Sembilan bulan lalu, seluruh negara dikejutkan dengan kemenangan besar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai Naib Presiden Umno. Beliau meraih undi terbanyak mengatasi calon popular Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Selepas kemenangannya, maka tersebar cerita mengenai amalan politik wang dalam parti.

Salah seorang calon yang tewas, Datuk Seri Adnan Yaakob begitu lantang mendakwa politik wang atau rasuah politik berleluasa dalam perhimpunan agung Umno yang lalu. Jumaat lalu, sekali lagi kita dikejutkan oleh Isa.Namun kali ini ia adalah berita buruk beliau digantung enam tahun keahliannya dalam parti gara-gara rasuah politik.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah terhadap lima daripada sembilan tuduhan melanggar etika pemilihan yang dihadapkan kepadanya. Keputusan terhadap Isa dibuat begitu cepat dalam tempoh 24 jam selepas beliau dipanggil mengadap lembaga tersebut. Keputusan adalah muktamad, namun Isa masih boleh merayu kepada Majlis Tertinggi.

Tindakan terhadap Isa ini jelas menunjukkan, bukan ikan bilis sahaja dikenakan tindakan, malah jerung juga terjerat. Ketegasan ini menunjukkan kewibawaan Umno untuk membersihkan diri dari amalan rasuah.

Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) juga menunjukkan keberanian politiknya untuk membanteras gejala rasuah daripada menjadi berakar umbi dalam Umno. Malah beliau secara tegas menyatakan, Isa perlu meletakkan semua jawatannya setelah didapati bersalah melanggar etika pemilihan.

Kini kita hanya menunggu tindakan Isa yang sejak beberapa hari lalu mengurung dirinya di rumah. Adakah dia akan meletakkan jawatan sebelum rayuannya didengar oleh Majlis Tetinggi Umno?

Jika rayuannya ditolak, Isa akan hilang segala-galanya, jawatan ketua bahagian, naib presiden serta jawatan dalam kabinet. Malah bukan sahaja beliau akan dirundung malang, mungkin ramai lagi pemimpin Umno lain terpaksa mengikut jejaknya.

Gejala rasuah politik

Persoalan yang timbul sekarang ialah bagaimana nasib pemimpin Umno lain yang turut didapati bersalah melanggar etika pemilihan parti? Adakah Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Amid Nordin, Datuk Astamam Aziz dan Datuk Syed Ali al-Habshee yang telah melalui proses rayuan atau enggan merayu, juga perlu mengikut kata-kata Pak Lah itu?

Bagaimana nasib Datuk Shahiruddin Moin, Jamaluddin Ropa, Salim Shariff dan ramai lagi yang telah dikenakan tindakan sebelum ini? Jika langkah ' precedent ' yang dibuat oleh Isa, diikuti, nampaknya banyaklah jawatan Ketua bahagian akan kosong.

Dalam soal hukuman dan perletakkan jawatan ini tidak seharusnya ada 'dwi-standard'. Bagi membuktikan ketegasan memerangi gejala rasuah politik, semua yang bersalah dan rayuan mereka ditolak perlu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Kalau perlu, kerusi wakil rakyat juga patut dilepaskan bagi membuktikan kesungguhan memerangi gejala ini. Hanya dengan tindakan sedemikian, hukuman yang dikenakan oleh Lembaga Disiplin akan dijadikan pengajaran pada masa depan.

Kalau sudah dicop sebagai kaki rasuah dalam parti tetapi masih boleh mengekalkan jawatan dalam parti, terus menjadi Yang Berhormat serta ahli Exco, nanti hukuman yang diberikan oleh Lembaga Disiplin akan dipandang remeh.

Kalau setakat digantung keahlian selama dua hingga enam tahun, tetapi pelbagai pangkat dan keistimewaan lain masih kekal, maka tiada ahli Umno yang akan memandang serius terhadap tindakan Lembaga Disiplin. Malah mereka akan beranggapan agenda memerangi rasuah politik hanya slogan. Mereka akan menganggap parti tiada keberanian untuk bertindak. Hanya bertindak setengah jalan!

Oleh itu, Pak Lah dan semua pucuk pimpinan Umno perlu terus berani dan tegas. Alang-alang menggengam bara, biar sampai jadi arang. Kalau naib presiden parti sudah tidak kebal daripada hukuman, itu bererti sudah tiada halangan atau batasan bagi Pak Lah untuk melakukan pembersihan dalam Umno.

Setakat ini ahli-ahli parti di semua peringkat memberi sokongan padu kepada Pak Lah dalam usaha membersihkan imej Umno. Walaupun mereka bersimpati dengan nasib Isa, namun mereka akur dan memahami hikmah tindakan itu. Pak Lah tidak perlu bimbang tentang kesan politik dari tindakan tegas Lembaga Disiplin. Tiada ahli parti akan memberontak semata-mata kerana kehilangan Isa.

Kesan politik

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kehilangan jawatannya kerana amalan politik wang, bukannya kerana mempertahankan prinsip perjuangan. Isa bukan Anwar Ibrahim. Oleh itu Pak Lah tidak perlu bimbang tentang kesan politik dari penggantungan keahlian Isa dan perletakan jawatannya kelak.

Selepas isu Isa ini, adakah bicara tentang politik wang akan lenyap seketika sehingga muncul tahun 2007 nanti? Adakah rasuah politik hanya berlaku pada musim pemilihan?

Kita jangan lupa bahawa ada pemimpin yang bercita-cita tinggi berkempen dan menabur wang beberapa tahun sebelum tibanya pertandingan dalam parti. Yang pastinya, ia akan menjadi topik utama dalam perhimpunan Umno bulan depan.

Para perwakilan yang mungkin sebahagiannya telah menerima habuan dari calon-calon yang bertanding pada tahun lalu akan sebulat suara menyokong tindakan memerangi rasuah politik ini.

Pak Lah pasti akan menggunakan perhimpunan kali ini untuk menjelaskan duduk perkara sebenar dan menegaskan agenda anti-rasuahnya.

Kini, segala spekulasi mengenai adanya pemimpin kanan lain akan dipanggil mengadap telah juga ditamatkan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen, tiada lagi pemimpin kanan akan dipanggil kerana tarikh akhir penerimaan aduan telah ditutup pada 18 April lalu.

Pengumuman beliau itu tentunya melegakan Naib Presiden Datuk Seri Ali Rustam dan beberapa pemimpin lain yang sebelum ini dikatakan akan turut dipanggil mengadap. Namun begitu, ini tidak bererti perang rasuah dalam Umno akan kendur. Sebenarnya ia baru bermula. Perjalanannya masih jauh, baru memulakan langkah pertama!

Kerja membasmi rasuah dalam Umno bukan kerja mudah. Mengorbankan seorang naib presiden tidak bererti Umno sudah bersih. Sekadar meminjam kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba, politik wang sudah menjadi darah daging dalam Umno.