"Terima kasih kepada perwakilan yang mengundi saya. Tuan-tuan yang mengundi saya tidaklah kita bertemu di Padang Mahsyar." Demikianlah dilaporkan kata-kata Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam ucapan sulungnya selepas memenangi jawatan Naib Presiden Umno dengan undi terbanyak, dalam pemilihan parti itu tahun lalu.

Tentu tiada sesiapa yang tahu sama ada Isa akan menemui mereka yang mengundinya di Padang Mahsyar. Tetapi yang pasti, beliau telah disiasat dan digantung jawatan dan keahliannya selama dua penggal atau enam tahun, selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau terlibat dalam politik wang.

Jadi, tidaklah hairan jika tiada sesiapa pun, termasuk Isa Samad sendiri, awal-awal lagi dapat menduga perkembangan dan kejutan terbaru ini. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba, misalnya, apabila diwawancara oleh akhbar Sin Chew Daily pada 18 Jun 2005, masih merungut: "Ramai yang cakap tentang politik wang, tapi yang sedih ialah tiada sebarang tindakan yang diambil."

Tambah beliau: "Sekarang wang yang terlibat dalam pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno bukan sekadar sejuta dua juta, tetapi 10 juta hingga 50 juta. Mungkin dari segi undang-undang, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat berbuat apa-apa terhadap mereka yang terlibat dalam politik wang, tetapi dari segi politik dan etika, beliau boleh mengambil tindakan ."

Malah, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula, dalam wawancaranya dengan wartawan Utusan Malaysia pada 24 Jun 2005, menyebut tentang wujudnya "putaran ganas" dalam Umno: Kalau kita beri duit, perwakilan "sambut", kalau kita tak beri duit, perwakilan tak beri undi.

Dengan pesimistik sekali beliau menolak cadangan hak memilih Ahli Majlis Tertinggi Umno diperluaskan daripada 2,700 perwakilan ke Perhimpunan Agung, kepada 90,000 perwakilan di 191 bahagian dalam usaha menyekat amalan politik wang.

Menurut beliau, cadangan itu akan menyebabkaan ejen politik wang menular hingga ke peringkat cawangan, dan Umno akan dirosakkan sehingga akar umbinya! Andainya pemilihan langsung diberi kepada 3.4 juta ahli Umno, seperti yang dicadangkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah adakah mereka juga akan dibeli?

'Putaran ganas' politik wang

Nampaknya dahsyat sekali "putaran ganas" politik wang yang sedang bermaharajarela dalam Umno sekarang! Oleh itu, Tun Ghafar telah menyifatkan Umno yang dilanda politik wang itu sebagai "gajah berkaki plastik" yang hanya menunggu masa sahaja untuk rebah.

Dalam keadaan sebegini, Abdullah tiada pilihan lain, melainkan cuba memerangi politik wang untuk membolehkan Umno terus hidup dalam pancaroba zaman reformasi sekarang. Tetapi memerangi politik wang yang telah berakar umbi dalam Umno dan melibatkan ramai yang kaya dan berkuasa, tentu bukan sesuatu yang mudah.

Bagi Perdana Menteri, beliau bukan saja memerlukan keberanian, tetapi mungkin juga memerlukan keazaman seperti yang dilafazkan oleh Rencana Pengarang muka satu Utusan Malaysia pada 27 Jun 2005 yang berbunyi:

"Lebih baik bagi Abdullah terkorban kerana kesungguhannya menghapuskan gejala buruk itu dalam Umno daripada menjadi Presiden sebuah parti Melayu Islam yang terus besarang dengan rasuah politik."

Di samping keberanian dan keazaman peribadi, Abdullah juga memerlukan sokongan barisan pimpinan Umno sekarang yang dahulunya mungkin bertoleransi, malah terbabit dalam noda dan dosa politik wang.

Mereka tentu lebih berhati-hati supaya kedudukan mereka tidak terancam oleh dasar dan tindakan memerangi politik wang yang drastik dan menyeluruh. Tidak dapat dinafikan, Isa adalah jerung, bukan bilis tetapi bukan jerung yang mampu membawa "kesan politik"yang akan membahayakan kedudukan Abdullah.

Menurut analisis Rencana Pengarang Utusan Malaysia tersebut, penyokong Isa tidak akan memberontak, meninggalkan parti beramai-ramai, atau menentang pucuk pimpinan secara terbuka atau secara senyap. Sebaliknya, kebanyakan penyokong Isa akan meninggalkan beliau demi kepentingan masing-masing.

Dakwaan selektif?

Kini ramai yang bertanya siapakah selepas Isa? Jika hanya Isa saja satu-satunya jerung yang terjaring, maka teori konspirasi atau Isa dijadikan korban bagi membuktikan kesungguhan Umno memerangi rasuah seperti tuduhan Isa kepada Reuters dan dinafikannya kemudian (dianggap sebagai penafian bukan-penafian) tentu sukar dihentikan.

Kerana jika begitu tenat barah rasuah dalam Umno, bagaimana hanya seekor jerung saja yang tersangkut dijaring. Kenapa jerung-jerung lain dilepaskan? Atau memang seperti anggapan Tengku Razaleigh, ia hanya merupakan dakwaan selektif.

Desas-desus bahawa lebih banyak jerung yang akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno mungkin tidak berasas. Jika ramai yang terbabit, tidak mungkin mereka akan terus berpeluk tubuh menanti ajalnya. Sekurang-kurangnya mereka akan cuba menggembleng tenaga untuk melawan balik.

Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan kilat terhadap Isa mungkin kerana tidak mahu memberi masa dan peluang kepada beliau dan mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan lembaga itu, untuk menyusun program-program bantahan. Sekarang nasi sudah menjadi bubur, semua pihak terpaksa menerima keputusan Lembaga Disiplin.

Atau isu ini belum lagi beres. Umno masih berkocak di bawah ketenangan lahiriah, dan suatu pertarungan lebih sengit antara puak Abdullah dengan puak anti-Abdullah, terutama mereka yang dianggap rasuah dan menjadi sasaran Lembaga Disiplin, akan tercetus pada bila-bila masa saja?

Memandangkan ketenatan barah rasuah Umno dan kerapuhan barisan pimpinan dan kuasa politik Abdullah, maka tentulah tidak realistik untuk mengharapkan beliau dapat melancarkan perang anti-rasuah secara menyeluruh dan habis-habisan.

Bagaimanapun, diharapkan lebih banyak jerung yang akan tersangkut dijaring dalam masa terdekat dan dirujuk kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), termasuk 18 jerung yang dijanjikan akan dibawa ke mahkamah dahulu. Alang-alang mandi, biar basah!