta selalunya melebihi harga pasaran.

Semua ini hanyalah sebahagian kesah dan tauladan dari sekolah rendah dan sekolah menengah. Ini kita belum mendengar lagi cerita tentang pembelian alat-alat bilik makmal, kerusi meja dan makanan sekolah - semuanya berselirat dan berjerait dengan syarikat yang ada bau bacang dengan orang dalam kementerian.

Dalam masa yang sama jangan hairan dan terkejut apabila terserempak dengan burung-burung batu, air-air terjun yang telah kering dan entah dari mana punca airnya atau jambatan-jambatan Jepun yang tidak memiliki apa-apa nilai estetika. Ini saya lihat bukan di kawasan Sekolah Menengah Manjung tetapi di perkarangan Malay College Kuala Kangsar sendiri. Saya difahamkan benda-benda simen hodoh yang berserabut ini didirikan untuk memberi 'telor' kepada 'polong' kontrektor kelas F yang sentiasa laparkan kontrek.

Hidup Mac Dogal

Universiti? Ini kisah lucu yang semakin seram lagi meloyakan. Universiti Malaya adalah satu-satunya universiti dalam dunia ini yang sedang menjalankan kajian tentang kaitan 'junk food' dengan obesiti. Untuk membuktikan ketrampilan kajian ini, UM telah membuka kedai junk food ini didalam kampus. Jika ini bukan ilmu - apakah ini? Hidup Mac Dogal!

Insan yang dinobatkan sebagai guru besar UM oops.. minta maaf, saya kurang ajar sedikit. Bukan guru besar tetapi naib canselor universiti ini dua tahun dahulu dalam satu persidangan ilmuan antarabangsa telah memulakan kertas kerjanya dengan tarian randai dan bersilat pulut. Delegasi dari Jepun telah salah sangka - mereka anggap yang bersilat pulut ini ialah Sang Badut yang dijemput khas untuk meriahkan wacana ilmu.

Saya tidak hadir dipersidangan ini. Kalau saya ada bersama pastilah tujuh hari saya muntah ketawa kerana belum pernah melihat satu wacana ilmu dimulakan olih Sang Badut. Jangan anggap saya membuat fitnah kerana saya gagal mendapat ijazah dari Uiversiti Malaya. Kesah ini bukan fitnah, hadith saheh ini saya pungut dari kawan baik saya seorang aktivis dari Sisters In Islam. Kawan baik saya telah menjadi delegasi ilmuan di persidangan tersebut, hingga ke hari ini bila saja nama naib cancelor ini disebut dia akan mengalami ceret beret.

Kesah Sang Badut dari UM ini tidak banyak berseliseh tema dengan kes pembuangan beberapa tenaga akademik yang ditimbulkan olih media baru-baru ini. Kemerosotan budaya keilmuan bukan hanya berlaku di Universiti Malaya sahaja. Seluruh institusi pengajian tinggi dan universiti awam dalam negara kita ini telah merosot kualiti keilmuannya. Malah ada seorang bekas menteri pelajaran telah mensifatkan naib-naib canselor universiti-universiti awam ini sebagai ketua-ketua bahagian Umno.

Saya tidak hairan atau terkejut apabila kementerian pelajaran menamatkan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya melihat sistem ini tidak jauh bezanya dari sistem peneroka tanah Felda. Dalam sistem Felda , petani miskin yang tidak bertanah akan diberi tanah.

Pak Cik dan Mak Cik Feda ini akan memasuki skim ini sehelai sepinggang. Semua akan disediakan.Tanah telah dibuka, rumah disediakan dan kelapa sawit telah ditanam. Apa yang perlu dibuat hanyalah menjaga tanah ini.

Awas! Semua yang dihadapan mata Mak Cik dan Pak Cik Felda ini adalah hutang. Membuka tanah, menanam sawit, menjual baja, menjual makanan harian - semuanya dikendalikan oleh para kontrektor yang biasanya ada bau bau bacang dengan orang-orang dalam sistem pentabiran tanah Felda itu sendiri.

Si Peneroka tanah Felda akan memulakan penghidupan baru mereka dengan hutang. Hutang ini akan berulang-ulang kerana selepas 25 tahun tanah ini wajib ditanam semula. Maka hutang bermula kembali. Seperti kontrektor untuk Sekolah Bistari - harga upah untuk menyediakan tanah rancangan ini telah dijalankan olih syarikat kroni. Kosnya pasti lebih tinggi dari yang boleh didapati dipasaran bebas.

Sistem PTPTN ini adalah sistem hutang untuk anak-anak mahasiswa. Belajarlah apa sahaja, pinjaman akan diberi asalkan sanggup menanda tangani buku hutang. Apabila mahasiswa ini selesai belajar mereka akan memulakan kehidupan dengan hutang. Jika mendapat kerja maka mereka ada keupayaan untuk membayar hutang. Apa akan terjadi apabila tidak dapat menjawat apa-apa pekerjaan? Untuk seorang Along atau Ceti yang ingin meminjamkan duit persoalan betul ini tidak akan ditimbulkan. Yang penting ialah bunga yang akan dipungut.

