Tan Sri Mohd Isa Samad yang digantung keahliannya dari Umno mengemukakan rayuannya hari ini. Itulah berita yang telah dikhabarkan seluruh negara sebelum ini.

Namun ketika rencana ini ditulis, belum ada pengesahannya. Memandangkan setiausaha politik beliau telah berkali-kali menyatakannnya, maka kita anggaplah rayuan beliau berserta dengan segala bukti-buktinya, telah dihantar ke ibu pejabat Umno untuk penilaian Majlis Tertinggi (MT).

Adakah naib presiden Umno itu benar-benar berharap keputusan Lembaga Disiplin parti akan dapat diterbalikkan menerusi proses rayuan ini? Atau beliau hanya mematuhi prosidur parti dan sekadar satu formaliti ataupun sebagai usaha untuk menegakkan benang basah?

Mungkinkah ia juga sebagai langkah terakhirnya untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah, sebagaimana yang dinyatakan kepada media sebelum ini. Tan Sri Isa boleh mengemukakan pelbagai bukti bahawa Lembaga Disiplin tersilap mendapati dia bersalah terhadap lima daripada sembilan tuduhan.

Namun, keputusan muktamad terpulang kepada MT. Ahli-ahli MT akan menilai hujah dan bukti-bukti beliau. Proses penilaian akan dibuat secara terbuka, bebas dan saksama. Kini nasib bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu terletak pada ehsan ahli-ahli MT. Adakah beliau berpeluang untuk lepas dari kelima-lima pertuduhan tersebut?

Seorang ahli MT berkata, peluang beliau adalah tipis kerana setakat ini tiada seorangpun ahli atau pemimpin Umno yang telah didapati bersalah melakukan rasuah politik, berjaya dalam rayuan mereka.

Paling baikpun, hukuman ke atas mereka diringan. Namun bersalah tetap bersalah!

Katanya, antara hukuman lebih ringan yang pernah diberikan ialah dipendekkan tempoh pergantungan keahlian terhadap pesalah terbabit. Kes-kes itu, katanya, melibatkan pemimpin kecil, tokoh di peringkat bahagian. Tetapi kes Tan Sri Isa berbeza. Beliau pemimpin besar, orang nombor tiga dalam parti. Kesalahannya banyak dan serius.

Kenyataan keras

Oleh itu, katanya, tidak sukar untuk diramal nasib atau peluang beliau dalam rayuannya itu nanti. Tambahan pula, presiden Umno siang-siang lagi telah mengeluarkan kenyataan keras meminta Tan Sri Isa melepaskan semua jawatannya walaupun proses rayuan belum bermula.

Ini jelas menunjukkan keyakinan dan sokongan bulat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap keputusan Lembaga Disiplin. Sebagai ketua parti, pastinya beliau telah mendapat segala maklumat mengenai kes ini.

Oleh itu, tidak diragui lagi, masa depan politik naib presiden Umno itu sudah gelap. Walaupun sebelum ini, ada pemimpin Umno yang pernah didapati bersalah melakukan politik wang, berjaya kembali ke kancah politik Umno selepas tamat tempoh pergantungan, namun mereka sekadar "ikan bilis" yang tidak meninggalkan impak kepada parti.

Datuk Azim Zabidi pernah digantung dua tahun keahliannya kerana melanggar etika pemilihan. Begitu juga Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dikenali sebagai "six million dollar man" pernah menerima nasib yang sama.

Azim kini dilantik sebagai bendahari Umno dan Tajuddin kembali menerajui Umno bahagian. Namun layanan dan impak kes mereka tidak sehebat kes Tan Sri Isa. Ahli-ahli Umno boleh memaafkan atau melupakan kesalahan pemimpin kecil ini, tetapi apabila dia dilakukan oleh seorang tokoh utama parti, ia mustahil untuk dilupakan.

Ahli-ahli Umno mungkin boleh memaafkan Tan Sri Isa tetapi sejarah hitam politik beliau tidak mudah untuk dipadamkan begitu sahaja. Ia akan sentiasa menjadi duri dalam daging jika Tan Sri Isa cuba menghidupkan semula karier politiknnya.

Mungkin ada pihak akan mengatakan karier politik Tan Sri Isa belum padam sepenuhnya kerana beliau masih muda, baru berusia 56 tahun. Apabila tamat tempoh enam tahun penggantungannya, usia beliau baru mencecah 62 tahun dan masih bertenaga untuk kembali aktif berpolitik.

Realiti politik Umno

Mungkin benar beliau masih sihat dan kuat selepas digantung keahliannya selama dua penggal namun persoalan paling besar ialah adakah ahli-ahli Umno masih mahu menerimanya? Masih adakah penyokong-penyokongnya di dalam parti?

Kita perlu akui realiti politik Umno. Seseorang pemimpin akan diekori dan dipuja selagi mereka berkuasa dan mempunyai kedudukan dalam parti dan kerajaan. Apabila sudah terlucut segala kuasa dan pangkat, maka tiada siapa yang peduli!

Mungkin di Teluk Kemang beliau masih diterima. Tan Sri Isa mungkin akan diberi laluan untuk menerajui bahagian tersebut. Namun perjalanan beliau setakat itu sahaja, adalah sukar baginya untuk pergi jauh ke peringkat nasional.

Banyak halangan terpaksa dilaluinya terutama di negerinya sendiri, Negeri Sembilan. Pastinya banyak pihak tidak mahu beliau menggangu kedudukan dan pengaruh mereka di negeri itu.

Namun kita harus juga mengakui bahawa dalam politik Umno segalanya mungkin.

"Keajaiban" yang didalangi pihak tertentu mungkin dapat mengembalikan Tan Sri Isa ke tampuk kuasa. Jika ada kehendak pucuk pimpinan, khususnya presiden parti sendiri, mungkin beliau berpeluang untuk kembali berpolitik selepas tamat tempoh hukumannnya kelak.

Sejarah membuktikan beberapa pemimpin Umno yang pernah didapati bersalah, sama ada secara moral atau undang-undang, kini kembali berada dalam saf pertama kepimpinan parti. Ada antaranya terlibat dalam skandal seks, politik wang dan rasuah, tetapi diangkat semula memimpin parti berkat dari kesabaran dan kesetiaan mereka kepada Umno dan pemimpin tertinggi parti.

Itu sahajalah sisa-sisa harapan yang masih ada pada Tan Sri Isa seandainya rayuan beliau ditolak. Beliau perlu akur dan mendiamkan diri seketika bersabar dan tunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan.

Enam tahun bukannya lama, pada alaf baru ini, masa berjalan begitu pantas. Pejam celik, pejam celik, pada pemilihan tahun 2013, beliau sudah boleh bertanding semula merebut jawatan dalam parti.

Siapa tahu mungkin ketika itu pucuk pimpinan Umno diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang rapat dan pernah termakan budi dengan Tan Sri Isa? Mungkin beliau akan diterima semula untuk bersama-sama menerajui parti dan negara.

Untung batu, tenggelam, untung sabut, timbul. Rezeki, jodoh dan pangkat semuanya di tangan Tuhan!