Siapa yang mendapat untung dari sistem PTPTN ini? Tak kanlah ini pun tidak dapat dicongak. Perhatikan bagaimana rancaknya kelahiran pelbagai bentuk universiti dan kolej. Dicelah-celah kedai mamak tiba-tiba wujud sebuah kolej. Di tepi pasar ikan pun ada universiti. Dibelakang perhentian bas ada universiti. Kuliah dan ilmu yang ditawarkan bukan kecik anak - microbioloji, marine engineering, IT, film study, music study, aeroneutical engineering, kaji bumi, kaji bintang, kaji bulan - yang tidak wujud hanya ilmu kaji hutang.

Yang mendirikan kolej dan universiti ini adalah kroni-kroni yang tahap hubungan politiknya agak lebih tinggi dari ketua-ketua cawangan - polong-polong kontrektor kelas F. Kerana itu kita jangan terperanjat jika ada pula para akademik dari universiti awam yang bertaraf ketua bahagian) akan meminjamkan nama wanginya untuk melariskan institusi-institusi ini.

Pendidikan percuma

Saya sendiri lima tahun dahulu pernah dipelawa untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang filem disalah sebuah institusi ini - satu di Melaka dan satu di Kuala Lumpur. Saya hanya sanggup menyampaikan satu kuliah. Apa yang saya lihat universiti-universiti ini sedang melakukan rompakan disiang hari.

Anak-anak mahasiswa ini mendaftar untuk belajar ilmu filem tetapi satu habuk pun tidak ada kelengkapan yang bersangkutan dengan filem. Yang wujud hanyalah alat video kokak. Apabila saya tanyakan berapa yuran yang wajib dibayar - saya terperanjat. Untuk satu kursus seorang pelajar wajib mengeluarkan RM25,000. Duit yuran ini datangnya dari sistem PTPTN.

Dari zaman mahasiswa hingga ke hari ini saya berpendapat bahawa belajar itu adalah hak dan bukan satu keistemewaan. Setiap warga yang ingin belajar seharusnya diberi peluang untuk mencari ilmu. Negara yang warganya berilmu adalah negara yang cerah, segar dan bertamadun. Pembelajaran ilmu bukan barangan untuk dijual beli. Kerajaan yang memiliki pimpinan dan pandangan yang tepat akan menyediakan pasarana ilmu seluas dan sedemokratik mungkin untuk warganya.

Kita wajib kembali kepada sistem pembelajaran dizaman kolonial British dimana belajar diberi percuma. Daulah wajib melabur sebanyak mungkin untuk melatih jenerasi muda untuk menjadi warga yang berilmu. Sistem yang ada hari ini - ada yang istemewa untuk orang Melayu dan ada bentuk yang lain untuk yang bukan Melayu - wajib dihapuskan. Penyebaran ilmu dan pengunaan ilmu tidak bersangkut paut dengan kaum. Lebih ramai warga yang berilmu lebih hadari negara ini.

Saya menolak cakap-cakap yang mengatakan bahawa dana untuk pembelajaran telah 'mengecil'. Ini adalah satu pembohongan. Dana di negara ini tidak pernah mengecil. Apa yang berlalu ialah pembaziran dana dengan projek-projek bodoh yang tidak mendatangkan hasil tetapi membebani rakyat dengan hutang.

Duit membuat Litar F1 itu lebih dari mencukupi untuk memberikan pembelajaran percuma selama 10 tahun untuk semua mahasiswa Melayu/Cina/India di universiti awam. Duit 20 billion ringgit yang lupus pada tahun 1993 apabila Bank Negara berjudi di pasaran pertukaran wang asing boleh mendirikan sepuluh universiti perubatan untuk melatih 200 doktor satu tahun. Dua billion ringgit duit Bank Bumiputera Malaysian Finance yang hangus di Hong Kong pada tahun 1987 dahulu bolih mendirikan sekolah-sekolah baru yang canggih untuk melupuskan sekolah dua sesi sehingga hari kiamat.

Ibu bapa yang anak-anak masih bersekolah wajib bangun dari berkhayal menghidu asap candu yang sedang dibakar oleh Umno. Kita semua tidak memerlukan kapal selam dari Peranchis, kereta kebal dari Poland dan kapal terbang penyerang dari United Kingdom.

Apa yang dituntut oleh warga ialah pembelajaran percuma. Jangan berdulak dalik mengatakan dana pembelajaran kian mengecil. Harga sebuah kapal selam dari Peranchis itu boleh membiayai biasiswa untuk semua pelajar dalam negara ini selama 10 tahun.